Laman Masjid As Syakirin

Mukim Oran, Mata Ayer, Perlis

Arkib bagi Bulan Mei 2010

Dimana Roh Orang Mati Berada?

Posted by aburedza di 28 Mei 2010

Kuliah Subuh Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis pada  9 Mei 2010

Oleh

Ustaz Ya ali Dahaman Imam masjid al-Syakirin Oran

Pengajian Mengenai al-Roh dalam Kitab al-Roh

Pasal

Pendapat Yang Mengatakan Bahawa Roh Orang Yang Berhimpun Di Bumi Yang  Diwarisi Oleh Hamba Nya Yang Salihin.

Pandangan yang mengatakan bahawa roh mereka berada di bumi berdasarkan Firman Allah Ta’ala; ( ولقد كتبنا في الزبور من بعد الذكر أن الأرض يرثها عبادي الصالحون ); maksudnya; “Sesungguhnya Kami telah catat di dalam kitab Zabur sesudah pengajaran bahawa bumi ini akan diwarisi oleh hamba Ku yang saleh”. Al- Anbiyak  : 105.

Orang ramai berbeza pendapat mengenai    bumi  tersebut, menurut pendapat Said Bin Jubair daripada Ibnu Abas; bumi yang dimaksudkan disini ialah Syurga, ini adalah pendapat kebanyakan ahli tafsir.

Menurut pandangan lain dari Ibnu Abas; Dunia yang   dibentangkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah  kata-kata  yang betul,  kerana ada persamaan dengan firman Allah dalam surah al-Nur ayat 55;

‰وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

55. Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka:

Dalam hadis Nabi s.a.w. baginda bersabda; (زويت لي الأرض مشارقها ومغاربها وسيبلغ ملك أمتي ما زويت لي منها ) bererti; “ Diwariskan bumi ini kepadaku timur dan barat, dan kekuasan umat ku akan sampai kepada bumi yang telah diberikan warisan kekuasaannya kepadaku”.

Menurut pendapat sebahagian ahli tafsir; yang dimaksudkan bumi disini ialah Baitul Maqdis.

Pendapat Yang Mengatakan Bahawa Roh Orang Yang Beriman Berada Di Illiyin.

Adapun pendapat yang mengatakan bahawa roh orang yang beriman berada di Illiyin di langit ketujuh,  dan roh orang kafir berada di Sijjin dibumi yang ketujuh, ini adalah pandangan dari golongan ulamak salaf dan khalaf, mereka berdasarkan kata Nabi s.a.w. ( اللهم الرفيق الأعلى); “Ya Allah Tuhanku, aku pilih al-Rafiq al-A’ala”.

Sebelum ini Abu Hurairah telah meriwayatkan sebuah hadis Nabi;  ( ان الميت اذا خرجت روحه عرج بها الى السماء حتى ينتهى بها الى السماء السابعة التي فيها اتله عز وجل ); “Apabila roh keluar dari badannya dibawa naik keatas hingga  kelangit   ketujuh yang pada nya Allah Azjwajalla”.

Abu Musa telah berkata; “Sesungguhnya roh dibawa naik hingga ke Arasy”.

Abu Khuzaifah telah berkata; “Bahawa roh ditahan disisi Tuhanya”.

Kata Abdullah bin Umar; “Roh–roh berada disisi Allah”.

Sebuah hadis Nabi menyatakan; ( ان أرواح الشهداء تأوي الى قناديل تحت العرش); “Sesungguhnya roh para syuhadak ditempatkan dilampu-lampu di Arasy”.

Al-Barrak bin al-‘Azib pernah menyatakan; roh akan dibawa naik dari selapis langit  kelangit yang lain dan diarak oleh malaikat-malaikat yang hampir dengan Allah sehingga kelangit yang ketujuh, dan dalam lafaz yang lain; sehingga kelangit yang ketujuh padanya Allah Azzawajalla.

Beberapa pendapat di atas tidaklah memastikan bahawa roh menetap disana, malah roh dibawa naik selepas kematiannya untuk menerima perintah Allah,    dicatatkan     sama ada mereka di Illiyin atau di Sijjin, kemudian akan dikembalikan kekuburnya untuk disoal,   tidak dikembalikan kesana lagi, roh orang yang beriman ditempatkan di Illiyin berdasarkan  pahala amalan mereka, begitu juga roh orang kafir ditempatkan di Sijjin berdasarkan  amalan dosa mereka.

Pasal;

Pendapat Yang Mengatakan   Roh Orang Yang Beriman Dihimpun Diperigi Zamzam.

Adapun pendapat  demikian tidak ada dalilnya dari al-Quran dan al-Sunnah, tidak boleh berpegang dengan pendapat ini, tidak ada kata-kata dari sahabat Nabi s.a.w. yang boleh dipercayaai, ini adalah tidak saheh, kerana perigi Zamzam tidak muat untuk dihimpunkan   roh orang yang beriman, pandangan ini adalah bercanggah dengan sunah yang saheh menyatakan bahawa roh orang yang beriman berupa burung yang berterbangan dipohon-pohon syurga.

Kata-kata ini adalah sebatil-batil dakwaan dan seburuk-buruknya, malah lebih buruk lagi berbanding dengan pandangan yang menyatakan roh berada  di Jabiyah sedangkan Jabiyah suatu tempat yang luas dan lapang berbanding dengan perigi Zamzam.

Pasal;

Pendapat Yang Menyatakan Bahawa Roh Orang Yang Beriman Berada Di Barzakh  Dan Bergerak Dengan Bebas Kemana Dikehendakinya.

Adapun pendapat yang menyatakan demikian adalah diriwayatkan oleh Salman al-Farisi. Al-Barzakh ialah suatu tempat yang terdinding antara dua alam, Salman bermaksud Barzakh berada di antara dunia dan akhirat yang bebas untuk roh bergerak kemana sahaja dikehendakinya, pandangan ini kuat, kerana roh telah terpisah dari dunia dan belum lagi masuk kealam akhirat.

Roh orang yang beriman berada di alam barzakh yang luas  sedang menerima berbagai ni’mat dan kesenangan. Manakala roh orang kafir pula berada di alam barzakh yang sempit dalam keadaan susah dan azab.

Firman Allah Ta’ala;  ( ومن ورائهم برزح الى يوم يبعثون  ) ”Dan dihadapan mereka terdapat alam Barzakh iaitu dinding yang membatasi hingga  kehari mereka dibangkitkan”. Al-Mukminun:100.

Pasal:

Pendapat Yang Mengatakan Roh Orang Yang Beriman Disebelah Kanan Adam Manakala Roh Orang Kafir Disebelah Kirinya.

Kata-kata ini telah disokong dengan hadis yang saheh, iaitu hadis mengenai peristiwa Israk, kerana Nabi s.a.w. telah  diperlihatkan hal demikian, kata-kata ini tidak  semestinya roh-roh tersebut berada dekat dengan Adam malah kemunkinan amat jauh dipihak kanannya dan juga  dipihak atasnya sedangkan roh orang kafir disebelah kirinya dalam jurang dan tertahan disana.

Kata Abu Muhammad bin Hazm, bahawa Barzakh yang diperlihatakan kepada Nabi sa.w. dimalam Israk terletak dilangit dunia. Alam  itu berbeza  dengan  alam kita   walau pun  dibawah langit  tetapi tidak dapati padanya air, tanah, api dan udara.

Bahan bacaan kitab al-Roh oleh Ibnu al-Qaiyim halaman 281.

Dikirim dalam Hakikat roh, Ustaz Ya Ali | Di tag: | Leave a Comment »

Munajat Abu Sulaiman al-Darani r.a

Posted by aburedza di 18 Mei 2010

Munajat Abu Sulaiman al-Darani r.a

Imam Nawawi dalam Kitabnya Nashaihul ‘Ibad menitipkan munajat Abu Sulaiman al-Darani r.a[1] seperti berikut:

Wahai tuhanku

Apabila Engkau menuntutku kerana dosaku

Tentu aku pun akan mohon keampunan-Mu.


Apabila Engkau menuntutku kerana kebakhilanku,

Tentu aku akan memohon kedermawan-Mu.


Dan apabila Engkau memasukkan aku ke neraka

Tentu aku pun akan menberitakan kepada ahli neraka

Bahawa sesunggunya aku mencintai-Mu.[2]


[1] Abu Sulaiman al-Derani wafat tahun 215H. Daran adalah nama sebuah kota di Damsyik. Imam Nawawi mengutip munajat ini melalui riwayat Abdurrahman bin Athiyah. Rujuk  muka surat 47 terjemahan Nashaihul Ibad – Nasihat-nasihat Agama Kepada Calon Penghuni Syurga , tetbitan Jahabersa cetakan ke 3  2010.

[2] Imam Nawawi menghuraikan : Aku menuntut-Mu dengan ampunan, kerana ampunan-Mu pasti lebih luas berbanding dosaku. Kata kebakhilan di sini, dimaksudkan dengan kekikiran member sedekah dan kebakhilan mengabdikan diri untuk mennunaikan perintah Allah.

