Laman Masjid As Syakirin

Mukim Oran, Mata Ayer, Perlis

Arkib bagi Bulan April 2011

Jangan Marah bagi Kamu Syurga

Posted by aburedza di 30 April 2011

Kuliah Maghrib di Masjid Arau Perlis pada 24 Apr 2011

oleh Ustaz Yaali bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin Oran Perlis.

 

Petikan sebahagian Kuliah Hadith bertajuk: Jangan   Marah bagi Kamu  Syurga

عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رجلا قال للنبى صلى الله عليه وسلم: أوصيني ، قال: لا تغضب ، فردد مرارا ، قال : لا تغضب .  رواه البخارى .

Ertinya: Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. dengan katanya; Berilah nasihat kepada saya, Baginda berkata: jangan kamu marah, lalu diulangi beberapa kali, baginda menjawab; jangan kamu marah”, Hadis riwayat al-Bukhari.

Lelaki yang bertanya ialah Abu al-Dardak r. a.

Dalam   riwayat yang lain  oleh al-Tabrani; bermaksud:

Aku bertanya,  Ya Rasul Allah, tunjukkan kepada saya satu amalan yang membolehkan saya masuk kedalam Syurga?, jawab Baginda; jangan kamu marah bagi kamu Syurga”.

Jangan marah memberi maksud: jauhkan dirimu dari sebab-sebab yang mendedahkan dirimu untuk marah.

Sifat pemarah adalah dari jiwa yang lemah, sedangkan berlemah lembut adalah jiwa yang kuat, cepat marah dan tunduk kepadanya menandakan  sesaorang itu lemah, walaupun dia memiliki anggota yang kuat dan badan yang sehat, Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya; Sabda Nabi s.a.w.:

“ليس الشديد بالصرعة ، انما الشديد الدي يملك نفسه عند الغضب “

Ertinya: Bukanlah orang yang gagah itu orang yang kuat bergusti(menjatuhkan orang lain), tetapi orang yang gagah itu adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah”.

Kesan Marah Yang Dibenci;

Sikap pemarah adalah akhlak yang dicela, tabiat yang buruk umpama senjata yang membunuh, jika sesaorang itu menyerahkan dirinya kepada sifat marah, dia akan jatuh dan membawa kesan yang buruk kepada dirinya sendiri dan masyarakat.

Antara Kesan Buruk Terhadap Dirinya Sendiri;

Berlaku keatas dirinya sendiri dari segai fizikal, akhlak dan keimanannya, kita boleh melihat kesan pada dirinya sebaik sahaja sesaorang itu sedang marah, berubah wajahnya, meluap-luap darahnya, angota badannya menggeletar, tegang urat lehernya, keseluruhan badannya menggigil dan tidak jelas percakapannya, ketika itu akan terkeluar dari  mulutnya perkataan yang keji, kata-kata yang mengutuk dan mengumpat, dan boleh jadi terkeluar dari mulutnya perkataan yang haram, iaitu perkataan yang boleh terkeluar dari Islam atau murtad dimana dia akan melafazkan kalimah kufur ingkar terhadap hukum-hakam agama atau menolak agama dan seumpamanya. Lebih dari itu   boleh berlaku tindakan yang boleh merosakkan harta bendanya atau boleh menjejaskan kesihatannya sendiri.

Antara Kesan Buruk Terhadap Masyarakat;

Akan lahir perasaan hasad dengki dalam hatinya disamping menyembunyikan niat jahatnya terhadap orang ramai, ini akan menyakiti anggota masyarakat dan memisahkan dirinya dengan orang ramai, dia akan merasa gembira jika orang lain ditimpa musibah, ini semuanya boleh mendatangkan permusuhan dan kebencian antara   sahabat dan sanak saudara, seterusnya boleh memutuskan silatulrahim  antara keluarga, ketika itu rosaklah kehidupan dan runtuhlah perpaduan dalam masyarakat.

