Jangan Marah bagi Kamu Syurga

Kuliah Maghrib di Masjid Arau Perlis pada 24 Apr 2011

oleh Ustaz Yaali bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin Oran Perlis.

 

Petikan sebahagian Kuliah Hadith bertajuk: Jangan   Marah bagi Kamu  Syurga

عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رجلا قال للنبى صلى الله عليه وسلم: أوصيني ، قال: لا تغضب ، فردد مرارا ، قال : لا تغضب .  رواه البخارى .

Ertinya: Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. dengan katanya; Berilah nasihat kepada saya, Baginda berkata: jangan kamu marah, lalu diulangi beberapa kali, baginda menjawab; jangan kamu marah”, Hadis riwayat al-Bukhari.

Lelaki yang bertanya ialah Abu al-Dardak r. a.

Dalam   riwayat yang lain  oleh al-Tabrani; bermaksud:

Aku bertanya,  Ya Rasul Allah, tunjukkan kepada saya satu amalan yang membolehkan saya masuk kedalam Syurga?, jawab Baginda; jangan kamu marah bagi kamu Syurga”.

Jangan marah memberi maksud: jauhkan dirimu dari sebab-sebab yang mendedahkan dirimu untuk marah.

Sifat pemarah adalah dari jiwa yang lemah, sedangkan berlemah lembut adalah jiwa yang kuat, cepat marah dan tunduk kepadanya menandakan  sesaorang itu lemah, walaupun dia memiliki anggota yang kuat dan badan yang sehat, Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya; Sabda Nabi s.a.w.:

“ليس الشديد بالصرعة ، انما الشديد الدي يملك نفسه عند الغضب “

Ertinya: Bukanlah orang yang gagah itu orang yang kuat bergusti(menjatuhkan orang lain), tetapi orang yang gagah itu adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah”.

Kesan Marah Yang Dibenci;

Sikap pemarah adalah akhlak yang dicela, tabiat yang buruk umpama senjata yang membunuh, jika sesaorang itu menyerahkan dirinya kepada sifat marah, dia akan jatuh dan membawa kesan yang buruk kepada dirinya sendiri dan masyarakat.

Antara Kesan Buruk Terhadap Dirinya Sendiri;

Berlaku keatas dirinya sendiri dari segai fizikal, akhlak dan keimanannya, kita boleh melihat kesan pada dirinya sebaik sahaja sesaorang itu sedang marah, berubah wajahnya, meluap-luap darahnya, angota badannya menggeletar, tegang urat lehernya, keseluruhan badannya menggigil dan tidak jelas percakapannya, ketika itu akan terkeluar dari  mulutnya perkataan yang keji, kata-kata yang mengutuk dan mengumpat, dan boleh jadi terkeluar dari mulutnya perkataan yang haram, iaitu perkataan yang boleh terkeluar dari Islam atau murtad dimana dia akan melafazkan kalimah kufur ingkar terhadap hukum-hakam agama atau menolak agama dan seumpamanya. Lebih dari itu   boleh berlaku tindakan yang boleh merosakkan harta bendanya atau boleh menjejaskan kesihatannya sendiri.

Antara Kesan Buruk Terhadap Masyarakat;

Akan lahir perasaan hasad dengki dalam hatinya disamping menyembunyikan niat jahatnya terhadap orang ramai, ini akan menyakiti anggota masyarakat dan memisahkan dirinya dengan orang ramai, dia akan merasa gembira jika orang lain ditimpa musibah, ini semuanya boleh mendatangkan permusuhan dan kebencian antara   sahabat dan sanak saudara, seterusnya boleh memutuskan silatulrahim  antara keluarga, ketika itu rosaklah kehidupan dan runtuhlah perpaduan dalam masyarakat.

Membuang Perasaan Marah  Dan Merawatnya;

Sikap pemarah memang tabiat manusia, tetapi bagi seorang Islam yang ada hubungan dengan Allah selaku penciptanya hendaklah menjaga dirinya dan menolak sebarang kejahatan dari sikap tersebut dengan menjauhkan diri dari sebab-sebab yang membawa kepada kemarahan serta merawatnya apabila diperlukan;

Sebab-Sebab Kemarahan;

Memang banyak dan berbagai, antaranya ialah: sifat sombong takbur, ingin mengatasi orang lain, bermegah-megah    dan  memperolok-olokkan orang lain, banyak bergurau lebih-lebih lagi pada perkara bukan kebenaran, berdebat dan campur tangan dalam  hal ehwal yang tidak berkenaan dengan dirinya, terlalu rakus pada harta dan kemegahan yang berlebihan. Seorang Islam haruslah menghindarkan dirinya dari sifat-sifat tersebut dan mendidik  jiwanya supaya tidak berlaku demikian.

