Mengingati mati dan akhirat akan zahid hidup didunia

Kuliah Subuh Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis pada  8 dan 15 Mei 2011

Oleh Ustaz Yaali bin Dahaman,  Imam Masjid Oran

Sambungan Kuliah (Mengingati mati dan akhirat akan zahid hidup didunia)

Ziarah kubur akan memberi kesan segera dan faedahnya benar-benar dapat menyedarkan bagi hati yang keras dan degil, oleh itu bagi sesiapa yang akan mengziarahi kubur mestilah menjaga adab-adabnya, hadir penuh perasaan dalam hatinya, janganlah sekadar mengelilingi tanah perkuburan semata-mata, kerana perbuatan demikian tidak lebih hanya semacam haiwan yang ditambat diatas kubur, kita minta lindung dengan Allah daripada amalan demikain. Malah yang perlu ada dalam hatinya ialah ziarah kubur dengan niat kerana Allah untuk mengubati hati yang degil atau pun memberi manfaat kepada mayat apa yang dibacanya dari ayat-ayat al-Quran. Elakkan diri dengan berjalan-jalan atas kubur atau duduk diatasnya sebaik sahaja masuk kekawasan tanah perkuburan, tanggalkan kasut sebagaimana tersebut didalam hadith, memberi salam dan rasakan semacan sedang bercakap dengan orang yang hidup dengan   memberi salam;

السلام عليكم دار قوم مؤمنين

Ertinya Selamat sejahtera penghuni rumah orang beriman”.

Apabila menziarahi kubur yang dikenalinya maka hendaklah memberi salam secara khusus;

عليك السلام

Ertinya; “ keatas kamu salam sejahtera”.

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Termizi; “Seorang sahabat mengziarahai Nabi s.a.w. lalu memberi salam dengan katanya `alaika al-salam, lalu Nabi s.a.w. menegurnya dengan sabda Baginda;

“لاتقل عليك السلام ، فان عليك السلام تحية الميت “

Ertinya; “Jangan kamu kata `alaika al-salam, kerana kalimah ini adalah salam kepada  mayat”.

Bagi  sesiapa yang mengziarahi kubur hendaklah berdiri sebelah mukanya sepertimana sedang bercakap dengan orang yang hidup, kemudian ingatlah bahawa dia sedang bercakap dengan orang yang berada dalam kubur atau tanah, di mana telah terputus denganya ahli keluarga dan sahabat karib,   munkin sebelun ini dia pernah mengetuai segerombolan tentera, dia pernah mendahului rakan dan keluarga   kedudukannya di dunia, telah banyak menghimpunkan harta dan kekayaan, kemudian telah tiba saat kematian di waktu yang tidak dijangka olehnya, kedahsyatan mati yang belum pernah dilihat dan dirasainya. Oleh itu bagi sesiapa yang mengziarahi kubur hendaklah memikirkan peristiwa-peristiwa yang telah dilalui oleh saudaranya yang telah mengumpul  harta dunia dan cita-cita dalam hidpnya yang amat tinggi. Bagaimana rasanya ketika terputus dari segala cita-citanya, tidak memberi sebarang faedah dari harta yang telah dikumpulnya, ketika mukanya yang cantik  telah dilumuri dengan debu dan tanah kubur, badannya telah berkecai dalam kubur, isteri-isteri telah menjadi janda, anak-anak mereka telah menjadi   yatim dan telah diagihkan kuasa dan harta mereka yang  ditinggalkan.

Oleh itu bagi sesiapa yang mengziarahi kubur hendaklah memikir apa yang telah berlaku kepada saudaranya yang sedang disemadi didalam kubur agar melembutkan hati supaya mengingati Allah   dan mematuhi ajaranNya, semoga   hidupnya   zahid didunia dan banyak beramal untuk persiapan matinya.