Dikirim dalam Munajat | Di tag: , | Leave a Comment »

Meninggalkan Qunut Subuh

Posted by aburedza di 18 Mei 2010

MENINGGALKAN QUNUT SUBUH

Pengarang : Abu Iqbal Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Kebanyakan umat Islam di Malaysia berpendapat sekiranya sesiapa yang meninggalkan doa qunut pada solat Subuh secara sengaja seolah-olah dia telah melakukan satu perbuatan yang telah menyalahi syari’at dan menggugat kesempurnaan ibadah solat. Mereka melihat qunut Subuh ini seakan-akan ianya berstatus wajib dalam solat Subuh. Mereka seperti tidak mengerti bahawa di sisi mazhab al-Syafi’i sekalipun ianya hanyalah sunat mu’akad. al-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya al-Adzkar (ms. 111) berkata: “Menurut mazhab kami (iaitu al-Syafi’i), qunut disyari’atkan pada solat Subuh dan hukumnya adalah sunat mu’akad[1] Sebelum kita meneliti sunnah Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam yang sebenar mengenai qunut ini, seeloknya kita memahami pengertian qunut dahulu. Qunut dari segi bahasa bermakna berdiri. Di dalam al-Qur’an terdapat beberapa firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang boleh menjelaskan kepada kita makna qunut dengan lebih mendalam seperti:

…bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya (qaanituun) [2]

Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaan-Nya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturan-Nya (qaanituun).[3]

(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat (qaanitun) mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?[4]

…dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) dia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitab-Nya; dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat (al-qaanitiin).[5]

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat Wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk. (qaannitiin)[6]

Manakala dalam hadis Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam terdapat penjelasan baginda tentang qunut iaitu hadis daripada Jabir radhiallahu ‘anh:

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَلاَةِ أَفْضَلُ؟

قَالَ: طُولُ الْقُنُوتِ.

Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya

pekerjaan solat yang manakah yang lebih utama?

Rasulullah menjawab: (Solat yang) panjang berdirinya (al-Qunut).[7]

Daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam di atas boleh kita katakan: “Qunut artinya khusyu’, selalu taat, doa, menghinakan diri kepada Allah, diam, tunduk, mengekalkan ibadah, lama berdiri dalam solat.[8] Qunut dalam ibadah solat adalah berdiri untuk berdoa sebelum rukuk (untuk qunut witir[9]) atau bangkit sesudah rukuk (qunut nazilah[10] dan qunut witir pada akhir pertengahan bulan ramadhan). Bagi mereka yang bermazhab al-Syafi’i qunut juga diamalkan setelah bangkit dari rukuk pada solat Subuh yang dilakukan secara berterusan setiap hari.

Dalil disyari’atkan doa qunut dalam solat sunat witir adalah hadis berikut:

Hasan bin Ali radhiallahu ‘anhuma berkata, Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan aku beberapa kalimat yang harus aku ucapkan di dalam solat witir, iaitu:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ

وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ

إِنَّكَ تَقْضِي وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ

وَلاَ يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ.

Ya Allah, tunjukilah aku ke dalam golongan orang yang Engkau telah berikan petunjuk, sejahterakanlah aku ke dalam golongan orang yang Engkau telah berikan kesejahteraan, sayangilah aku ke dalam golongan orang yang telah Engkau sayangi, berkatilah aku ke dalam golongan orang yang telah Engkau berkati, hindarilah aku dari segala bahaya yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya Engkaulah yang menentukan dan bukan yang ditentukan, Sesungguhnya tidak akan hina orang yang telah Engkau lindungi  dan tidak akan menjadi mulia orang yang Engkau musuhi.

Engkau wahai Tuhan adalah Maha Mulia serta Maha Tinggi. [11]

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar cucunya untuk membaca doa qunut di atas dalam solat witir, bererti membaca doa qunut ketika solat witir adalah sesuatu yang disyari’atkan. Manakala dalil disyari’atkan doa qunut nazilah dalam solat fardhu adalah hadis berikut daripada Abdullah ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma:

قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا

فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلاَةِ الصُّبْحِ فِي دُبُرِ

كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ

يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ

وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَهُ.

Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam telah berqunut sebulan berturut-turut dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu dalam rakaat terakhir  ketika i’tidal sehabis mengucapkan “Samiallahuliman hamidah”.

Di situ baginda berdoa untuk kebinasaan Bani Sulaim, Ra’al, Dzakwan dan Ushaiyah, sedang makmum yang di belakangnya mengaminkan doa itu.”[12]

Sementara itu Anas bin Malik radhiallahu’anh juga telah berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَقْنُتُ

إلاَّ إذَا دَعَا الْقَوْمِ أَوْ دَعَا عَلَى قَوْمٍ.

“Bahawa Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam tidaklah pernah berdoa selepas (bangun daripada rukuk) kecuali untuk memohon kebaikan kepada orang ramai  atau mengutuk sesetengah kaum itu.”[13]

Bersandarkan dalil-dalil di atas, telah bersepakat ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah akan sunnahnya doa qunut witir dan qunut nazilah. Sedangkan qunut secara berterusan dalam solat Subuh, ulama’ berbeza pendapat kesunnahannya.[14] Yang lebih tepat menurut Sayyid Sabiq rahimahullah adalah:

Qunut dalam solat Subuh itu tidak disyari’atkan kecuali apabila terjadi bahaya (iaitu membaca qunut nazilah – pen). Dan kalau terjadi bahaya itu, maka bukan hanya dalam solat Subuh sahaja disunatkan berqunut, tetapi juga di dalam semua solat fardhu yang lain sebagaimana yang diterangkan di atas.[15]

Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam serta para sahabatnya radhiallahu’anhum tidak mengerjakan qunut Subuh secara terus-menerus sepanjang hayat mereka melainkan jika terjadi sesuatu musibah maka mereka membacakan qunut nazilah dalam solat-solat fardhu termasuk solat Subuh. Berkata Anas bin Malik radhiallahu ‘anh:

أنَّ النَّبيِّ صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ كَانَ لاَ يَقْنُتُ فِي صَلاَةِ الصُّبْحِ

إِلاَّ إِذَا دَعَا لِقَوْمٍ أَوْ دَعَا عَلَى قَوْمٍ.

Bahawasanya Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam itu tidak pernah berqunut  dalam solat Subuh kecuali untuk mendoakan kebaikan bagi sesuatu kaum (muslimin) atau mendoakan kebinasaan sesuatu kaum (kafir) (iaitu qunut nazilah – pen).[16]

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الأَشْجَعِيِّ قَالَ, قُلْتُ لأَبِي:

يَا أَبَةِ إِنَّكَ قَدْ صَلَّيْتَ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ

هَا هُنَا بِالْكُوفَةِ نَحْوًا مِنْ خَمْسِ سِنِينَ أَكَانُوا يَقْنُتُون؟َ

قَالَ: أَيْ بُنَيَّ مُحْدَثٌ.

Abi Malik al-Asyja’i berkata, saya bertanya kepada ayahku:

“Wahai bapaku! Sesungguhnya engkau pernah bersolat di belakang Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali bin Abi Thalib di Kufah selama lima tahun, apakah mereka melakukan qunut?”

Jawab ayahku: “Hai anakku! Itu adalah perbuatan bid’ah! [17]

Dari dalil-dalil di atas dapatlah kita fahami bahawa Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat radhiallahu’anhum tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh melainkan qunut nazilah. Maka bukanlah satu kesalahan yang besar bagi mereka yang berpendapat qunut Subuh itu tidak disyari’atkan lalu mereka meninggalkannya. Tidak perlu untuk sujud sahwi sekiranya meninggalkan qunut Subuh samada dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Apa sepatutnya yang lebih diutamakan sekarang ini ketika musibah dan bencana melanda umat Islam di serata dunia[18] adalah mengerjakan qunut nazilah dalam solat-solat fardhu memandangkan ianya memang telah disepakati pengsyari’atannya. Namun begitu apa yang menghairankan qunut nazilah ini jarang-jarang dikerjakan walaupun keadaan umat Islam di seluruh dunia begitu terhimpit sekarang ini. Abu Ubaidah menegaskan:

Membaca doa qunut (nazilah – pen) dalam keadaan-keadaan tertentu merupakan bantuan berupa doa kepada sesama umat Islam. Sedangkan mendoakan musuh kaum musimin supaya hancur telah dicontohkan dari Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dengan cara berdoa (berqunut nazilah)  ketika solat, tepatnya setelah membaca sami’allahu liman hamidah pada rakaat terakhir.[19]

Oleh itu marilah kita menyuburkan semula sunnah Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam yang semakin jarang-jarang diamalkan di Malaysia iaitu membaca qunut nazilah. Semoga doa-doa kita dimakbulkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan dapat membantu meringankan beban saudara-saudara seagama kita serta menghancurkan musuh-musuh Islam.[20]


[1] Dinukil daripada buku Hafiz Firdaus Abdullah, Menangani Persoalan Qunut: Dibaca Atau Tidak?, (Jahabersa, Johor Bahru, 1999), ms. 58.

[2] al-Baqarah (2): 116

[3] al-Ruum (30): 26

[4] al-Zumar (39): 9

[5] al-Tahriim (66): 12

[6] al-Baqarah (2): 238

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 756.