Membuang Perasaan Marah  Dan Merawatnya;

Sikap pemarah memang tabiat manusia, tetapi bagi seorang Islam yang ada hubungan dengan Allah selaku penciptanya hendaklah menjaga dirinya dan menolak sebarang kejahatan dari sikap tersebut dengan menjauhkan diri dari sebab-sebab yang membawa kepada kemarahan serta merawatnya apabila diperlukan;

Sebab-Sebab Kemarahan;

Memang banyak dan berbagai, antaranya ialah: sifat sombong takbur, ingin mengatasi orang lain, bermegah-megah    dan  memperolok-olokkan orang lain, banyak bergurau lebih-lebih lagi pada perkara bukan kebenaran, berdebat dan campur tangan dalam  hal ehwal yang tidak berkenaan dengan dirinya, terlalu rakus pada harta dan kemegahan yang berlebihan. Seorang Islam haruslah menghindarkan dirinya dari sifat-sifat tersebut dan mendidik  jiwanya supaya tidak berlaku demikian.

Cara Merawat Kemarahan;

*   Membiasakan dirinya dan mendidik agar berakhlak dengan akhlak yang mulia, seperti lemah lembut, sabar, tegakkan diri dengan kebenaran, tenang  hatinya dalam setiap urusan hidup. Contoh yang amat baik untuk diikuti ialah bagaimana baginda Rasul Allah s.a.w. bersikap sabar dan lemah lembut.

Zaid bin Sa`nah telah berjumpa dengan Nabi s.a.w. sebelum beliau memeluk Islam dengan tujuan untuk menguji tentang sifat Baginda sebagai seorang Nabi, iaitu lemah lembut yang mengatasi sifat marah dan  bila berdepan dengan orang yang  terlalu jahil   melainkan akan bertambah lemah lembut baginda, Zaid telah menuntut hutangnya dari Baginda Nabi s.a.w.yang belum sampai masanya dengan sikap yang kasar dan keras, lalu disambut  oleh Baginda dengan lapang dada dan senyum manis, sebaliknya Umar telah memarahi lelaki tersebut, kemudian Nabi s.a.w. telah menunjukkan kepada mereka berdua sebagai mengajar dan mendidik dengan sabdanya;

” أنا وهو كنا أحوج الى غير هدا يا عمر ، تأمرنى بحسن القضاء ، وتأمره بحسن التقاضى”

Ertinya; Aku dan dia, kami sebenarnya lebih berhajat kepada selain daripada ini wahai Umar! Kamu sepatutnya menyuruh aku  supaya melakukan pembayaran dengan baik dan menyuruhnya supaya menuntut hutang dengan cara yang baik”.

 

Lepas itu Nabi s.a.w. membayar hutang dan lelaki tersebut terus memeluk Islam.

*   Hendaklah mengawal diri ketika marah dan mengingati akan akibat buruknya, sebaliknya memikirkan akan kebaikan terhadap orang yang menahan marah dan memaafkan terhadap orang yang bersalah.

*   Memohon perlindungan daripada Allah Ta`ala, sebagaiman firman Allah dalam surah al-`Araf ayat 199; Bermaksud;Dan jika kamu dihasut oleh suatu  hasutan dari syaitan,  maka mintalah perlindungan  kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

*    Mengubah kedudukannya ketika sedang marah; Hadith diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Jika salah seorang daripada kamu sedang marah dalam keadaan berdiri  hendaklah dia duduk, jika dengan demikian boleh menghilangkan marah, kalau tidak hendaklah dia baring”

*   Tidak bercakap, kerana kemungkinan bila  bercakap akan mengeluarkan perkataan yang boleh menambahkan kemarahannya, atau pun  percakapan itu akan mendatangkan penyesalan sebaik sahaja hilang perasaan marahnya, boleh jadi itulah apa yang disukainya. Ahmad, Termizi dan Abu Daud meriwayatkan dengan maksud; Jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam, Rasul Allah mengulanginya sebanyak tiga kali”.

*    Berwuduk; kerana apabila marah panas badannya, cair darahnya dan mendidih menyebabkan tubuhnya menjadi panas, air dapat menyejukkan dan mengembalikan kepada keadaan asal, maksud hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Termizi dimana baginda bersabda dalam khutbahnya; “ Ingatlah perasaan marah itu adalah bara api yang membara dalam hati anak adam”.

Disamping itu wuduk adalah ibadat dan zikir kepada Allah akan mengelakkan dari gangguan syaitan; Maksud hadith; Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Apabila salah seorang daripada kamu marah hendaklah dia berwuduk”. Riwayat Ahmad dan Abu Daud.