Cara Merawat Kemarahan;

*   Membiasakan dirinya dan mendidik agar berakhlak dengan akhlak yang mulia, seperti lemah lembut, sabar, tegakkan diri dengan kebenaran, tenang  hatinya dalam setiap urusan hidup. Contoh yang amat baik untuk diikuti ialah bagaimana baginda Rasul Allah s.a.w. bersikap sabar dan lemah lembut.

Zaid bin Sa`nah telah berjumpa dengan Nabi s.a.w. sebelum beliau memeluk Islam dengan tujuan untuk menguji tentang sifat Baginda sebagai seorang Nabi, iaitu lemah lembut yang mengatasi sifat marah dan  bila berdepan dengan orang yang  terlalu jahil   melainkan akan bertambah lemah lembut baginda, Zaid telah menuntut hutangnya dari Baginda Nabi s.a.w.yang belum sampai masanya dengan sikap yang kasar dan keras, lalu disambut  oleh Baginda dengan lapang dada dan senyum manis, sebaliknya Umar telah memarahi lelaki tersebut, kemudian Nabi s.a.w. telah menunjukkan kepada mereka berdua sebagai mengajar dan mendidik dengan sabdanya;

” أنا وهو كنا أحوج الى غير هدا يا عمر ، تأمرنى بحسن القضاء ، وتأمره بحسن التقاضى”

Ertinya; Aku dan dia, kami sebenarnya lebih berhajat kepada selain daripada ini wahai Umar! Kamu sepatutnya menyuruh aku  supaya melakukan pembayaran dengan baik dan menyuruhnya supaya menuntut hutang dengan cara yang baik”.

 

Lepas itu Nabi s.a.w. membayar hutang dan lelaki tersebut terus memeluk Islam.

*   Hendaklah mengawal diri ketika marah dan mengingati akan akibat buruknya, sebaliknya memikirkan akan kebaikan terhadap orang yang menahan marah dan memaafkan terhadap orang yang bersalah.

*   Memohon perlindungan daripada Allah Ta`ala, sebagaiman firman Allah dalam surah al-`Araf ayat 199; Bermaksud;Dan jika kamu dihasut oleh suatu  hasutan dari syaitan,  maka mintalah perlindungan  kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

*    Mengubah kedudukannya ketika sedang marah; Hadith diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Jika salah seorang daripada kamu sedang marah dalam keadaan berdiri  hendaklah dia duduk, jika dengan demikian boleh menghilangkan marah, kalau tidak hendaklah dia baring”

*   Tidak bercakap, kerana kemungkinan bila  bercakap akan mengeluarkan perkataan yang boleh menambahkan kemarahannya, atau pun  percakapan itu akan mendatangkan penyesalan sebaik sahaja hilang perasaan marahnya, boleh jadi itulah apa yang disukainya. Ahmad, Termizi dan Abu Daud meriwayatkan dengan maksud; Jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam, Rasul Allah mengulanginya sebanyak tiga kali”.

*    Berwuduk; kerana apabila marah panas badannya, cair darahnya dan mendidih menyebabkan tubuhnya menjadi panas, air dapat menyejukkan dan mengembalikan kepada keadaan asal, maksud hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Termizi dimana baginda bersabda dalam khutbahnya; “ Ingatlah perasaan marah itu adalah bara api yang membara dalam hati anak adam”.

Disamping itu wuduk adalah ibadat dan zikir kepada Allah akan mengelakkan dari gangguan syaitan; Maksud hadith; Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Apabila salah seorang daripada kamu marah hendaklah dia berwuduk”. Riwayat Ahmad dan Abu Daud.

Sekian والله أعلم

____________

Bahan bacaan kitab al-Wafi, karangan Dr Mustaffa al-Bugha dan Muhyiddin Misto, hal. 106.

(“Al-Wafi” ialah kitab yang mensyarah dan menghuraikan maksud Hadith 40 yang dipilih oleh Imam an-Nawawi . Kitab ini di syarah olah Dr Mustaffa al-Bugha dan Muhyiddin Misto)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s