[8] Definisi ini dinukil daripada kitab al-Masaa-il karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, jld.1, ms. 235

[9] Qunut Witir adalah doa qunut yang dibacakan dalam solat sunat witir.

[10] Qunut Nazilah adalah doa qunut yang dibacakan selepas bangkit dari rukuk dalam rakaat terakhir dalam mana-mana solat fardhu ketika umat Islam  menghadapi bahaya, bencana atau bala.

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 1425. al-Nawai juga mensahihkannya dalam al-Majmu’, jld. 3, ms. 472. Juga dikeluarkan oleh al-Nasai dengan tambahan selawat pada akhir doa akan tetapi ini adalah dhaif sebagaimana nilai al-Albani dalam Dhaif Sunan al-Nasai – hadis no: 1746.

[12] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan berkata al-Nawawi dalam al-Majmu’, jld. 3, ms. 482: “Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang hasan atau sahih.” Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no. 1443.

[13] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no. 620 dan sanadnya dinilai sahih oleh Muhammad Musthafa al-‘Azhami dalam semakannya ke atas kitab tersebut. Juga dikeluarkan oleh Ibn al-Jauzi dalam al-Tahqiq fi Masa’il al-Khilaf, hadis no. 774. Berkata al-Zahabi dalam Tanqih al-Tahqiq: “Sanadnya sahih, diriwayatkan oleh al-Khatib dalam Kitab al-Qunut.

[14] Penulis tidak bercadang untuk memperdebatkan secara mendalam tentang kelemahan hadis-hadis berkaitan dengan doa qunut dalam solat Subuh kerana objektif penulisan bab ini hanyalah untuk menerangkan kenapa ada pihak yang tidak berqunut Subuh. Sekiranya pembaca budiman berminat untuk mengkaji dengan lebih lanjut, sila dapatkan buku “Menangani Persoalan Doa Qunut: Dibaca Atau Tidak?” oleh Hafiz Firdaus Abdullah terbitan Jahabersa.

[15] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.2, ms. 43

[16] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban sebagaimana dinyatakan oleh al-Zaila‘i (الزيلعي) dalam Nasb al-Rayah (نصب الراية) fi Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld.2, mukasurat 145. Juga disandarkan kepada Ibn Hibban oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dan beliau mensahihkan sanadnya. Rujuk al-Dirayah fi Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld.1, mukasurat 195. Ibn al-Humam juga mensahihkan sanadnya, rujuk Fath al-Qadir Syarh al-Hidayah, jld.1, mukasurat 433-434.

Hadis sahih ini menggambarkan pegangan sebenar Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkaitan Qunut Subuh. Oleh itu hadis ini secara tidak langsung menolak sebuah hadis yang sering digunakan sebagai hujah untuk berqunut Subuh daripada Anas radhiallahu ‘anhu yang tidak sahih iaitu,

مَا زَالَ رَسُولُ الله صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ يَقْنُتُ فِي الْفَجْرِ حَتَّ فَرَقَ ألدُّنْيَا.

“Senantiasa Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam berqunut pada solat Subuh sehingga baginda wafat.” (Hadis riwayat Ahmad, Baihaqi, Daruquthni, Hakim, Abdur Razzaq dan Abu Nu’aim). Kelemahan hadis ini terletak pada sanadnya yang terdapat seorang perawi bernama Abu Ja’far al-Razi (Nama aslinya Abu Ja’far Isa bin Mahan al-Razi) yang telah dilemahkan oleh imam-imam hadis seperti Ahmad bin Hanbal, Abu Zur’ah, al-Fallas, Ibnu al-Madini, Ibnu Hibban, Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim, Ibnu Kathir, al-Zaila’i dan tokoh hadis abad ini, Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahumullah. al-Nawawi rahimahullah juga mengakui kelemahannya namun beliau menyatakan hadis Anas tersebut mempunyai penguat dari beberapa hadis-hadis lain yang beliau anggap sahih. Namun sebenarnya hadis-hadis tersebut kesemuanya memiliki kecacatan yang berat dalam sanad sehingga tidak dibolehkan dijadikan penguat. Yazid bin Abdul Qadir Jawas telah membuktikan dengan jelas tentang kelemahan kesemua hadis-hadis tersebut dalam sebuah artikel bertajuk “Semua Hadits Tentang Qunut Shubuh Terus Menerus Adalah Lemah” dalam buku beliau Ar-Rasaail, Jld.1, (Pustaka Abdullah, Jakarta, 2004). Silalah rujuk perbahasan beliau yang begitu mendalam tentang isu ini.

Jelas di sini terdapat dua hadis daripada Anas bin Malik radhiallahu’anh yang bercanggah antara satu sama lain. Antara kaedah untuk mengatasi masalah hadis-hadis yang kelihatan bercanggah ialah jika hadis yang bercanggah tersebut adalah antara hadis yang kuat (sahih atau hasan) dengan hadis yang lemah (dhaif atau mawdhu’), maka percanggahan itu dapat diatasi dengan mengunggulkan hadis yang kuat dan menolak hadis yang lemah. Untuk mendalami kaedah-kaedah menangani hadis-hadis bercanggah sila rujuk buku karya Hafiz Firdaus Abdullah bertajuk ‘Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah’ yang diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru, 2003.

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no. 402.

[18] Antara musibah yang sedang melanda umat Islam sehingga memerlukan qunut nazilah adalah kekejaman rejim Zionis di Palestine, pencerobohan tentera kuffar di negara-negara Islam seperti di Iraq dan Afghanistan, penindasan umat Islam di India, Filipina, Wilayah Selatan Thailand, kesengsaraan umat Islam di benua Asia yang dilanda ombak Tsunami dan lain-lain. Semoga Allah Ta’ala melindungi pejuang-pejuang Islam yang sedang berjuang di seluruh dunia. Ameen Ya Rabb al-‘Alameen.

[19] Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 136- 137.

[20] Catitan penyunting: Para tokoh Mazhab al-Syafi’i menekankan bahawa terdapat hadis-hadis sahih yang menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membaca doa qunut Subuh. Doa qunut ini adalah doa yang umum, bukan qunut nazilah. Saya berkata:

  1. Darjat hadis-hadis tersebut masih terbuka kepada perbincangan sama ada sahih atau tidak.
  2. Seandainya sahih, maka hadis-hadis tersebut yang bersifat umum diperincikan oleh hadis-hadis yang menerangkan bahawa doa tersebut ialah qunut nazilah dan dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah.
  3. Adapun doa qunut yang lazim dibaca sekarang ini, ia sepatutnya dibaca ketika solat witir dan bukannya solat Subuh. Petunjuk Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah amat jelas dalam hal ini.

Dipetik dari:

Buku Beberapa Persoalan Lazim Tentang Solat : Persoalan ke 13

Pengarang : Abu Iqbal Mohd Yaakub bin Mohd Yunus   akob73@yahoo.com.

Penyunting :  Hafiz Firdaus Abdullah   http://www.hafizfirdaus.com/

Penerbit: Perniagaan Jahabersa

Dikirim dalam Qunut Subuh | Di tag: , | 1 Komen »

Pengajian Kitab al-Roh

Posted by aburedza di 16 Mei 2010

Kuliah Subuh pada 2 Mei 2010 di Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis

Oleh

Ustaz Ya ali Dahaman Imam Masjid al-Syakirin

Pengajian Kitab al-Roh sambungan

Ka’ab telah menjawab soalan Ibnu Abbas; Ada pun Illiyun ialah langit yang ketujuh   tempat roh orang yang berimam. Adapun Sijjin ialah didalam bumi yang ketujuh tempat roh orang kafir di bawah jasad iblis. Adapun firman Allah (ورفعناه مكانا عليا) Maryam: 57  bermaksud; Dan Kami mengangkatnya ketempat yang tinggi:.Allah berfirman kepadanya. Sesungguhnya Aku mengangkat engkau sebagaimana diangkat pahala amalan anak Adam, Allah berfiman kepada malaikat yang terdekat dengan Nya supaya memberi tahu kepada Malikil Maut agar menangguhkan urusan mencabut nyawa Idris  agar dia dapat menambah amalannya, lalu Malaikat mengangkat Idris dengan sayapnya hingga kelangit yang keempat, bila sampai kelangit keempat telah bertemu dengan Malikil Maut lalu memberi tahu tentang hajatnya (mencabut nyawa Idris)  dan dia  bertanya dimana  Nabi Idris, jawab malaikat yang membawanya bahawa dia berada dalam sayapku. Maka berkata Malikil Maut, Aku hairan kenapa Allah memerintahkan aku mengambil nyawanya dilangit yang keempat, lalu mengambil nyawanya disitu.

Adapun Sidratul Muntaha adalah satu pohon rendang diatas kepala malaikat yang memikul ‘Arasy, yang berakhir padanya semua ilmu pengetahuan makhluq Allah, sebab itu dinamakan Sidratul Muntaha.