Sekian والله أعلم

____________

Bahan bacaan kitab al-Wafi, karangan Dr Mustaffa al-Bugha dan Muhyiddin Misto, hal. 106.

(“Al-Wafi” ialah kitab yang mensyarah dan menghuraikan maksud Hadith 40 yang dipilih oleh Imam an-Nawawi . Kitab ini di syarah olah Dr Mustaffa al-Bugha dan Muhyiddin Misto)

Dikirim dalam al-Wafi, Hadis, Ustaz Ya Ali | Di tag: , , | Leave a Comment »

Mengingati Mati, Kelebihan dan Persiapan Untuknya – Bahagian 2

Posted by aburedza di 29 April 2011

Kuliah Subuh Di Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis Pada 10 Apr 2011

Oleh

Ustaz Yaali bin Dahaman,  Imam Masjid al-Syakirin

Sambungan kitab al-Tazkirah( Bab Mengingati  Mati Kelebihan Dan Persiapan Untuknya)

Nabi s..w. telah bersabda dengan maksudnya, Memadai dengan megingati mati sebagai nasihat dan memadai dengan mengingati mati untuk memisahkan antara hak dan batil”.

Kemudian shabat banginda telah   bertanya; wahai Rasul Allah, Adakah ada antara kami akan dibangunkan dan ditempatkan bersama dengan orang yang mati shahid?; jawab Baginda; “Ya”; lalu Baginda menyambung;sesiapa yang mengingati mati setiap hari dan malamnya sebanyak dua puluh kali”.

Al-Sudi telah menghuraikan ayat  firman Allah Ta`ala’

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

2. Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);

al-Mulk: 2.

Katanya, orang yang akan dibangunkan bersama para syuhadak ialah orang yang paling banyak mengingati mati ,   melakukan sebaik-baik  persiapan untuknya dan dia amat takut  serta  amat berhati-hati untuknya.

Pasal

Telah berkata ulamak kita berdasarkan  kepada Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud;   “Perbanyakkan ingatan terhadap  perkara   yang boleh menghapuskan kelazatan hidup iaitu mati. Perkataan ini adalah amat ringkas terhimpun padanya seluruh nasihat dan sampai kekemuncaknya, maka siapa yang mengingati mati dengan sebenar-benar ingatan akan terasa berat berhadapan dengan mati kerana dia tahu selepas mati akan berlaku perhitungan Allah, dia tidak lagi akan bercita-cita untuk merebut kemewahan dunia dan setersunya dia hidup zahid didunia (mengambil sekadar keperluan dunia semata-mata) kerana mengharapkan kebahgiaan hidup akhirat, tetapi bagi jiwa yang berkarad dan hati yang lalai memerlukan   nasihat yang lebih lama lagi dengan kata-kata yang berkesan, Ingatlah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud; “Perbanyakkan ingatan kepada perkara yang menghapuskan kelazatan hidup”. Dan juga perbanyakkan ingatan  terhadap  firman Allah Ta`ala;

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ

185. Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya. Ali-Imram: 185.

Ayat ini   boleh memberi kesedaran kepada pendengarnya yang igin mengambil pehatian.

Pasal

Jika jelas terhadap apa yang  diperkatakan diatas, maka ketahuilah bahawa dengan mengingati mati akan meninggalkan perasaan gelisah semasa hidupnya diatas muka bumi yang pana ini, dia akan menumpukan setiap saat hidupnya kearah bekalan kehidupan akhirat yang kekal,  seorang manusia itu tidak akan terlepas hidupnya dalam dua keadaan sempit atau senang, ni`mat atau susah atau mihnah, jika sekiranya manusia itu berada dalam keadaan sempit atau susah, maka dengan mengingai mati akan meringankan beban jiwanya kerana perkara yang sebigini tidak akan berterusan dalam jiwanya, sebenarnya mati itu adalah berat dan susah baginya, sebaliknya kalau  seorang insan berada dalam kesenangan dan penuh ni`mat dengan mengiangti mati pula akan mengawal dirinya daripada terpengaruh dengan kesenangan yang sementara ini, dan juga dia tidak terpengaruh dengan ketenangan hidup didalam dunia yang pana dan sementara ini.

