Hijrah Nabi S.A.W Ke Madinah

Hijrah Nabi S.A.W Ke Madinah


Selepas para sahabat berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w masih tetap berada di Mekah, menunggu keizinian Allah untuk turut sama berhijrah. Sahabat yang belum berhijrah menurut Ibnu Hisham[i] bersumber dari Ibnu Ishaq[ii] hanya Abu Bakar r.a dan keluarganya, Ali r.a dan orang-orang yang di tahan dan diseksa.

Mengenai Hijrah Nabi s.a.w Imam Bukhari[iii] melaporkan,  Dari Aisyah r.a katanya[iv]:

“Sungguh sedikit waktu bagi Nabi s.a.w pada hari-hari itu, namun beliau memerlukan datang ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi beliau untuk pergi (hijrah) ke Madinsh, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika beliau datang ke rumah kami waktu zuhur, lalu kedatangan beliau itu  diberitahu kepada Abu Bakar.

Kata Abu Bakar, “ Nabi s.a.w. tidak akan datang saat ini melainkan  ada urusan yang sangat penting.”

Ketika Nabi s.a.w masuk ke tempat Abu Bakar, beliau bersabda kepadanya, “Suruh keluarlah orang yang ada di dekatmu”

Kata Abu Bakar, “Ya Rasulullah , hanya ada dua orang anakku, Aisyah dan Asma’”

Sabda Nabi s.a.w , “ Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?

Kata Abu Bakar, “Anda perlu teman , ya Rasulullah!”

Sabda beliau, “ Ya, kawan”

Kata Abu Bakar, Ya Rasulullah, aku punya dua ekor unta, yang sengaja ku sediakan untuk keluar hijrah, ambillah seekor untuk Anda.”

Sabda Nabi, “ Ku ambil seekor dengan harganya.”

Ibnu Hisham didalam Sirah Nabawiyah[v] bersumber dari Ibnu Ishak juga ada menceritakan seperti hadis Bukhari seperti di atas dan menambah bahawa Rasulullah keluar dari rumahnya pada waktu malam, melalui para pemuda Quraisy yang mengepung rumahnya yang tertidur, lalu  Baginda s.a.w menaburkan tanah ke kepala mereka. Apabila hari siang baharu mereka sedar Rasulullah telah pergi.

Tidak pula diceritakan selepas Baginda s.aw. keluar dari rumanya, baginda menuju ke mana, adakah terus ke rumah Abu Bakar r.a  atau pun tidak. Bagaimanapun Baginda tiba dirumah Abu Bakar r.a pada waktu tengah hari, waktu kebanyakan masyarakat Arab berehat atau tidur siang. Sesungguhnya Allah dan Rasulnya yang tahu betapa hebat halangan Quraisy terhadap Muhammad s.a.w. sehingga Baginda s.a.w perlu berhati-hati dalam mengatur pergerakannya.

Dr. Ali Muhamad As-Salabi dalam bukunya Biografi Rasulullah s.a.w[vi] menyambung cerita daripada Aisyah r.a[vii]:

Aisyah meneruskan ceritanya, “Kami pun menyediakan persiapan secepat mungkin, dan kami menyiapkan bekalan untuk mereka yang dimasukkan ke dalam uncang, lalu Asma’ binti Abu Bakar mengoyak kainnya untuk mengikat mulut uncang itu. Akhirnya dia digelar dengan “Dzat an-nitaqain,” (pemilik dua tali pinggang). Kemudian menyusuli Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar di Gua Tsur, lalu kedua-duanya bersembunyi di Gua itu selama tiga malam. Abu Bakar telah menyuruh anaknya Abdullah mengintip apakah yang diperkatakan Quraisy tentang mereka berdua di siang hari dan melaporkan segala-galanya kepada beliau di waktu senja. Begitu juga beliau menyuruh orang suruhannya Amir bin Fuhairah untuk membawa kambing ternakannya ke tempat ternakan, dan bila petang dibawa berhampiran ke pintu gua untuk diperah susunya. Rasulullah dan Abu Bakar juga mengupah seorang lelaki daripada Bani Ad-Dil iaitu daripada Bani ‘Abd bin ‘Adiy (sebagai penunjuk jalan) yang telah diberi jaminan untuk menjaga keamanannya oleh keluarga Al-’Ash bin Wail As- Sahami. Dia di atas agama orang-orang kafir Quraisy, lalu kedua- duanya menjamin keamanannya. Мака diserahkan kepadanya untuk memelihara tunggangannya dan berjanji akan bertemu di Gua Tsur selepas tiga malam pada pagi hari ketiga. Kemudian Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar serta Amir bin Fuhairah, hambanya yang setia dan penunjuk jalan bertolak daripada Gua Tsur dan kemudian mereka menuju ke arah pantai.”

Ibnu Hisham menyebut bersumber dari Ibnu Ishaq  Rasulullah s.a.w kelar bersama Abu Bakar r.a dari rumah Abu Bakar melalui pintu rahsia di depan rumah Abu Bakar r.a. Dr. Ali pula menambah mereka keluar melalui pintu kecil  dibahagian atas rumah Abu Bakar[viii] , supaya tidak dapat dikesan oleh Quraisy. Ibnu Hisham berkata mereka menuju ke Gua Tsur dan tiba disana waktu malam. Mereka berada di gua Tsur selama 3 malam. Pada pagi berikutnya mereka berjanji dengan penunjuk jalan, bernama Abdullah bin Ariqat (Uraiqit), untuk membawa 2 ekor unta tunggangan yang disediakan oleh Abu Bakar r.a, untuk mula berhijrah.

Sebelum Baginda Rasulullah meninggalkan Mekah beliau s.a.w berkata[ix]:

“Demi Allah  s.w.t. sesungguhnya kamu sebaik-baik bumi Allah s.w.t.  dan bumi Allah s.w.t yang lebih di kasihi Allah s.w.t. dan sekiranya  aku tidak diusir daripada kamu nescaya aku tidak meninggalkan kamu”


[i] Ibnu Hisham atau Abu Muhammad ‘Abd al-Malik bin Hisham  wafat 213 H

[ii] Ibnu Ishaq atau Muhammad bin Ishaq bin Yasar , wafat  151 H. Beliau adalah tokoh sejarah yang dipertikai riwayatnya, baca di sini http://aburedza.wordpress.com/2009/07/22/455/ Baca juga pelbagai pandangan pada ruangan Komentar. Sebagai tambahan, pandangan Maulana  Muhamad Asri Yusof didalam bukunya Ibnu Ishak, mengenai  Perjalanan Hijrah Nabi Berlaku Pada Siang Hari di http://www.scribd.com/doc/27100813/Peristiwa-Hijrah-Nabi-s-a-w-Ke-Madinah-Berlaku-Pada-Siang-Hari

[iii] Imam Bukhari , wafat  256 H

[iv] Terjemahan Hadis Sahih  Bukhari, Penerbit Klang Book Center, cetakan 2005, Mukasurat 227-228

[v] Sirah Nabwiyah, Ibnu Hisham Jilid 2 , Penerbit Dini Sdn. Bhd. Cetakan 2006

[vi] Edesi terjemahan oleh Arifin Ladari, Penerbit Berlian Publication cetakan 2008

[vii] Pada nota kaki Dr. Ali Muhamad As-Salabi menyebut dipetik dari Bukhari, Manaqib al-Ansar Bab Hijrah Nabi(3905)

[viii] Pada nota kaki dicatit bersumber dari Al-Hijrah fi Al-Quran (334)

[ix] Dr. Ali Muhamad As-Salabi memetik daripada At Tirmizi , kitab al-Manaqib bab kelebihan Mekah dan di sahkan oleh al Bani.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s