IBADAT KHUSUS SEBAGAI PEMANKIN RASA TANGGUNGJAWAB DAN PENHAYATAN ISLAM

  

oleh : YA ALI BN DAHAMAN*

 1. MUKADDIMAH

Setiap gerakgeri manusia yang dilakukan setiap hari tidak terlepas daripada konsep ibadat dalam Islam, sama ada ibadat khusus atau ibadat umum, setiap amalan yang boleh dinilai sebagai ibadat mestilah bertepatan  dengan kehendak syarak, kalau tidak itu dinilai sebagai sebagai keuntungan dunia semata-mata. amalan Ibadat dalam Islam mempunyai falsapah dan hikmatnya yang tersendiri, setiap falsafah dan hikmat ini akan melahirkan peribadi muslim yang  baik seterusnya masyarakat dan negara yang diredzai Allah.

2. IBADAT KHUSUS, FALSAFAHNYA DALAM PENHAYATAN ISLAM

2.1 SOLAH.

Solah  adalah tiang agama, dilakukan hasil cahaya keyakinan sesaorang terhadap Islam, solah juga adalah lambang kepada seluruh ketaatan sesaorang individu terhadap Allah, oleh itu solah dapat membentuk jiwa kepada nilai-nilai Islam sebenarnya, al-Quran menyebut bahawa solah adalah mencegah dari perkara keji dan munkar. Solah juga dapat mengawal setiap jiwa dari tarikan hawa nafsu jahat yang menjadi tarikan utama kepadanya.

Apabila seseaorang muslim berdiri dihadapan Tuhannya ketika mendirikan solah, iaitu Allah yang menguruskan segala kehidupannya  dengan patuh dan merendah diri akan lahirlah perasaan kerdil dan mengharapkan sesuatu dari Allah yang bersifat dengan kebesaran, kekuasaan, kehebatan dan seumpamanya.

Al-Quran telah menegaskan bahawa mendirikan solah menurut tatatertib yang sempurna sebagai suatu bisikan dan munajat kepada Allah, akan dapat mendidik pikiran, hati dan jiwa kearah kesuciaan dan kemuliaan. Juga akan berupaya membimbing akhlak dan gerakgeri hidup kejalan yang sejahtera, terpelihara dari segala anasir yang menyebabkan kerusakan serta terhindar dari melakukan sebarang perbuatan dan tindakan diluar batas-batas kesopanan.

Firman Allah:

وأقم  الصلاة  إن  الصلاة  تنهى  عن  الفحشاء  والمنكر .

dan dirikanlah akan sembahyang, kerana sesungguhnya sembahyang dapat mencegah segala kejahatan dan kemunkaran”.  Al Ankabbut 45 

             Segala kemunkaran dan kejahatan yang merusakkan masyarakat dan menimbulkan kekacauan akan dapat dicegah oleh tenaga yang terdidik dengan ibadat solah, kerana solah adalah salah satu alat pendidikan yang penting dalam pendidkan dan pengajaran islam. Seorang yang taat mengerjakan solah sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solah itu kepadanya dan faham pula segala hikmat dan rahsia bacaannya, akan dapat menanam kedalam jiwanya akan   kekuatan perasaan dan keteguhan semangat dalam menghadapi segala macam fitnah pancaruba,  firman Allah:

            “إن  الإنسان  خلق  هلوعا ,  إذا  مسه  الشر  جزوعا ,  وإذا  مسه  الخير  منوعا ,  إلا  المصلين  الذين  هم  على  صلاتهم  دائمون .

                            “Sesungguhnya dijadikan manusia itu bersifat loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia, dan kikir apabila keuntugan mengenai dia, kecuali orang-orang yang sembahyang, yang berkekelan atas sembahyang mereka”.  – al Maarij 19 – 23

Sembahyang juga pembersih bagi sesaorang Islam dari segala macam  ruapa kesalahan sehari-sehari, maka  dengan pembersihannya jadilah hati sentiasa suci. Kesucian hati adalah sumber segala kebaikan dan kehalusan budi. Ringnkasnya apabila sesaorang terikat dengan solahnya maka ia akan membina diri serta giat dalam menhayati  Islam dari segenap sudut untuk kepentingan masyarakat dan negaranya.

Rasul Allah telah menerangkan bahawa meninggalkan solah dengan sengaja atau dengan kesedaran bererti menyediakan satu pintu dari pintu kekupuran  dan akan dimasukinya pada bila-bila masa, Rasul allah bersabda:

إن  بين  الرجل  والشرك  والكفر  ترك  الصلاة .