Kata Ya’la bin Ubaid dari al-Dhahhak; apabila dicabut roh orang yang beriman lalu dibawa naik hingga kelangit dunia lalu disambut oleh malaikat muqarrabin dan terus dibawa kelangit kedua, kemudian ketiga, kemudian keempat kemudian kelima kemudian keenam dan ketujuh sehinggalah sampai ke Sidratul Muntaha. Kemudian aku bertanya kepada al-Dhahhak, kenapa dinamakan Sidratul Muntaha? Jawabnya;  kepadanya sampai setiap sesuatu perintah Allah. Lalu malaikat berkata; Ya Allah bahawa si pulan ini (Allah lebih tahu) lebih  pengetahuannya  berbanding  dari orang lain, lalu Allah mengutuskan kepadanya surat akuan yang mencatatkan bahawa dia terselamat dari azab Nya, firman Allah:

(كلا ان كتاب الأبار لفى عليين. وما أدراك ما عليون . كتاب مرقوم. يشهده المقربون). المطففين :18-21

Bermaksud; Bahkan, sesungguhnya buku catatan orang yang baik berada di Illiyin. Dan tahukan engkau apa Illiyun. Iaitu buku catatan yang bermohor. Disaksikan oleh malaikat muqarrabun”.

Pendapat ini tidaklah menafikan pendapat lain yang mengatakan bahawa roh  orang yang beriman berada di dalam syurga, kerana syurga juga berada di Sidratul Muntaha, syurga berada di sisi Allah Azza wajalla, Allah juga memberi tahu bahawa roh para syuhadak berada di dalam syurga,  Nabi s.a.w. juga memberatahu bahawa roh mereka berada  dalam syurga dan bebas bergerak kemana yang mereka kehendaki.

Fasal; Menyatakan  Pendapat Yang Berkata Roh Yang Beriman Berada Di  -Jabiyah.

Adapun orang yang berkata roh orang yang beriman berada di Jabiyah, roh orang kafir berada di Barhut di Hadzramaut. Menurut Muhammad bin Hazmin, kata-kata ini adalah berasal dari al-Rafizah, sebenarnya pendapat ini idak benar, pendapat ini juga pernah dikatakan oleh sebahagian dari kumpulan ahli Sunnah.

Abu Abdullah bin Mandah telah meriwayatkan dari sekumpulan sahabat dan al-Tabi’in; Bahawa roh orang-orang yang beriman berada di Jabiyah, pandangan yang sama juga biberikan oleh  Abdullah bin Amrin bahawa roh orang yang beriman  dihimpun di Jabiyah manakala roh orang kafir  dihimpun di barhut di Hadzramaut.

Dalam satu cerita yang lain bahawa Hammad bin Salamah berkata bahawa Ka’ab telah menghadiri satu majlis Abdullah bin Amru, lalu disoal  tempat roh orang yang beriman dan roh orang kafir, beliau menjawab; bahawa roh orang yang beriman di Jabiyah dan roh orang kafir di Barhut.

Telah  dicerita oleh Ibnu Mandah, Ali  berkata; sebaik-baik perigi diatas muka bumi ialah perigi Zamzam, seburuk-buruk perigi diatas muka bumi ialah Perigi Barhut di Hadzramaut, sebaik-baik lembah diatas muka bumi ialah lembah Mekah, tempat diturunkan Nabi Adam, setelah membawa kebaikan kepada kamu dari India, seburuk-buruk tempat diatas muka bumi ialah Ahqaf di Hadzamaut tempat roh orang-orang kafir.

Ibnu Mandah menyatakan lagi dari Ali katanya; Seburuk-buruk tempat di atas muka bumi ialah lembah di Hadzramaut yang dinamakan Barhut tempat roh orang-orang kapir, disitu ada satu perigi yang sebelah siang airnya berwarna hitam seperti nanah yang dipenuhi dengan hama atau kuman.

Dalam satu berita lain menerusi Ismail bin Ishak dari  Ibban bin Taghlib katanya; Seorang lelaki telah menceritakan; Satu malam saya bermalam di lembah Barhut, aku dengar suara orang ramai yang  memanggil; wahai  Dumah wahai Dumah; kata Ibban lagi bahawa seorang ahli kitab telah memberitahu bahawa dimaksudkan dengan Daumah itu ialah Malaikat yang mengawasi roh-roh ditempat itu.

Sufian  telah berkata, kami pernah bertanya penduduk-penduduk Hadzramaut lalu mereka menjawab; tidak seorang pun yang dapat tidur ditempat ini sebelah malam.

Kata-kata diatas telah dinyatakan oleh Abdullah bin Abbas, kemunkinan beliau membuat bandingan suatu tempat  yang luas dihimpunkan roh  padanya   seperti Jabiyah kerana ia suatu tempat yang luas, atau beliau telah mendapat maklumat tersebut di dalam kitab-kitab terdahulu.  والله أعلم

Bahan bacaan Kitab al-Roh Ibnu Qaiyim al-Jauziyah halaman 277.

Dikirim dalam Hakikat roh | Di tag: | Leave a Comment »

Biodata Khalifah Uthman bin Affan r.a

Posted by aburedza di 8 Mei 2010

Biodata Khalifah Uthman bin Affan r.a[1]

Secara khusus latar diri dan biodata khalifah Uthman bin Affan r.a. adalah seperti yang berikut:

1. Orang pertama yang berhijrah ke negeri Habsyah (Eritheria) di atas arahan Rasulullah s.a.w. Iaitu bersama isterinya Ruqayyah bt. Rasulullah s.a.w.[2]

Daripada Anas r.a. berkata: “Orang yang pertama dari kalangan muslimin berhijrah ke Habsyah bersama ahli keluarganya ialah Uthman bin Affan. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Kedua-duanya ditemani oleh Allah. Sesungguhnya Uthman bin Affan itu ialah orang yang paling pertama berhijrah ke jalan Allah bersama dengan keluarganya selepas Nabi Allah Lut berbuat demikian.

2. Tokoh yang terlalu banyak menyumbangkan harta miliknya ke jalan Allah, contoh yang paling terkenal, ialah dalam penyediaan tentera Jihad Usrah.[3]

“Berkata Adurrahman bin Habbab: Aku telah menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w. memberangsangkan bagi persiapan untuk tentera yang menghadapi kepayahan. Maka Uthman bin Affan dapat tahu hal itu, lalu berkata: Ya Rasulullah! Untuk itu hamba sumbangkan 100 ekor unta yang semata-mata ke jalan Allah. Selepas itu pula Nabi s.a.w. mengiklankan keperluan untuk kegunaan para tentera sendiri. Maka Uthman r.a. berkata: Ya Rasulullah! Hamba sumbangkan lagi 300 ekor unta yang lengkap dengan kelengkapan seperlunya, semata-mata ke jalan Allah. Kata Abdurrahman, aku lihat Rasulullah s.a.w. turun dari atas mimbar, lalu berkata: Tidak ada apa-apa tindakan Uthman yang boleh menjejaskannya selepas ini semua! Tidak ada apa-apa tindakan Uthman yang boleh menjejaskannya selepas ini semua!. [4]

Begitu juga dalam Hadith al-Tirmizi: [5]

“Daripada Ab. Rahman bin Samurah, berkata: Uthman telah datang bertemu Nabi s.a.w. membawa seribu dinar ketika menyediakan keperluan zaman susah tentera. Maka lalu dilonggokkan di hadapannya, maka Nabi s.a.w. lalu membelek-belekkannya sambil bersabda: Apa-apa yang Uthman lakukan selepas hari ini, tidak akan menjejaskannya (dua kali).

3. Uthman bin Affan r.a. membeli sebuah perigi dengan wangnya sendiri dan diwakaf untuk kegunaan seluruh Muslimin di Madinah, sedangkan di Madinah waktu itu sukar mendapat sumber air. Keterangannya melalui Hadith riwayat al-Tabarani dan Ibnu Asakir:[6]

Daripada Basyir al-Aslami, berkata: Bila kaum Muhajirin tiba di Madinah, mereka mengalami amat sukar mendapat air. Dan hanya terdapat sebuah perigi milik seorang lelaki daripada Bani Ghifar, perigi itu dikenali dengan perigi Romah. la menjual aimya setimba dengan harta satu mud (kadar wang yang digunakan zaman itu). Lalu Nabi s.a.w. menawarkan untuk membelinya dengan

janji sebuah perigi di dalam syurga kelak. Jawabnya Ya Rasulullah! Tidak ada lagi perigi yang lain milikku dan anak-anakku. Dan aku tidak dapat menerima tawaran itu. Berita itu sampai ke pengetahuan Uthman r.a., lalu segera membelinya dengan harga 35 000 dirham (satu harga yang tidak ada siapa yang mampu membelinya). Kemudian dia datang menghadap Nabi s.a.w. lalu

bertanya: Ya, RasuluIlah! Adakah tuan masih menawarkan untuk saya seperti tuan tawarkan kepada empunya perigi itu untuk mendapatkan sebuah perigi di syurga kalau saya dapat membelinya? Jawab Nabi s.a.w.: Ya! lalu kata saya Uthman r.a. sebenarnya, saya telah pun membelinya dan mewakafkan untuk kegunaan semua Muslimin.