Seluruh umat memberi pandangan yang sama menyatakan bahawa, mati tidak diketahui bilalkah umur sesaorang itu akan berlaku, tidak diketahui masa yang tertentu dan juga tidak diketahui dengan sebab apakah  yang akan belaku kematian, hikmatnya manusia tidak diberitahu ialah, untuk mereka membuat persiapan sebagai persediaan untuk mati.

Yazid al-Raqashi berkata kepada dirinya sendiri; celakalah  engkau wahai Yazid, siapakah  yang akan menunaikan solah untukmu  sesudah engkau mati? Siapakah yang akan berpuasa untukmu setelah kamu mati? Siapakah yang akan memohon keredaan Tuhanmu setelah engkau mati? Kemudian dia berkata kepada orang ramai: Wahai manusia apakah kamu tidak menangis dan meratapi terhadap diri kamu yang masih baki lagi dari sisa hidup ini? Mati mencarimu, kubur bakal rumahmu, tanah sebagi  hamparan tempat tidurmu, ulat menjadi temanmu, kubur tempat duduk sementara menunggu kiamat yang tiada siapa yang tahu  bagaimana keadaanya. Kemudian dia menangis hingga pengsan dan jatuh tersungkur kebumi.

Sekian   والله أعلم

Bahan bacaan Kitab al-Tazkirah, karangan Imam al-Qurtubi, hal: 13.

Dikirim dalam Kuliah, Ustaz Ya Ali | Di tag: , | Leave a Comment »

Mengingati Mati, Kelebihan dan Persiapan Untuknya

Posted by aburedza di 27 April 2011

Kuliah Subuh Pada  3 April 2011 Di Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis

Oleh Ustaz Ya ali bin Dahaman Iman Masjid al-Syakirin

Sambungan (Harus Bercita-cita dan Berdo’a Untuk Mati Jika Bimbang Hilang Pegangan Agamanya)

Adapun hadith yang menceritakan   tetang keberatan yang berlaku ketika menerima musibah,  kerana dibimbangkan   terganggu  amalan agamanya, dan dia lemah dan bimbang sekiranya hilang daya upaya dirinya ketika beramal dengan Islam, bukanlah   kebimbingan dengan sakitnya dari sudut pizikal jasadnya dan  seumpamanya,   seperti bimbang akan hilang harta miliknya. Dalam kontek ini Rasul Allah s.a.w. pernah membimbing kita ketika berhadapan dengan musibah mati seperti do’a Baginda:

“اللهم انى أسالك فعل الخيرات ، وترك المنكرات ، وحب المساكبن ، واذا أردت – ويروى أدرت – فى الناس فتنة فاقبضنى اليك غير مفتون”.

 Ertinya: “ Ya Allah, Ya Tuhan ku aku pohon kepadam Mu amalan yang baik,   meninggal yang munkar,   kasih terhadap orang   miskin,   jika sekirannya aku ditakdirkan berlaku fitnah dikalangan manusia ambillah nyawaku  tanpa sebarang ujian yang berat”.

Riwayat Imam Malik.

Saidina Umar r.a pernah berdo’a;   “Ya Allah sesungguhnya telah lemah kekuatanku, amat berat perjalanan hidupku, dan telah berlaku suasana yang buruk dilaklangan rakyatku, ambillah diriku kesisi Mu tanpa menghilangkan kebaikann dan tidak mengurankannya”.  Lepas itu   tidak  sampai  sebulan masanya. Baginda telah wafat. Khabar ini diriwayatkan oleh Imam Malik.

Umar bin Abdul Bar telah menulis dalam kitabnya “al-Tamhid wa-al-Istizkar” hadith dari Zaadan bin Umar, dari al-Kindi, katanya,” Ketika aku duduk bersama ‘Abis al-Ghifari diatas bumbung rumah tiba-tiba dia melihat orang ramai sedang mengurus jenazah yang mati disebabkan oleh ta’un lalu dia berkata; “ Hai ta’un amillah nyawaku, dia berkata sebanyak tiga kali, lalu Alim al-Kindi berkata kapadanya; kenapa kamu kata demikian? Apakah kamu tidak pernah mendengar  Rasul Allah s.a.w. telah bersabda;

“لا يتمنين أحدكم الموت فانه عند ذلك انقطاع عمله ولا يرد فيستعتب”

Ertinya:janganlah seorang daripada kamu bercita-cita untuk mati, maka sesungguhnya ketika itu (mati) terputus amalannya dan tidak ditolak sesuatu daripadanya maka semuga  dia sempat untuk bertaubat”.

