Kuliah Subuh di-Masjid al-Syakirin Oran, Mata Ayer, Perlis pada 27 Mac 2011
Oleh
Ustaz Ya ali bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin
Sambungan ( Larangan Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Ketika Ditimpa Musibah)
Diriwayatkan bahawa Sahal bin Abdullah al-Tastari telah berkata;
“Janganlah seorang dari kamu bercita-cita untuk mati melainkan tiga sebab; lelaki yang jahil apa yang akan berlaku selepas mati, seorang lelaki yang lari dariapda qada kadar Allah, dan lelaki yang cinta bertemu dengan Allah”.
Dalam riwayat yang lain diberitakan bahawa Malikil Maut telah berjumpa dengan Nabi Ibrahin a.s (Khalil al-Rahman) untuk mencabut nyawanya, Ibrahim berkata; Adakah engkau pernah melihat seorang kekasih mencabut nyawa kekasihnya? Lalu Malikil Maut tidak mencabut nyawanya dan terus bertemu dengan Allah Ta’al dan menceritakan dialog tersebut, lalu Allah perintahkan supaya pergi semula kepada Nabi Ibrahim dan kemukakan soalan kepadannya; “Adakah kamu pernah melihat seorang kekasih benci untuk bertemu dengan kekasihnya? Malikilmaut kembali kepada Ibrahim dan menceritakan demikian, lalu Nabi Ibrahim a.s. berkata; kalau begitu ambillah nyawa aku sekarang juga”.
Menurut Abu al-Dardak; bagi seorang yang beriman mati adalah lebih baik baginya, untuk meguatkan hujahnya beliau telah membaca ayat al-Quran firman Allah;
“وما عند الله خير للأبرار”
Maksudnya; “Dan apa disisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti”. Ali-Imran; 198.
Dan firman Allah dalam ayat yang lain;
” ولا يحسبن الذين كفروا أنما نملى لهم خير لأنفسهم ، انما نملى لهم ليزدادوا اثما”
Maksudnya:“Dan janganlah sekali-kali orang kafir menyangka, pemberian tangguh Kami kepada mereka, adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka itu hanya supaya bertambah dosa mereka”. Ali –Imran: 178.
Kata Haiyan bin al-Aswad; “Mati adalah jambatan untuk menyambung seorang dengan kekaksihnya”.
Bab
Harus Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Kerana Takut Hilang Agamanya.
Firman Allah Ta’ala menceritakan Nabi Yusuf a.s. FirmanNya;
“توفنى مسلما والحقنى بالصالحين” يوسف:10
Maksudnya: “Wafatkan aku dalam keadaan Islam dan masukkan aku bersama orang yang saleh”.
Dalam surah Maryam Allah berfirman menceritakan rintihannya. Firman Allah:
“يا ليتنى مت قبل هذا وكنت نسيا منسيا “مريم 23
Maksudnya:“Aduhai, Alangkah baiknya aku dimatikan sebelum ini, dan aku menjadi barang yang tidak bererti dan dilupakan”.
Dari Imam Malik dari Abi Zanad dari A’araj dari Abu Hurairah bahawa Rasul Allah s.a.w. bersabda:
“لا تقوم الساعة حتى يمر الرجل بقبر الرجل فيقول: يا ليتني مكانه”
Ertinya: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga seorang lelaki melalui kubur simati lalu berkata: aduhai, alangkah baiknya jika aku berada di tempatnya”.
Pasal
Dalam hadith-hadith yang lalu sebenarnya tidaklah ada percanggahan maknanya sebagaimana yang diterangkan, mengenai dengan Nabi Yusuf a.s., menurut pendapat Qatadah; tidak seorang pun yang bercita-cita untuk mati, sama ada nabi atau orang- orang yang beriman melainkan Yusuf ketika sudah sempurna ni’nat yang Allah kurniakan kepadanya dan telah menghimpunkan semua keluarga disisinya, lalu Baginda ingin bertemu pula dengan Tuhannya dengan sebab itu dia berkata; Firman Allah;
“رب قد ءاتيتنى من الملك وعلمتنى” يوسف: 101.
Maksudnya: “Ya, Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku…”.
Selepas itu Baginda bercita-cita ingin bertemu dengan Tuhannya.
Sebenarnya Nabi Yusuf bukanlah bercita-cita untuk mati malah baginda bercita-cita supaya mati dalam Islam, maksudnya Ya Allah jika sampai ajalku matilah aku dalam Islam. Ini pandangan yang terpilih menurut ahli tafsir.
Mengenai dengan Maryam pula, sesungguhnya beliau ingin diwafatkan kerana dua perkara:
Pertama: Beliau takut agar dia dituduh dengan berkelakuan buruk dalam pegangan agamanya dan akhirnya memalukan, kesudahannya beliau akan difitnahkan.
Kedua: Agar tidak tersebar dikalangan umatnya pandangan buruk dan dusta, dengan tuduhan zina, kerana perbuatan ini boleh membinasakan umat.
Dalam al-Quran Allah telah menyatakan tentang tuduhan buruk umat terhadap Ai’shah r.a., firman Allah:
“والذى تولى كبره منهم له عذاب عظيم” النور :11
Maksudnya: “Dan siapa diantara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyibaran berita bohong itu baginya azab yang besar”. Al-Nur.11
Firman Allah lagi;
“وتحسبونه هينا وهو عند الله عظيم” النور: 15
Maksudnya: “Dan kamu menganggapnya suatu yang ringan sahaja. Pada hal dia disisi Allah adalah besar”.
Ulamak berbeza pendapat mengenai dengan status Maryam: Adakah dia termasuk orang yang dipanggil siddiqah (yang benar) berdasarkan kepada Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 75 bermaksud: “Dan ibunya seorang yang sangat benar..”. Atau adakah seorang nabi berdasarkan firman Allah dalam surah Maryam ayat 17 yang bermaksud: :
”Lalu Kami mengutuskan Ruh (Jibril) kami kepadanya”.
Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 42;
“واذ قالت الملائكة يا مريم ان الله اصطفاك” ال عمران :42
Maksudnya:”Dan ingatlah ketika Malaikat Jibril berkata; Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu..”.
Dari ayat-ayat di atas, maka berlakulah rekaaan dan tuduhan terhadap Maryam yang boleh membawa kepada kebinasaan di kalangan umat, maka dengan itu ulamak tafsir membuat keputusan bahawa bagi maryam bercita-cita untuk mati adalah diharuskan demi keselamatan umat..
Bahan rujukan, Kitab al-Tazkirah, al-Qurtubi, hal. 11.