4. Keberanian dan kesanggupan Uthman bin Affan r.a. menempuh maut sematamata kerana arahan RasululIah s.a.w. sebagai wakilnya kepada pihak Musyrikin Quraisy di Makkah iaitu dalam peristiwa Hudaibiyah pada tahun 6H. Pada mulanya Nabi s.a.w. cuba melantik Umar bin al-Khattab r.a., yang terkenal keberaniannya, tetapi di sini ternyata Umar kurang berani. Katanya:[7]

“Wahai Rasulullah! Hamba bimbang keselamatan diri hamba dari Quraisy itu. Kerana di Makkah tidak ada seorang pun keturunan Bani Adi yang boleh melindungi hamba. Sedangkan kaum Quraisy itu benar-benar mengetahui permusuhan hamba dan kekasaran hamba terhadap mereka dulu. Tetapi hamba boleh tunjukkan seorang lelaki yang lebih berkemampuan daripada hamba, iaitu Uthman bin Affan.

Selain sumbangan-sumbangan yang terlalu besar kepada kejayaan Islam, maka dalam keadaan-keadaan tertentu pula nampak Saiyidina Uthman r.a. lebih berani dan lebih bertawakal daripada orang lain. Satu kelebihan yang sukar ditandingi.

5. Uthman bin Affan r.a. satu-satunya manusia yang mendapat penghormatan daripada Allah dan Rasul-Nya. Ini kerana tidak berlaku di dalam dunia ini seorang manusia dapat mengahwini dua orang puteri Nabi, lebih-Iebih lagi puteri kepada Rasul terakhir (Khatam al-Nabiyin). Sebab itu ia digelar, Zu al-Nurain (yang memiliki dua cahaya, yakni dua puteri Nabi) , penjelasan ini terdapat dalam Hadith riwayat al-Baihaqi:[8]

Daripada Abdullah bin Umar bin Aban al-Ju’fi, berkata: Bapa saudaraku Hussain al-Ju’fi bertanya kepadaku: Tahukah kamu, mengapakah Uthman itu digelar pemilik dua cahaya? Kataku: Tidak, lalu katanya: Sejak Allah jadikan Adam hinggalah ke hari kiamat tidak pernah ada orang yang mengumpul (mengahwini) dua orang puteri Nabi, selain Uthman. Maka sebab itu digelar Zu al-Nurain (pemilik dua cahaya). Mula-mula Uthman r.a. mengahwini Ruqayyah bt. Rasul s.a.w. yang meninggal dunia pada malam peperangan Badar, kemudian Rasulullah s.a.w. kahwinkannya pula dengan adiknya Ummu Kalthom.

Rasulullah s.a.w. mengahwinkan puterinya dengan Saiyidina Uthman r.a. bukanlah seperti bapa-bapa biasa yang mengahwinkan anak-anak perempuan mereka dengan seseorang lelaki dengan pilihan dan sebab-sebab tertentu yang dimaklumi umum, berbanding Rasulullah s.a.w. ketika engahwinkan  puterinya dengan Uthman adalah arahan wahyu Allah s.a.w. Kenyataan ini berdasarkan al-Tabarani daripada Hadith Ibn Abbas r.a. daripada Nabi s.a.w.[9]

Nabi s.a.w. bersabda sesungguhnya Allah s.w.t. telah mewahyukan kepadaku supaya aku kahwinkan anakandaku dengan Uthman.

Begitu juga Hadith:[10]

Daripada lbn Abbas r.a., berkata aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku tidak kahwinkan Uthman dengan Ummi Kalthom, melainkan dengan sebab arahan wahyu dari langit.

Bukan hanya sekadar itu sahaja, bahkan Rasulullah s.a.w. pernah membayangkan penghargaannya lebih daripada itu, sebagaimana Hadith al-Tabarani:[11]

Daripada Ismah bin Malik, telah berkata: Apabila anakanda Rasulullah s.a.w. yang di bawah milik Uthman itu meninggal dunia, Rasulullah s.a.w. bersabda pula: Kahwinkanlah Uthman, kalaulah aku masih mempunyai puteri yang ketiga, nescaya aku kahwinkannya dengan Uthman, kerana aku tidak kahwinkannya dulu, melainkan dengan sebab wahyu daripada Allah.

Aspirasi daripada Hadith-Hadith yang lalu menunjukkan tentang keistimewaan Saiyidina Uthman r.a. itu hingga Allah s.w.t. sendiri mewahyukan kepada Nabi-Nya dalam perkara ini, sudah tentu ada sesuatu rahsia besar yang tidak mampu diketahui oleh manusia. Andainya Uthman r.a. itu seorang yang berperangai buruk atau ada salah pada pendirian dan tingkah lakunya, sama ada yang menyentuh diri sendiri maupun masyarakat dan negara, maka sudah tentu Allah s.w.t. tidak akan menerimanya sebagai menantu kepada Nabi besar. Dari segi yang lain menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. begitu akur dengan wahyu Allah, sehinggakan soal perkahwinan anak pun, baginda tidak cuba membincangkan arahan wahyu itu.

6. Dalam zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a. berlaku kemelesetan di bumi Hijaz akibat kemarau panjang. Tanaman gandum dan buah-buahan rosak dan kering. Khalifah cemas sekali, lalu Saiyidina Uthman r.a. menghadiahkan bahan-bahan makanan dan minuman dari satu kafilah besar milik peribadinya yang baru tiba dari wilayah Syam. Kafilah itu dianggarkan terdiri daripada 1000 ekor unta yang penuh muatan, semuanya dihadiahkan percuma kepada kaum Muslimin.[12]

7. Uthman r.a. merupakan seorang sahabat yang dijamin untuk menghuni Syurga Allah oleh Rasulullah s.a.w. Ini berdasarkan Hadith:[13]

Setiap Nabi itu ada teman karibnya, teman karibku di dalam syurga kelak ialah Uthman.

Begitu juga pengakuan daripada Rasulullah s.a.w. yang di catatkan oleh Ibn Abd. al-Bar:[14]

Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda “Aku telah memohon kepada Tuhanku Yang Maha Agung supaya tidak memasukkan ke dalam neraka sesiapa sahaja yang pernah bermenantukan Aku atau Aku menjadi menantunya.”

8. Uthman bin Affan r.a. berperibadi terlalu mulia, baik dalaman mahupun luaran, sehinggakan para malaikat sendiri pun segan dan malu kepadanya. Perkara ini  dijelas oleh Muslim dalam Hadithnya yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. Bahawa sedang Rasulullah s.a.w. duduk berbaring-baring di katilku, badannya diselimut dengan kain panjangku (dengan terbuka di sana sini). Kemudian datang Abu Bakar dan kemudian datang Umar r.a. memohon izin untuk berbincang sesuatu. Baginda s.a.w. berkeadaan begitu hingga mereka meminta diri untuk pulang. Kemudian Uthman r.a. pula datang, kali ini Rasulullah s.a.w. terus bangun membetulkan kedudukan dan pakaiannya baik-baik. Apabila selesai perbincangan dan Uthman r.a. pulang. Aku bertanya: Ya Rasulullah, mengapa saya lihat kamu tidak cemas atau terburu-buru ketika menerima kedatangan Abu Bakar dan Umar r.a., tidak seperti kedatangan Uthman r.a. ? Lantas jawab Rasulullah s.a.w.:[15]

Apakah tidak wajar aku segan dan malu kepada seseorang yang malaikat sendiri pun segan dar malu kepadanya !

9. Uthman bin Affan r.a. dipilih sebagai salah seorang penulis wahyu pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w., digandingkan dengan Ali bin Abi Talib r.a.[16] Ketika Abu Bakar al-Siddiq r.a. menjadi khalifah, Saiyidina Uthman r.a. terus dilantik menjadi setiausaha negara.[17] Sebenarnya, masih banyak lagi kelebihan-kelebihan Saiyidina Uthman yang melambangkan satu nilai ketokohan dan ketinggian iman seorang sahabat besar kepada Rasulullah s.a.w., sehingga Nabi s.a.w. sendiri mengakuinya sebagai personaliti yang terbaik, dan bakal menjadi penghuni syurga Allah s.w.t. seperti Abu Bakar, Umar, Ali dan juga yang lain-lain.

Biodata atau latar diri begini perlu diberi perhatian secukupnya terlebih dahulu, sebelum orangorang mutakhir seperti kita ini membuat sesuatu penilaian ke atas pendirian, sikap dan tindakan mana-mana sahabat besar Rasulullah s.a.w. itu. Ini kerana, dengan cara itu sahaja kita terselamat daripada perangkap yang sentiasa dipasang oleh musuh-musuh Islam di sepanjang jalan. Sekiranya kita terperangkap, maka dengan sendirinya kita sudah bertukar menjadi alat musuh untuk memusnahkan Islam. Pada hal kita sepatutnya menjadi pembela Islam, bukan penghancur. Atas sikap dan kesedaran inilah, elok dinilai dan diteliti kembali isu-isu kontroversi yang ditimbulkan dengan begitu hebat pada zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a. yang berkesudahan dengan mengorbankan nyawa khalifah sendiri.


[1] Dipetik dari Buku ISU-ISU KONTROVERSI DALAM SEJARAH PEMERINTAHAN KHULAFA’ AL-RASYIDIN oleh Prof. Madya Dr. Marzuki Haji Mahmood, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam[2] Rafiq al-Azrn, Asyhar Masyahir al-Islam, hlm. 638. Lihat juga Dr. Hassan Ibrahim Hassan dlm. Tarikh al-Islam. jil. I, hlm. 252.