 

Ibnu Abas telah berkata; Aku pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda;

“بادروا بالموت ستا: امرة السفهاء ، وكثرة الشرط وبيع الحكم ، واستخفافا بالدم ، وقطيع الرحم ، ونشئا يتخذون القران مزامير ، يقدمون الرجل ليغنيهم بالقران وان كان أقلهم فقها”.

Ertinya; Segeralah   (lebih baik) kamu   mati   sebab enam perkara; ketika pemimpin dari orang yang bodoh, banyak syarat untuk beragama hingga menjual hukum-hakam, senanag berlaku pertumpahan darah, memutuskan silaturahim, al-Quran dibaca  umpama seruling, al-Quran digunakan untuk mencari kekayaan  walaupun mereka kurang kefahaman hukum-hakam”.

Bab Mengingati Mati, Kelebihan dan Persiapan Untuknya

Al-Nisaii meriwayatkan hadith dari Abu Hurairah katanya; Sabda Rasul Allah s.a.w.

 ”اكثروا ذكر هادم اللذات”

Ertinya, “Perbanyakkan ingat  terhadap perkara yang menghilangkan kelazatan hidup(mati)”.

Dalam hadith yang lain diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab, sabda Nabi s.a.w. yang bererti; “Perbanyakkan ingatan terhadap perkara yang menghilangkan kelazatan hidup (mati)”. Kami bertanya Nabi; wahai Rasul Allah apakah yang dimaksudkan dengan (هادم اللذات) Jawab Baaginda; iaitu mati.

Ibnu Majah telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibnu Umar katanya; “Ketika aku duduk bersama dengan Rasul Allah s.a.w. lalu datang seorang leleki dari kalangan al-ansar memberi salam kepada Nabi s.a.w., dan terus bertanya baginda: Siapakah orang mukmin yang afdzal? Jawab baginda: Orang yang lebih baik akhlaknya”. Lelaki tersebut terus mengemukakan soalan; siapakah orang mukmin yang  sempurna akalnya? Jawab Baginda:

“اكثروا للموت ذكرا وأحسنهم لما بعده استعدادا أولئك الأكياس”

Erinya: Mereka yang paling banyak mengingati mati dan paling baik amalannya untuk persiapan selepas mati, itulah mereka yang paling  sempurna akalnya”.

 Iman al-Termizi telah mengeluarkan hadith riwayat Shidad bin Aus katanya; sabda Nabi s.a.w.

“الكيس من دان نفسه ، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من اتبع نفسه هواها ، وتمنى على الله “.

Ertinya; “Orang yang sempurna akalnya ialah orang yang sentiasa memeriksa dirinya, dan beramal untuk bekal sesudah mati, sedangkan orang yang lemah akalnya ialah orang yang mengikut hawa nafsunya, dan  bercita-cita untuk mendapat  keredaan  Allah tanpa beramal”.

Anas bin Malik meriwayatkan dengan katanya, sabda Nabi s.a.w.

“اكثروا ذكر الموت ، فانه يمحص الذنوب ، ويزهد فى الد نيا”.

Ertinya: Banyakkan ingatan mati, kerana ia boleh menghapuskan dosa dan menjadi zahid (ambil dunia sekadar keperluan) didunia”.

Dalam hadith yang lain Nabi s.a.w.pernah bersabda:

“كفى بالموت واعظا وكفى بالموت مفرقا”.

Ertinya; “Cukup dengan mati menjadi pengajaran dan cukup dengan mati juga menjadi pemisah antara hak dan batil”.

Bahan bacaan Kitab al-Tazkirah, karangan al-Qurtubi, halaman 12.

Dikirim dalam Ingat Mati | Di tag: , | Leave a Comment »

Larangan Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Ketika Ditimpa Musibah – Bahagian 2

Posted by aburedza di 16 April 2011

Kuliah Subuh di-Masjid al-Syakirin Oran, Mata Ayer, Perlis pada 27  Mac 2011

Oleh

Ustaz Ya ali bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin

Sambungan ( Larangan Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Ketika Ditimpa Musibah)

 

Diriwayatkan bahawa Sahal bin Abdullah al-Tastari telah berkata;

Janganlah seorang dari kamu bercita-cita untuk mati melainkan tiga sebab; lelaki yang jahil apa yang akan berlaku selepas mati,  seorang lelaki yang lari dariapda qada kadar Allah, dan  lelaki yang  cinta bertemu dengan Allah”.