Sesungguhnya antara seorang lelaki dan syirik dan kufur ialah meninggalkan sembahyang”

Seorang Islam yang melaksanakan kewajipan ini akan mudahlah kelak baginya melaksanakan kewajipan hidup yang lain. Saidina Umar bin al-Khattab pernah mengirim surat kepada hakim negeri yang dibawah kekuasaannya dengan katanya”

            “Sesungguhnya dari sepenting-penting urusan kamu disisiku ialah sembahyang, maka siapa yang memelihara sembahyangnya maka ia memelihara agamanya, dan siapa yang mensia-siakannya maka ia kepada apa-apa yang selainnya lebih lagi mensia-siakannya, dan tidak bahagian dalam Islam bagi mereka yang meninggalkan sembahyang”.

2.2 MENGELUARKAN ZAKAT

Zakat ialah penyucian dan tambahan, diwajibkan keatas orang yang memiliki harta benda yang tertentu untuk mengeluarkan bahagiannya kepada orang-orang yang berhak menerimanya menurut ketepan hukum. Zakat yang dikeluarkan dengan jiwa yang suci menjadikan harta itu suci, dan peribadi orang yang mengeluarkannya terhindar dari perasaan kedekut dan tamak kepada keduniaan, disamping itu harta benda yang dikumpulkan sepanjang hidup dengan berpenat lelah akan sentiasa dalam kebaikan dan penambahan berkat dari Allah.

Islam ialah satu agama yang ingin sekelian  pemeluknya menjadi manusia yang patuh menunaikan hak Allah,  Islam juga ingin pula kepada manusia yang patuh itu supaya menunaikan hak sesama manusia, bantu dan saling hurmat menghurmati dalam pergaulan bermasyarakat.

Dengan demikian  harta benda itu tidak terkumpul dalam tangan orang kaya sahaja selama-lamanya, sedang orang yang tidak mampu atau fakir miskin dan lain-lainya hidup menderita sepanjang masa, tidak pernah mendapat bahagiannya menerusi  harta zakat tersebut.  Harta benda menurut falasafah Islam adalah harta Allah, sedang manusia semua bersekutu untuk mendapatnya secara adil. Zakat adalah keperluan bagi anggota masyarakat yang tempang hidupnya, kewajipan mengeluarkan zakat adalah sama dengan kewajipan mendirikan sembahyang, Firman Allah:  وأقيموا  الصلاة  وآتوا  الزكاة . dan dirikanlal sembahyang dan keluarkanlah zakat.

Kalaulah dengan sembahyang sesaorang itu sentiasa  menhubungi Allah, maka dengan zakat pula seorang dapat mempertalikan dirinya dengan masyarakat, malah dengan zakat itu dirinya menjadi bersih, jiwanya menjadi suci, perasaan menjadi tenteram, tidak ada yang ditakutinya kerana hatinya tidak dihinggapi oleh perasaan loba dan tamak, disamping itu dia akan menunaikan kewajipan untuk memenuhi hajat hidup sesaorang yang perlu serta berusaha menegakkan keadilan masyarakat,  

firman Allah;  خذ  من  أموالهم   صدقة  تطهرهم  وتزكيهم  بها . .

 Ambillah dari harta-harta mereka sedekah yang engkau bersihkan mereka dan sucikan mereka dengannya. – at Taubah 103

 

Harta adalah kepunyaan Allah yang ditetapkan pembahagiaanya kepada orang-orang yang ditentukan, siapa yang enggan mengeluarkan zakat wajiblah diambil daripadanya secara paksa.

Orang yang mengeluarkan zakat bererti orang yang membelanjakan hartanya untuk maslahat dirinya dan maslahat orang lain.  Orang yang tidak mengeluarkan zakat dianggap orang yang bakhil, hartanya akan menjadi alat untuk menyeksanya diakhirat kelak. Maksud al-Quran:

                   “Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan  kepada mereka dari kurniaNya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu akan dikalungkan kelak dilehernya dihari kiamat”.     – Ali Imran: 180.