[3] laitu dalam perang Tabuk tahun 9H. Kebetulan waktu itu adalah zaman susah dan kemelesetan serta kemarau yang sangat kuat. Lihat al-Nadwi, dalam Sirah, hlm. 103,104.

[4] Al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, hlm. 150, 151.

[5] Al-Syaukani, Dar al-Sahabah, hlm. 180.

[6] Ibid, hlm. 191.

[7] Jalal Mazhar, Muhammad Rasulullah, hlm. 282.

[8] Al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, hlm. 149.

[9] Al-Syaukani, Darral-Sahabah, hlm. 181.

[10] Ibid, hlm. 182.

[11] Hadith keluaran al-Tabarani, petikan al-Imam al-Sayuti, dalam, Tarikh al-Khulafa, hlm. 153.

[12] Ibrahim Sabiq Arjun, dalam, Majallah al-Azhar 13, artikel: Hayat Rijal al-Islam: Uthman bin Affan, Safar, 1361 H. hlm. 71.

[13] Al-Tirmizi

[14] Ibn Abd. al-Bar, al-lsti’ab fi Maarifat al-Ashab, jil. III. Lihat Juga Sahih Muslim, jil. VII, hlm. 116, 117.

[15] Abu al-Hassan Muslim, al-Jami al-Sahih Bihamisy al-lmam al-Nawari, jil. VIII cet. I, al-

Halabi, Mesir, 1380H/1960M hlm. 116. 117. Lihat juga al-Syaukani dalarn Dar al-Sahabah, hlm. 179.

[16] 238 Zafir al-Qasimi, Nizam al-Hukm, jil. I, hlm. 48. Lihat juga al-Jasyiari. Kuttab al-Wuzara Wa al-Kuttab, hlm. 12-14.

[17] Dr. Ali Ibrahim Hassan. al-Tarikh al-Islam al-Am, 526.

SUMBER :  http://aburedza.wordpress.com/2009/11/21/biodata-khalifah-uthman-bin-affan-r-a/

Dikirim dalam Sejarah Khalifah, Uncategorized | Di tag: , | Leave a Comment »

KHILAF FIQH; PUNCA & PENDIRIAN MUSLIM TERHADAP PERBEZAAN MAZHAB

Posted by aburedza di 7 Mei 2010

KHILAF FIQH; PUNCA & PENDIRIAN MUSLIM TERHADAP PERBEZAAN MAZHAB

www.darulfuqaha.com

PUNCA PERBEZAAN PENDAPAT

Perbezaan pendapat dalam perkara cabang tidak dapat dielakkan. Malah tidak mungkin pendapat-pendapat mereka disatukan. Ini berlaku kerana beberapa sebab iaitu:

1. Tabiat akal dan kefahaman manusia yang pasti berbeza.

2. Tabiat bahasa Arab- ini kerana hokum-hakam diambil dari dua sumber utama iaitu al-Quran dan Hadis. Kedua-duanya pula datang dalam bahasa Arab. Bahasa Arab pula mempunyai lafaz sinonim yang mengandungi lebih daripada satu makna, lafaz leksikal dan majaz,kefahaman yang tersurat dan tersirat, lafaz umum dan khusus dan lain-lainnya.

3. Tabiat teks hokum – Ada hokum yang dijelaskan secara terang dalam al-Quran dan Hadis. Ada pula yang tidak disebut secara jelas, tetapi perlu difahami menerusi nas-nas umum. Teks juga dating dalam bentuk fleksibel untuk dijadikan panduan juga bagi hokum-hakam yang berlaku dalam pelbagai zaman yang berbeza.

4. Memberi kemudahan dan mengelakkan kesempitan- meletakkan masyarakat pada satu pendapat sahaja menyusah dan menyempitkan orang ramai, sedangkan Islam itu adalah agama yang mudah dan bersifat tolak ansur. –Umar Abdul Aziz berkata: Saya tidak suka para sahabat Muhammad Saw tidak berbeza pendapat, kerana sekiranya hanya ada satu pendapat sahaja, tentu orang ramai berada dalam keadaan yang menyempitkan. Mereka adalah tokoh-tokoh yang diikuti. Sekiranya seseorang mengambil pendapat salah-seorang sahabat tentunya dia berada dalam keadaan yang lapang.[1][1]

6.0 SEBAB UTAMA PERBEZAAN PENDAPAT

Perbezaan pendapat berlaku kerana tiga sebab utama iaitu:1. Perbezaan pendapat dalam menentukan sumber hokum.2. Perbezaan pendapat dalam menentukan kaedah pengeluaran hokum dan sumber-sumber tambahan.3. Perbezaan pendapat dalam memahami dan menghurai teks hukum.

6.1 Perbezaan Pendapat Dalam Menentukan Sumber Hukum

Sumber hokum utama ialah al-Quran dan Hadis. Namun, perbezaan pendapat berlaku di kalangan ulama dalam menentukan samada sesebuah hadis itu boleh dibuat hujah atau tidak.Ini berlaku kerana perbezaan pendapat dalm menentukan status hadis samada sahih atau dhaif. Contohnya dalam masalah adakah boleh wanita haid membaca al-Quran. Majority ulama Hanafi, Syafie, dan Hanbali berpendapat haram bagi wanita haid membaca al-Quran. Antara hujah mereka ialah hadis Ibn Umar; sabda nabi saw: bermaksud: “janganlah perempuan haid dan orang berjunub membaca sesuatu pun daripada al-Quran.”[2][2] Namun, pendapat yang kuat dalam mazhab malik dan satu pendapat dalam mazhab Hanbali menyatakan harus mereka membaca al-Quran ketika darah masih lagi mengalir. Sekiranya berhenti mengalir, haram membacanya melainkan selepas mandi. Hujah mereka ialah hadis Ibn Umar tadi adalah lemah. Ibn hazm al-zahiri pula berpendapat harus secara mutlak wanita berhaid membaca al-Quran. Hujah mereka ialah semua hadis tentang haid adalah lemah tidak boleh dibuat hujah.

Begitu juga berlaku perbezaan dalam menentukan kekuatan berhujah dengan hadis yang lemah. Mazhab Syafie menghukumkan sunat melakukan talking selepas pengkebumian di kubur. Ini berdasarkan hadis yang lemah. Namun bagi mereka hadis lemah diperkuatkan dengan amalan berterusan ulama Syam. Adakah majoriti ulama menolaknya kerana hadis talqin tersangat lemah.

Perbezaan pendapat juga berlaku dalam menetukan sumber-sumber hukum yang lain seperti istislah, istihsan, istishab, uruf, mazhab sahabat, ijma` ahli Madinah, syariat umat sebelumnya dan menutup lubang-lubang yang membawa kerosakan. Mazhab Malik menerima ijma` amal para mujtahid di kalangan penduduk Madinah sebagai hujah.

Contohnya dalam masalah adakah makmum membaca fatihah dalam rakaat-rakat solat yang imamnya membaca dengan suara lantang. Imam Malik berpendapat sunat membaca Fatihah dalam rakaat-rakaat yang mana imamnya membaca dengan suara perlahan. Hujahnya ialah kerana itulah amalan penduduk madinah. Adapun Syafie berpendapat makmun wajib membaca fatihah dalam semua rakaat. Hujah Syafie ialah umum hadis : “tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah.”[3][3]

6.2 Perbezaan Pendapat Dalam Menentukan Kaedah Pengeluaran Hukum Dan Sumber-Sumber Tambahan

1. Adakah Umum ayat al-Quran boleh dikhususkan oleh hadis? Persoalan ini menjadi khilaf antara mazhab hanafi dan jumhur. Hanafi berpendapat umum ayat tidak boleh dikhusukan oleh hadis kerana nas al-Quran bersifat putus (qat`iyy) manakala nas hadis bersifat sangka kuat (Zhan). Antaranya firman Allah: ( قاقرأوا ما تيسر منه ) bermaksud: Maka bacalah apa yang mudah bagi kamu.”[4][4] Dan hadis baginda: ( لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب ) bermaksud: Tidak ada solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah.”[5][5]

Mazhab Syafi`I dan majority ulama mewajibkan bacaan Fatihah dalam solat kerana umum ayat dikhususkan oleh hadis. Namun, Hanafi menegaskan Fatihah bukan satu rukun kerana umum ayat tidak boleh dikhususkan oleh hadis. Justeru, yang fardhu ialah membaca mana-mana ayat yang mampu dibaca, manakala al-Fatihah hanyalah diwajibkan.[6][6] 2.

Teks yang mutlaq tidak boleh ditanggung dengan teks muqayyad sekiranya berbeza sebab. Antaranya ayat wudu’ dalam al-Maidah; 6. Ayat wudu’ menjelaskan empat anggota yang perlu dibasuh dan disapu iaitu muka, tangan, kepala dan kaki. Bagi Hanafi ayat ini mutlaq dan tidak perlu di bataskan dengan teks muqayyad yang lain. Justeru bagi mereka yang menjadi fardu hanyalah empat anggta ini.Namun, Syafi’i berpendapat ayat itu perlu dikaitkan dengan hadis-hadis lain yang menceritakan tentang niat. Justeru niat juga adalah rukun sedangkan Hanafi berpendapat ianya adalah sunat.