Dalam riwayat yang lain diberitakan bahawa Malikil Maut telah berjumpa  dengan Nabi Ibrahin a.s (Khalil al-Rahman) untuk mencabut nyawanya, Ibrahim berkata; Adakah engkau pernah melihat seorang  kekasih  mencabut nyawa  kekasihnya? Lalu Malikil Maut   tidak mencabut nyawanya dan terus  bertemu dengan Allah Ta’al dan menceritakan dialog tersebut, lalu Allah  perintahkan supaya pergi semula kepada Nabi Ibrahim dan kemukakan soalan kepadannya; “Adakah kamu pernah melihat seorang  kekasih  benci untuk  bertemu dengan  kekasihnya? Malikilmaut kembali kepada Ibrahim dan menceritakan demikian, lalu Nabi Ibrahim a.s. berkata; kalau begitu ambillah nyawa aku sekarang juga”.

Menurut Abu al-Dardak; bagi seorang yang beriman mati adalah lebih baik baginya, untuk meguatkan hujahnya beliau telah membaca ayat al-Quran firman Allah;

“وما عند الله خير  للأبرار”

Maksudnya; Dan apa disisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang  yang berbakti. Ali-Imran; 198.

Dan firman Allah dalam ayat yang lain;

” ولا يحسبن الذين كفروا أنما نملى لهم خير  لأنفسهم ، انما نملى لهم ليزدادوا اثما”

Maksudnya:Dan janganlah sekali-kali orang kafir menyangka, pemberian tangguh Kami kepada mereka, adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka itu hanya supaya bertambah dosa mereka. Ali –Imran: 178.

Kata Haiyan bin al-Aswad; “Mati adalah jambatan untuk menyambung seorang dengan kekaksihnya”.

Bab 

 

Harus Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Kerana Takut Hilang Agamanya.

Firman Allah Ta’ala menceritakan Nabi Yusuf a.s.  FirmanNya;

“توفنى مسلما والحقنى بالصالحين” يوسف:10

Maksudnya: Wafatkan aku dalam keadaan Islam dan masukkan aku bersama orang yang saleh”.

Dalam surah Maryam Allah berfirman menceritakan rintihannya.  Firman Allah:

“يا ليتنى مت قبل هذا وكنت نسيا منسيا “مريم 23

Maksudnya:Aduhai, Alangkah baiknya aku dimatikan sebelum ini,  dan aku menjadi barang yang tidak bererti dan dilupakan”.

Dari Imam Malik dari Abi Zanad dari A’araj dari Abu Hurairah bahawa Rasul Allah s.a.w. bersabda:

“لا تقوم الساعة حتى يمر الرجل بقبر الرجل  فيقول: يا ليتني مكانه”

Ertinya:Tidak akan berlaku kiamat sehingga seorang lelaki melalui kubur simati lalu berkata: aduhai, alangkah baiknya jika  aku  berada di tempatnya”.

 

Pasal

Dalam hadith-hadith yang lalu sebenarnya tidaklah ada percanggahan maknanya sebagaimana yang diterangkan, mengenai dengan Nabi Yusuf a.s., menurut pendapat Qatadah; tidak seorang pun yang bercita-cita untuk mati, sama ada nabi atau  orang- orang yang beriman melainkan Yusuf ketika sudah sempurna ni’nat yang Allah  kurniakan kepadanya dan telah menghimpunkan semua keluarga disisinya, lalu Baginda ingin bertemu pula dengan Tuhannya  dengan sebab itu dia berkata; Firman Allah;

“رب قد ءاتيتنى من الملك وعلمتنى” يوسف: 101.

Maksudnya: Ya, Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku…”.

 

Selepas itu Baginda  bercita-cita ingin bertemu dengan Tuhannya.