 

2.3 BERPUASA BULAN RAMADZAN

Puasa menurut Islam bererti mencegah nafsu lahir dan batin dari segala yang dilarang serta mengawasi gerakgeri badan dari melakukan suatu yang ditegah oleh syarak. Al-Quran menerangkan perintah puasa dan hukumnya  serta menjelaskan pula faedah atau hikmatnya secara ringkas tetapi tegas dalam rangkaian perkataan yang sedikit lagi kemas iaitu firmanNya:( (لعلكم  تتقون) ertinya supaya kamu bertaqwa. Bererti dengan berpuasa akan mencapai darjat taqwa disebalik faedah dan hikmatnya. Taqwa amat luas pengertiannya ; antaranya ialah puasa dapat mencegah diri dan jiwa dari penyakit dan kerusakkan akhlak akibat dari nafsu yang tidak pernah dikawal dan dipelihara. Penegasan ini berdasarkan kepada perkataan taqwa itu. Taqwa juga memberi makna memelihara dari api neraka. Taqwa adalah sebaik-baik bekalan yang berguna bagi manusia  didunia dan diakhirat, taqwa adalah pembuka jalan kearah kemudahan sesuatu urusan. Taqwa adalah sebab penghapusan dosa dan kesalahan. Kerana itu maka amatlah tepat pemakaian perkataan ini untuk menunjukkan hikmat puasa.

Taqwa hasil ibadat puasa dan dari amal-amal yang lain adalah satu darjat dan maqam yang paling mulia dan tinggi dalam pandangan Islam, menurut pengajaran al-Quran, ukuran mulia peribadi sesaorang tidak disebabkan keturunan atau kebangsaan, kepandaian, kekayaan, kedudukan, gelaran dan lain-lain lagi, sebenarnya ukuran itu terletak kepada taqwa.

Puasa yang akan menjamin sifat taqwa bukanlah semata-mata berlapar sahaja, sedang nafsu dan budipekertinya  tidak berpuasa, puasa dan berlapar itu untuk mendidik peribadi menjadi orang yang patuh lagi berbudi serta bertimbang rasa serta berusaha melipatgandakan usaha mengingati kebesaran Allah dengan melakukan kebaikan, menjauhkan dari kejahatan sama ada dengan hati, perkataan dan perbuatan. Kalau tidak demikian, maka puasa adalah semata-mata lapar dan dahaga. Sabda Nabi S.A.W.

من  لم  يدع  قول  الزور  والعمل  به  فليس   لله   حاجة  فى  أن  يدع   طعامه  وشرابه .

              « Siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukannya maka tidak ada hajat bagi Allah untuk meninggal makan dan minumnya »

 

2.4 MENGERJAKAN HAJI

 Ibadat haji tidak sebagaimana ibadat  lain yang mana boleh ditunaikan dalam kediaman sendiri, untuk mengerjakan ibadat ini berkehendakkan masa dan tempat yang tertentu dan memerlukan perbelanjaan dan kesihatan badan, terpaksa meninggalkan kampung halaman dan rumahtangga serta  menanggung kesulitan dan kepayahan dalam perjalanan. Semuanya ini terpaksa dilakukan dengan hati yang sabar, Islam menamakan juga ibadat ini dengan jihad iaitu perjuangan seperti mana sabda Nabi S.A. W.

جهاد  الكبير  والصغير  والضعيف  والمرأة  الحج  والعمرة .

         Jihad orang tua, kanak-kanak, orang lemah dan orang   perempuan ialah haji dan umrah”.

 

Aishah pernah bertanya kepada Rasul Allah:

Ya Rasul Allah, kami berpendapat jihad adalah seafdzal-afdzal amal, maka adakah kami akan berjihad? Baginda  bersabda,  jihad yang afdzal itu ialah haji dan umrah”.

 

Ibadat  haji merupakan satu muktamar yang maha agung, perhimpunan umat Islam dari berbagai  bangsa dan warna kulit yang datang dari segenap penjuru alam, maka dengan kesempatan ini dapatlah umat Islam berikhtiar untuk menyatukan pendapat dan pikiran mereka serta berusaha untuk mencari kemaslahatan hidup dalam urursan dunia dan agama sebagaimana firman Allah:

                                ليشهدوا  منافع  لهم  ويذكروا  اسم  الله  .

“Supaya mereka menyaksikan segala manfaat bagi mereka  dan mereka menyebut nama Allah”. Al-Hajj 28

 

Haji juga mengajar manusia hakikat persamaan, mereka semua adalah satu menurut hukum  Allah tidak ada yang besar kecuali Allah, mereka berpakaian ihram yang sama setelah menanggalkan pakaian kebangsaan yang menjadi kebanggaan dan kemegahan bangsa mereka. Waktu itu tidak ada suatu yang hendak dibanggakan, dan tidak ada suatu yang hendak diucapkan melainkan kalimah talbiyyah.