6.3 Perbezaan Pendapat Dalam Menghuraikan Lafaz-Lafaz Teks Hokum

Ini kerana lafaz-lafz al-Quran dan hadis datang dalam beberapa keadaan yang memberi ruang untuk berlakunya perbezaan pendapat dalam mentafsirkannya. Antaranya

1. Lafaz Sinonim

Sinonim merujuk kepada lafaz yang mempunyai lebih daripada satu makna. Ini meletakkan teks hokum berada pada beberapa keberangkalian hokum. Antaranya a. Lafaz “Quru’ – ( والمطلقات يتربصن بأنفسهن ثلاثة قروء ) bermaksud: “Dan perempuan-perempuan yang diceraikan, mereka menanti dengan diri mereka selama tiga “quru””. [7][7] Perkataan Quru’ mengandungi dua kebarangkalian makna iaitu suci dan haid.b. Lafaz “taqdir” – ( إذا رأيتموه فصوموا ، و إذا رأيتموه فأفطروا، فإن غم عليكم فاقدروا له ) bermaksud: “Apabila kamu melihatnya maka berpuasalah. Dan apabila kamu melihatnya berbukalah. Sekiranya terlindung oleh awan, maka “takdirkanlah” untuknya.”[8][8] Perkataan takdir mempunyai dua makna iaitu sempitkan bilangan dan anggaran bilangan.c. Lafaz “Nikah” – ( ولا تنكحوا ما نكح آباؤكم من النساء ) bermaksud: “Dan janganlah kamu menikahi perempuan yang dinikahi oleh bapa-bapa kamu.”[9][9] Perkataan nikah mempunyai dua makna iaitu akad nikah dan persetubuhan.

2. Lafaz Hakiki dan Majazi

Lafaz Hakiki ialah lafaz yang digunakan pada makna asal, sementara lafaz majazi ialah lafaz yang dignakan pada makna kedua yang mempunyai ikatan hubungan dengan makna asal. a. Lafaz “laamasa” – ( وإن كنتم مرضى أو على سفر أو جاء أحد منكم من الغائط أو لامستم النساء فلم تجدوا ماء فتيمموا صعيدا طيبا ) maksudnya: “sekiranya kamu sakit, atau dalam keadaan bermusafir atau seseorang kamu datang dari menunaikan hajatnya atau kamu menyentuhl/ menyetubuhi wanita, lalu kamu tidak menemui air, maka bertayammumlah dengan tanah/ bumi yang suci.”[10][10] Perkataan laamasa mempunyai makna hakiki iaitu menyentuh dan mempunyai makna majazi iaitu bersetubuh. b. Nikah tanpa wali- ( لا نكاح إلا بولي ) bermaksud: “tidak ada nikah melainkan dengan wali.”[11][11] Hadis ini menafikan nikah tanpa wali. Ia mengandungi dua kebarangkalian makna iaitu penafian sah berdasarkan makna hakiki dan penafian sempurna berdasarkan makna majazi.

3. Tafsiran partikel

a. Tafsiran partikel aw (atau) – ( إنما جزاء الذين يحاربون الله ورسوله ويسعون في الأرض فسادا أن يقتلوا أو يصلبوا أو تقطع أيديهم وأرجلهم من خلاف أو ينفوا من الأرض ) bermaksud: “Hanysanya balasan bagi mereka yang memerangi Allah dan Rasulnya, dan melakukan di muka bumi kerosakan ialah dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan-tangan dan kaki-kaki mereka secara bersilang atau dibuang negeri.”[12][12] Atau dalam ayat di atas mengandungi kebarangkalian makna pemilihan dan makna kepelbagaian.

4. Lafaz Isykal

Lafaz isykal bermaksud lafaz yang maknanya tidak boleh difahami secara terus melainkan dengan merujuk kepada petanda-petanda luar yang memerlukan penelitian dan pemerhatian. Antaranya firman Allah: (نساؤكم حرث لكم فأتوا حرثكم أنى شئتم ) bermaksud: “wanita-wanita kamu adalah ladang kamu, justeru datangilah ladaing kamu di mana sahaja kamu suka.” [13][13]Makna umum ayat ini membolehkan didatangi wanita pada tempat mana sekalipun depan atau belakang. Tapi maksud sebenarnya perlu dirujuk kepada hadis-hadis lain yang menjelaskan maksud lading iaitu bahagian kemaluan depan sahaja.

7.0 Contoh-Contoh Perbahasan Khilaf1. Adakah Niat Disyaratkan Dalam Berwudu’?

Ulama fiqh sepakat menerima pakai hadis sahih tentang niat iaitu ( إنما الأعمال بالنيات) namun perselisihan pendapat dalam mentafsirkan makna hadis tersebut untuk dipadankan dengan amalan wudu’. Mazhab Syafie, Malik, Ahmad dan Abi Tahur menjadikan niat sebagai syarat sah, manakala Abu hanifah dan al-Thauri tidak menganggapnya sebagai syarat sah. Perbezaan pendapat berpunca daripada perbezaan pendapat dalam menentukan status ibadat wudu’. Adakah ia merupakah ibadah semata-mata atau ibadah yang mempunyai logic. Mereka sepakat bahawa amalan ibadah semata-mata memerlukan niat. Ibadah yang ada logic amalan tidak memerlukan niat. Wudu’ pula berada antara dua kedudukan kerana mempunyai logic iaitu tujuan untuk ibadah dan membersihkan diri. [14][14]

2. Kadar Sapu Kepala

Ulama sepakat bahawa sapu kepala adalah salah satu rukun wudu’. Namun khilaf berlaku dalam menentukan kadar sapuan. mMalik berpendapat sapuan adalah wajib merangkumi seluruh kepala. Syafie dan sebahagian sahabat malik dan Imam Abu Hanifah berpendapat yang wajib ialah kadar sebahagian sahaja. Kadar sebahagian pula menjadi ruang bebrbeza pendapat. Abu hanifah menetapkan kadar ¼. Sahabat Malik pula menetapkan 1/3 atau 2/3. Syafie pula tidak meletakkan had. Khilaf berlaku kerana partikel ba’ yang datang dalam ayat wudu’. Adakah ia memberi makna sebahagian atau sekadar makna tambahan semata-mata.[15][15]

8.0 Penutup

Apa yang dipaparkan di atas hanyalah sebahagian sebab dan punca berlakunya perselisihan pendapat di kalangan ulama hatta dalam satu mazhab yang sama. Untuk memahami lebih mendalam persoalan ini pengajian mendalam perlu dilakukan kerana ia melibatkan pengetahuan mendalam tentang sumber hokum iaitu al-Quran dan hadis, kaedah-kaedah pengeluaran hokum seterusnya kaedah-kaedah bahasa Arab yang semuanya menuntut perjalanan ilmu yang tidak singkat. Namun, setiap orang mempunyai kemampuan ilmu yang berbeza. Tidak mungkin semua orang menjadi ulama yang pakar dalam semua perbahasan fiqh. Bagi orang awam cukuplah untuk mereka memahami bahawa berlakunya perbezaan pendapat di kalangan ulama adalah kerana perbezaan kefahaman dalam memahami teks al-Quran dan hadis. Segala usaha mereka itu adalah bertujuan mencari kebenaran. Justeru para fuqaha tidak akan taksub hatta kepada pendapat sendiri. Bagi orang yang diberikan sedikit ilmu fiqh, merendah dirilah kepada ulama-ulama yang telah mendahului kita. Mereka berijtihad dalam menentukan hokum. Dalam apa keadaan pun mereka tetap mendapat sekurang-kurang satu ganjaran sebagaimana sabit dalam hadis. Adapun dosa tidak mungkin terbeban di atas kepala mereka.Bagi masyarakat Islam yang kurang berilmu, perlu memberikan keyakinan mereka terhadap ilmu mereka yang lebih berilmu daripada mereka. Dengan itu mereka tidak akan memperlekehkan pandangan sebilangan ulama dan mazhab hanya kerana sudah tertarik dengan pandangan segelintir ulama dan mazhab yang lain. Perbezaan pendapat dan kepelbagaian mazhab adalah satu keluasan untuk umat Islam dan hadiah daripada Allah untuk umat ini. Wallahu A`lam.


[16][1] Riwayat al-Baihaqi

[2][2] Hadis riwayat Tirmizi

[3][3] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

[4][4] Al-Muzammil: 20

[5][5] Hadis Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Dawud, Nasa’I, Ibn Majah dan Ahmad.

[6][6] Hanafi membezakan antara Fardhu dan Wajib. Yang sabit dengan al-Quran menjadi fardhu, manakala yang sabit dengan hadis menjadi wajib. Fardhu menjadi syarat sah,manakala wajib menjadi syarat sempurna.