Sebenarnya Nabi Yusuf bukanlah bercita-cita untuk  mati malah baginda bercita-cita supaya mati dalam Islam, maksudnya Ya Allah jika sampai ajalku matilah aku dalam Islam. Ini pandangan yang terpilih menurut   ahli tafsir.

Mengenai dengan Maryam pula, sesungguhnya beliau ingin  diwafatkan  kerana dua perkara:

Pertama: Beliau takut agar dia dituduh dengan berkelakuan buruk dalam pegangan agamanya dan akhirnya memalukan, kesudahannya beliau akan difitnahkan.

Kedua: Agar tidak tersebar dikalangan umatnya  pandangan buruk dan dusta, dengan tuduhan zina, kerana perbuatan ini boleh membinasakan umat.

Dalam al-Quran Allah telah menyatakan tentang tuduhan buruk umat terhadap Ai’shah r.a., firman Allah:

“والذى تولى كبره منهم له عذاب عظيم”  النور :11

Maksudnya:Dan siapa diantara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyibaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Al-Nur.11

Firman Allah lagi;

“وتحسبونه هينا وهو عند الله عظيم” النور: 15

Maksudnya: Dan kamu menganggapnya suatu yang  ringan sahaja. Pada hal dia disisi Allah adalah besar”.

Ulamak berbeza pendapat mengenai dengan status Maryam: Adakah dia termasuk orang yang dipanggil siddiqah (yang  benar) berdasarkan kepada Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 75 bermaksud: “Dan ibunya seorang yang sangat benar..”. Atau adakah seorang nabi berdasarkan firman Allah dalam surah Maryam ayat 17 yang bermaksud: :

Lalu Kami mengutuskan Ruh (Jibril) kami kepadanya”.

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 42;

“واذ قالت الملائكة يا مريم ان الله اصطفاك” ال عمران :42

Maksudnya:Dan ingatlah ketika Malaikat Jibril berkata; Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu..”.

 

Dari ayat-ayat di atas, maka berlakulah rekaaan dan tuduhan terhadap Maryam yang boleh membawa kepada kebinasaan di kalangan umat, maka dengan itu ulamak tafsir membuat keputusan bahawa bagi maryam bercita-cita untuk mati adalah diharuskan demi keselamatan umat..

Bahan rujukan, Kitab al-Tazkirah, al-Qurtubi, hal. 11.

Dikirim dalam Berdoa Untuk Mati | Di tag: | Leave a Comment »

Larangan Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Kerana Ditimpa Musibah

Posted by aburedza di 12 April 2011

Kuliah Subuh   Masjid al-Syakirin Oran  Mata Ayer Perlis pada 20 Mac 2011

Oleh

Usytaz Yaali bin Dahaman Iman Masjid al-Syakirin.

Tajuk

Larangan Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Kerana Ditimpa Musibah

Hadith riwayat Muslim dari Anas katanya, sabda Nabi s.a.w.

“لا يتمنى أحدكم الموت لضر نزل به، فاذا كان لابد متمنيا فليقل: اللهم احينى ما كانت الحياة خيرا لي، وتوفني اذا كانت الوفاة خيرا لي”.  اخرجه البخاري.

Ertinya:

Janganlah seorang dari kamu bercita-cita untuk mati kerana terkena musibah, jika sekiranya tak dapat dielakkan hendaklah berdo’a; “ Ya Allah panjangkan umurku jika dengan hidup itu memberi kebaikan kepadaku, dan  matilah aku jika sekiranya mati itu lebih baik bagiku”. Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari.

Hadith   lain diriwayatkan oleh Muslim Juga sabda Nabi s. a.w..

لا يتمنى أحدكم الموت، ولا يدع به من قبل ان يأتيه : انه اذا مات أحدكم انقطع عمله ، وانه لا يزيد المؤمن عمره الا خيرا” .

Ertinya:

Janganlah seorang dari kamu bercita-cita untuk mati, dan janganlah berdo’a untuknya sebelum sampai masanya, jika mati salah seorang daripada kamu akan putuslah amalannya,  dan sesungguhnya  tidak akan bertambah umur sesaorang itu melainkan yang baik:.

Imam Bukahri pula meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.:

لا يتمنين أحدكم الموت: اما محسنا فلعله أن يزداد خيرا ، واما مسيئا فلعله يستعتب”.