Dapatlah ditegaskan disini bahawa ibadat haji adalah penuh dengan hikmat dunia dan agama,  orang yang mengerjakan haji adalah dibawah pemeliharaan Allah dan taufiqNya sedang orang yang enggan mengerjakannya bererti berpaling dari pemeliharaan dan taufiqNya serta benci kepada mengingati kebesaranNya dan mendapat hidayatNya, sebab itu Rasul Allah bersabda:

                    من  ملك  زادا  وراحلة  تبلغه  الى  بيت  الله  ولم  يحج  فلا  عليه  أن  يموت  يهوديا  أو    نصرانيا .                                                   

     رواية  ترمذي  دان  أحمد .                     

                   “Siapa yang memiliki bekalan dan keenderaan yang boleh menyampaikan dia ke Baitullah dan ia tidak mengerjakan haji, maka tidak ada atasnya satu halangan, bahawa ia akan mati sebagai seorang yahudi atau nasrani”.

 

3.  FALSAFAH DAN HIKMAT IBADAH KHUSUS

AL-Quran menjelaskan bahawa ibadat solah dapat mencegah perkara keji dan munkar, solah sebagai benteng dari perbuatan jahat dan maksiat seterusnya ia menjadi pendorong kepada  kebenaran, solah juga menenangkan jiwa dan sentiasa memmlihara dirinya dari perbuatan yang bercanggah dengan Islam, solah mendisiplinkan diri ditengah-tengah masyarakat, anggota masyarakat akan rasa aman dari geraklakunya.

Manakala ibadat zakat pula dapat membersihkan diri sesaorang dari sifat kikir, sombong dan mementingkan diri, dengan pemberian zakat juga dapat menyelesaikan masalah ekonomi umat Islam, merapatkan jurang perbezaan antara golongan kaya dengan miskin, dari segi sosial ibadat zakat dapat memupuk rasa kasih sayang dan saling bantu membantu kearah mengujudkan perpaduan dan keamanan, iabdat zakat dapat mengikiskan rasa pentingkan diri sendiri individualistik, egoistik dan mengutamakan kebendaan. Al-Quran:

 

وفى  اموالهم   حق  للسائل   والمحروم  .

“dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menehan diri dari meminta” – adz Dzaariyaat 19

 

Antara rahsia yang dapat kita lihat dalam ibadat puasa pula ialah, melatih diri bersifat  mahmudah seperti amanah, jujur, pemurah, ikhlas dan sabar. Puasa juga dapat menyekat hawa nafsu menusia dari melakukan perkara-perkara masksiat dan munkar, puasa juga dapat memberi kerehatan  jasmani dan rohani, puasa dapat menyucikan jiwa agar bertaqwa kepadda Allah, rasa hurmat menghurmati sesama manusia.

Ibadat haji pula mengujudkan kesatuan dan persamaan taraf, melahirkan keadilan dan kerjasama , kasih sayang sesama umat Islam, dalam ibadat haji mengajar manusia bersifat sabar berdisiplin dan mengikhlaskan diri beribadat kerana Allah.

Dari apa yang diperkatakan tentang hikmat dan falsafah ibadat khusus tersebut dapatlah kita faham bahawa pada keseluruhannya mengajar menusia agar hidup dengan penuh kesetiaan kepada Allah dalam hubungan  sesama manusia dan hubungan menusia dengan Allah.

 

4.  PENUTUP

Memang tidak diragukan lagi bahawa setiap ibadat yang disyariatkan oleh Allah adalah untuk kebaikan diri manusia sendiri, jika sekiranya setiap orang islam dapat menghayati ibadat tersebut dengan baik dan ikhlas tentulah akan meninggalkan kesan yang positif dalam dirinya untuk hidup dalam masyarakat walau pun dimana  dia berada, dia tidak akan terpengaruh dengan budaya, pengarus liar yang menjadi musuh Islam dan musuh masyarakat.  Wassalam.

 

Rujukan: 

  1. al-Quran al-Karim
  2. Ustaz Mustaffa Abd. Rahman, Hadith Empat Puluh, Dewan Pustaka Fajar
  3. Ali ahmad al-Jurjawi,  حكمة  التشريع  وفلسفته  , Dar al-Fikr.

 

* Ustaz Ya Ali bin Dahaman adalah Imam 1 Masjid As Syakirin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s