[7][7] Al-Baqarah: 228

[8][8] Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Nasa’I dan Abi Dawud

[9][9] Al-Nisa’: 22

[10][10] Al-Nisa’ : 43-44

[11][11] Hadis riwayat Tirmizi

[12][12] Al-Maidah: 33

[13][13] Al-Baqarah; 233

[14][14] Bidayat al-Mujtahid wa Nihayat al-Muqtasid 1/23

[15][15] Ibid 1/27

CATITAN : Kertas kerja ini dibentangkan dalam Seminar Fiqh pada 2 hb Julai 2006 di Grik, anjuran Pejabat Agama Grik. – al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

SUMBER : http://www.darulfuqaha.com/web/index.php?option=com_content&view=article&id=67:khilaf-fiqh-punca-a-pendirian-muslim-terhadap-perbezaan-mazhab-siri-ke-2&catid=71&Itemid=100

Dikirim dalam PERBEZAAN PENDAPAT, Uncategorized | Di tag: | Leave a Comment »

ROH ORANG-ORANG YANG BERIMAN DISISI ALLAH

Posted by aburedza di 4 Mei 2010

Kuliah Subuh Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis

Oleh

Ustaz Yaali Dahaman Imam Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis

ROH ORANG-ORANG YANG BERIMAN DISISI ALLAH

Pendapat yang mengatakan, roh orang yang beriman berada disisi Allah dan tidak menukuk tambah pandangan mereka, adalah pendapat yang beradab dengan Kalam Allah iaitu al-Quran, dimana firman Allah yang bermaksud: “Bahkan mereka hidup disisi Tuhan Mereka dan mendapat rezeki dari Nya”. Ali Imran: 169.

Golongan ulamak ini berpandangan demikian berdalilkan;

Antaranya; Hadis dari Abu Hurairah r.a. bererti; “Apabila keluar roh sesaorang yang meninggal dunia lalu dibawa naik    sehingga sampai ke langit di sisi Allah a.w.j. , jika roh itu dari seorang yang   buruk amalannya tidak akan   dibuka pintu langit lalu dihantar semula kekuburnya”. Riwayat Amad, Ibnu Majah dan al-Baihaqi.

Kata Abu Dardak al-Tayalisi dari Abu Musa al-Shaari,  beliau berkata; “Roh orang yang beriman berbau harum selepas keluar dari   badanya,   kemudian dibawa oleh malaikat yang menguruskanya hingga bertemu dengan malaikat-malaikat di langit lalu mereka bertanya;   bau apa ini?  Maka dijawab; ini adalah pulan bin pulan yang beramal begini dan begini dimasa hidupnya iaitu amalan yang baik, mereka berkata; selamat datang kamu dan dia, mereaka menyambutnya lalu dibawa naik ke atas menerusi pintu-pintu yang dibawa naik amalannya,   bila  sampai di langit teratas teranglah langit seperti cahaya matahari hinggalah sampai ka Arasy”.

Adapun roh orang kafir, bila dicabut dari badan  dan dibawa naik ke atas lalu bertanya malaikat di langit,  bau apa ini? Lalu dijawab; ini pulan bin pulan yang beramal  begini dan begini kerana amalannya buruk, seterusnya malaikat berkata, jangan bawa kemari dan kembalikan kedalam kuburnya”.

Kata al-Makki bin Ibrahim ketika menceritakan  kata-kata Khuzaifah bin al-Yaman; “Semua roh berdiri di hadapan al-Rahman menunggu janjinya hingga ditiupkan sangka-kala”.

Kata Sifian bin Uyainah; Sebaik sahaja al-Zubair dibunuh dan disula, ibnu Umar datang untuk mengucap ta’ziah kepada ibunya Asmak lalu berkata; hendaklah puan bertaqwa kepada Allah dan bersabar, sesungguhnya mayatnya tidak berguna apa-apa, roh yang telah mati berada disisi Allah, lalu beliau menjawab; yang menghalangi aku bersabar kerana telah sampai kepada aku berita bahawa kepala Yahya bin Zakaria telah dihadiahkan kepada pelampau-pelampau Bani Israil”.

Jarir telah menceritakan dari Hilal bin Yasaf berkata; “Ketika kami duduk bersama Ka’ab, Rabi’ bin Khasim dan Khalid bin ‘Ar’arah bersama orang ramai., lalu datang Ibnu Abbas dan diberitahu kepada kami, ini Ibnu Abas anak bapa saudara Nabi kamu, kami diminta memberi tempat duduk kepadanya, kemudian Ibnu Abas bertanya kepada Ka’ab; semua yang ada dalam al-Quran  saya telah menegetahuinya melainkan empat perkara, minta terangkan kepada saya, antaranya; apa dia Sijjin? Apa dia Illiyun? Apa dia Sidratul Muntaha? Dan apa maksud firman Allah kepada Nabi Idris;  bermaksud; “Dan Kami angkatkan dia ketempat yang tinggi”. Maryam:57.

Bahan bacaan Kitab al-Roh karangan Ibnu Qaiyim, hal:273.

Dikirim dalam Hakikat roh, Uncategorized, Ustaz Ya Ali | Di tag: | Leave a Comment »

Kedudukan roh berbeda selepas keluar dari badan

Posted by aburedza di 3 Mei 2010

Kuliah Subuh Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis pada 18 Apr 2010

Oleh

Ustaz Yaali Bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis

Kuliah hadis sambungan,

Kedudukan roh berbeda selepas keluar dari badan

Banyak berita yang mutawatir menceritakan  apa yang dilakukan oleh roh selepas keluar dari badannya, yang mana tidak boleh dilakukan semasa roh berada dalam badan, umpamanya, ia dapat mengalahkan bilangan tentera yang banyak hanya dengan seorang atau dua   dengan bilangan yang kecil, Nabi s.a.w.   bersama Abu Bakar dan Umar melihat dalam mimpi yang  mana roh-roh mereka telah mengalahkan roh askar-askar yang kufur dan zalim, roh orang yang beriman yang lemah dapat mengalahkan bilangan musuh yang banyak  walaupun bilangan  mereka amat kecil.

Dan yang lebih menakjubkan bahawa roh-roh orang yang beriman berkasih-sayang berkenalan dan bertemu antara mereka sedangkan  mereka berada dalam jarak yang amat jauh, mereka sama-sama bersedih dan  bertegur-sapa, mereka kenal antara satu sama lain seolah-olah dia berada disinya dan semacam keluarganya.

Telah berkata Abdullah ibnu Amrin: Roh-roh orang yang beriman bertemu sesama mereka dalam jarak satu hari perjalanan, sedangkan mereka sebelum ini belum pernah bertemu, kata-kata ini adalah berasal dari dari Nabi s.a.w..

Kata Ikrimah dan Mujahid:  Semasa manusia tidur adalah  menjadi sebab membolehkan  roh mereka  keluar sedangkan tempat asalnya tetap di badan,  roh mereka telah pergi dan sampai kesuatu tempat yang diizinkan oleh Allah, apabila roh itu kembali kedalam badannya dia akan jaga, ini adalah umpama sinaran matahari yang sampai kebumi sedangkan matahari tetap berada dilangit yang tinggi  dimana sinarannya tetap berhubung denganya.

Telah berkata Abu Abdullah bin Mandah yang beritanya dari setengah ahli ilmu dengan katanya: Bahawa roh akan keluar menerusi lubang hidungnya  di mana tempat asalnya ialah dalam badannya, jika roh itu keluar keseluruhannya pasti   dia mati, umpama     lampu akan  padam apinya jika dipisahkan dengan sumbunya,   tempat asal api adalah dari sumbunya, kalau dinyalakan akan terang benderang rumah itu, maka demikian

juga roh akan keluar dari lubang hidungnya dan akan menjelajah hingga kelangit dan berjalan merata negeri dan bertemu dengan roh-roh simati.

Apabila malaikat yang menjaga roh memperlihatkan kepada sesaorang hamba Allah  dalam   mimpinya, jika orang tersebut   hidupnya  beriman dan beramal  saleh  dia tidak akan melihat perkara yang buruk semasa roh   terpisah dengan badan semasa tidurnya, kerana dia  telah terdidik dengan akhlak yang baik semasa sedar. sebaliknya dia akan melihat   sesuatu yang baik sesuai dengan didikan jiwanya semasa sedar menurut  akhlak mulia yang telah   kurniakan  Allah  kepadanya.

Tetapi jika sesaorang itu sentiasa meringan-ringankan perintah Allah dimana dia sentiasa gemar kepada perkara yang  buruk dan melihat serta beramal dengannya,   bila    diperliahatkan   kepadanya perkara baik  dan buruk atau gambaran-gambaran dari syaitan, dia akan melihat semua perkara tersebut dalam mimpinya, namun begitu bila  jaga dia tidak dapat menghuraikan apa yang diperlihatkan   dalam  mimpi  kerana ia bercampur antara benar dan batal.

Bahan pengajaran Kitab al-Roh oleh ibnu Qaiyyim halaman 270.

Dikirim dalam Hakikat roh, Uncategorized, Ustaz Ya Ali | Di tag: | Leave a Comment »

DAULAT TUANKU

Posted by aburedza di 3 Mei 2010

Dikirim dalam DYMM TUANKU RAJA PERLIS, Uncategorized | Di tag: | Leave a Comment »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.