Ertinya:

Janganlah seorang daripada kami bercita-cita untuk mati,  jika ia seorang yang baik semuga Allah tambahkan kebaikannya,  jika ia seorang yang jahat semuga Allah beri peluang ia bertaubat:”

Al-Bazzar pula meriwayatkan sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah, katanya; sabda Nabi s.a.w.:

لا تمنوا الموت فان هول المطلع شديد ، وان من السعادة ان يطول عمر العبد حتى يرزقه الله الانابة”.

Ertinya:

Janganlah kamu bercita-cita untuk mati,   sesungguhnya kehebatan mati amat sakit, dan sesungguhnya antara kebahgiaan seorang itu ialah bila dipanjangkan umurnya sehingga diberi Allah peluang ia bertaubat”.

Pasal;

Meunrut pandangan ulamak; mati itu bukanlah semata-mata rosak binasa badannya   dan   tanpa sebarang urusan lain di alam arwah, mati merupakan terputus hubungan roh dengan jasad dan berlaku perpisahan antara keduanya dan seterusnya berubah keadaanya, berpindahan dari satu tempak ketempat yang lain, mati merupakan sebesar-besar musibbah, dengan itu Allah menamakan mati adalah suatu musibah, firman Allah dalam surat al-Maidah ayat 106:

فأصابتكم مصيبة الموت”.

Maksdunya;

“Maka ditimpakan keatas mereka musibat al-maut”

Jelaslah mati adalah suatu musibab yang besar, telah berkata alim ulamak: antara musibat juga ialah lalai terhadap mati, menjauhkan diri daripada mengingatinya, kurang memikir tentang mati, meninggalkan amalan sebagai persiapan mati, sebenarnya mati adalah merupakan iktibar bagi orang yang ingin memikir  mengenainya.

Berita lain dari Nabi s.a.w. bererti; “Jika binatang mengetahui mengenai musibah mati sebagaimana kamu tahu, pasti kamu tidak akan memakan dagingnya  ketika dia gemuk”.

Diceritakan mengenai seorang Arab kampung yang sedang menunggang unta dalam satu perjalanan, tiba-tiba untanya rebah dan terus mati,   lalu dia keliling untanya sambil memikir apa yang terjadi kepada untanya lalu berkata; Apa kena kepada engkau tidak bangun?  sedangkan anggota engkau sempurna dan kakitangan engkau juga sehat, apa kena padamu? Siapa yang menyebabkan kamu berlaku begini? Siapa yang menjatuhkan kamu? Siapa yang mencegah kamu bergerak? , kemudian ditinggalkan unta dan dia terus berfikir dan hairan dengan   apa yang berlaku.

Imam Termizi meriwayatkan dari Abdullah ketika menulis dalam kitab :”Nadir al-Usul”; katanya; telah menceritakan kepada kami Qutaibah Ibnu Said dan al-Khatib bn Sulaim daripada Abdul Aziz al-Maajisyun. Dari Muhammad bin al-Munkadir, katanya: Apabila mati anak Nabi Adam a. s. Lalu berkata kepada isterinya Hawa; Wahai Hawa anak engkau telah mati. Jawab Hawa; Apakah mati itu? Jawab Adam; dia tidak makan dan tidak minum, tidak bangun dan tidak duduk, lalu hawa  merayu-rayu kerana sedih atas kematian anaknya. Lalu Adam berkata; Engkau bersedih atas kematian anak engkau, saya dan anak-anak saya bersih dan tidak berbuat demikian.

Bahan rujukan;

Kitab al-Tazkirah biahwal al-maut wa umur al-akhirah[i], karanagan al-Qurtubi, hal.9.


[i] Kitab ini adalah karangan  al Qurtubi atau nama penuhnya ialah Imam Abu Abdullah Muhammad Ibnu Ahmad Ibn Abu Bakar Al-Ansari Al-Qurtubi  lahir di Cordoba, Spanyol. Dia adalah seorang ulama Maliki yang terkemuka. Karya beliau yang besar dan terkenal ialah Tasfir al Quttubi. Al Qurtubi meninggal pada 671H / 1273M.

Ini adalah kuliah Subuh pertama Ustaz Ya Ali Bin Dahaman menggunakan kitab ini.

Dikirim dalam Berdoa Untuk Mati | Di tag: | Leave a Comment »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.