Hadis : Niat

Kuliah Maghrib di Masjid Repoh Perlis

Oleh  Imam Masjid al-Syakirin Ustaz Ya ali Dahaman

Pada Jumaat 5 hb. Feb 2010.

Ilmu Hadith.

عن أمير المؤمنين أبى حفص عمر ابن الخطاب رضى الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: “انما الأعمال بالنيات وانما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها او امرأة ينكحها فهجرته الى  ما هاجر اليه”. البخارى ومسلم.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab r.a. katanya:  Aku mendengar Rasul Allah s.a.w. bersabda: Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang mendapat (pahala berdasarkan kepada apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul Nya, maka hijrahnya itu adalah bagi Allah dan Rasul Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.

Kepentingan Hadith:

Hadith ini amat penting menjadi paksi putaran Islam, ia adalah asas kepada Islam atasnya bersandar segala hukum   Islam, ini berdasarkan kata Ulamak; Abu Daud mengatakan hadith ini separuh dari Islam kerana agama terdiri dari lahir dan batin, niat adalah perkara batin. Kata Imam Ahmad dan al-Syafi’i; hadith ini satu pertiga dari agama, sebab kerja manusia terdiri dari hati, lidah dan anggota, maka niat salah satu darinya. Sebab itu ulamak memulakan karangan kitab mereka dengan meletakkan hadith ini dipermulaannya, al-Bukhari memulakan dalam Kitab Sahehnya, Imam Nawawi memulakan hadith ini dalam kitab-kitabnya Riyadzu Salihin, al-Azkar dan  hadith empat puluh. Gunanya dimulakan dengan hadith ini untuk meperingati kepada setiap penuntut ilmu agar mengikhlaskan hati kerana Allah ketika menuntut ilmu dan beramal saleh.

Sebab Hadith di lafzakan:

Tabrani menyatakan dalam kitab Mu’jamnya dari Ibnu Maas’ud; seorang lelaki dari kalangan mereka telah meminang seorang perempuan bernama Ummu Qais, dia tidak mahu kahwin sehingga dia pindah ke Madinah, lelaki berkenaan turut berpindah dan berkahwin disana. Sebab itu  kami namakan  hadith ini: Penghijrahan Ummu Qais.

Hukum yang ditunjukkan dalam hadith ini;

1.         Disyaratkan niat; ulamak sepakat mengatakan bahawa setiap amalan oleh seorang mukmin yang mukallaf  diterima oleh syarak dan mendapat ganjarannya mestilah disertakan dengan niat.

Niat dalam ibadat langsung seperti sembahyang, puasa dan haji sebagai rukun tidak sah tanpanya, ada pun sesuatu tidak langsung yang menjadi wasilah seperti wuzduk dan mandi hadath menurut Hanafi adalah syarat sempurna untuk mendapat pahala. Menurut al-Syafi’i dan lain-lain: adalah syarat sah, oleh itu tidak sah perbuatan tersebut tampa niat.

2.         Waktu niat: waktunya dipermulaan ibadat seperti takbiratul Ihram dalam sembahyang, Ihram haji manakala ibadat puasa maka memadai niat sebelum mula berpuasa kerena susah untuk menepati mula naik fajar.

Tempat niat ialah dalam hati; maka tidak disyaratkan melafazkannya, tetapi digemari agar melafazkan dengan lidah untuk membantu hati ketika niat.

Disyaratkan juga menentukan perkara yang diniatkan dan membedakan dengan yang lain, oleh itu tidak memadai dengan niat sembahyang sahaja malah hendaklah mentukan sembahyang zohor atau asar dan seterusnya.

3.         Difahamkan dari hadith ini bahawa siapa yang berniat untuk melakukan amalan saleh, kemudian terhalang untuk melakukannya dengan sebab sakit atau  mati  dan seumpamanya maka dia telah diberi pahala berdasarkan niatnya itu.

4.         Hadith ini menunjukkan keapada kita supaya ikhlas dalam amalan dan ibadat sehingga kita mendapat ganjaran dari Allah diakhirat kelak juga mendapat taufiq dan kejayaan didunia.

5.         Setiap amalan yang baik dan bermanfaat bila diikuti dengan niat dan ihklas demi mencapai keredaan Allah menjadi ibdat dalam Islam.

Dr. Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Mestu, al-Wafi Fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyah, Dar Ibnu Kathir, cetakan ke sepuluh,  1997, hal. 11.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s