Pasal

Dalam bab ini akan dibahaskan beberapa hadith  zahirnya wujud percanggahan antara satu sama lain, antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Ali al-Khatib dalam kitab “al-sabiq wa al-lahiq”, Abu Hafs bin Umar bin Shahen dalam kitab “al-Nasikh wa al-mansukh”, dalam kedua kitab ini menyatakan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh `Aishah r.a. katanya; “Semasa saya bersama baginda Nabi s.a.w menunaikan haji wida`  lalu kami  menerusi al-Hujun  tiba-tiba baginda menangis dengan  keadaan dukacita, lalu saya turut menangis kerana tangisan Baginda, kemudian Baginda mundur kebelakang dan berkata kepada saya; (Wahai Humairak (`Aishah) berdiri dan pegang sesuatu, maka saya pun berdiri bersebelahan dengan unta saya, setelah beberapa saat kemudian Baginda datang kepada saya dengan wajah yang sukacita gembira dan tersenyum,   saya bertanya kepada Baginda;    wahai Rasul Allah, sebelum ini engkau menangis dukacita, lalu  saya juga menangis dengan sebab tangisan mu wahai Rasul Allah, kemudian lepas itu engkau datang  padaku dengan senyuman gembira, apa yang berlaku wahai Rasul Allah? Lalu baginda bersabda;

“مررت بقبرأمي امنة فسألت ربي أن ييحها , فأحياها فأمنت بي – أو قال – وردها الله”.

Ertinya; Aku telah melalui kubur ibuku Aminah maka aku minta agar Allah menghidupkannya, maka Allah menghidupkannya dan dia telah beriman denganku – atau – dan Allah telah menolak”.[1]

Al-Suhaili telah menyatakan dalam kitabnya al-Raudz suatu hadith yang tidak diketahui sanadnya; “Sesungguhnya Allah Ta`ala telah menghidupkan  dihadapan  Nabi bapa  dan ibunya dan   bapa sauduaranya dan mereka beriman kepadanya.[2]

Menurut pandangan pengarang kitab ini (al-Qurtubi), hadith ini tidak ada percanggahan dan segala puji bagi Allah; kerana Allah menghidupkan mereka berdua adalah selepas dilarang memohon ampun kepada mereka berdua, berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh `Aishah r.a.,   peristiwa ini berlaku ketika Baginda mengerjakan haji wida`, manakala ibnu Shahen pula mengatakan hadith ini memansukhkan  hadith yang lalu.

Kata pengarang kitab; ketika menerangkan hadith riwayat Muslim dari Anas, katanya bahawa seorang lelaki telah bertanya Nabi s.a.w. dengan katanya; “Wahai Rasul Allah; dimanakan ayah saya sekarang ini? Jawab baginda; “Finnar” (dalam neraka) setelah beliau berundur lalu Baginda memanggil semula dan menyatakan “ Baahawsa bapaku  dan bapa engkau berada didalam neraka”.

Mengenai hadith yang menceritakan Ibu dan bapa Nabi s.a.w. beriman dengannya adalah hadith maudzu` (rekaan) yang telah ditolak oleh al-Quran dan Ijma` Ulamak, firman Allah Ta`ala;

“ولا الذين يموتون وهم كفار”

Maksudnya;Dan tidak diterima taubat mereka yang mati dalam kufur”. Al-Nisak: 18.

Siapa yang mati dalam keadaan kafir tidak berfaedah lagi imannya selepas dibangunkan nanti, tidak berfaedah sesaorang yang beriman ketika hampir mati tentulah tidak berfaedah imannya ketika dibangunkan kelak, sebagaiman al-Quran menjelaskan;

“ولا تسئل عن أصحاب الجحيم”.

Maksudnya; “ Dan kamu tidak dipertanggungjawab terhadap penghuni neraka jahim. Al-Baqarah: 119.

Pengarang menyatakan, Telah  berkata Abu Al-Khattab Umar bin Dahiyah, ini adalah antara kelebihan dan keistimewaan kepada Nabi s.a.w. dan ini juga adalah pemberian dari Allah dan kemuliaan yang dikurnaikan kepada baginda. Wallah `aalam.

Bahan bacaan; kita al-Tazkirah karangan al-Qurtubi; hal: 19.


[1] Hadith ini adalah maudzu` (rekaan), telah dinukilkan oleh ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudzu`at(2/12) dan Ajlawi dalam kitab kasyfulkhfa`(1/63) katanya hadith ini adalah dzaif dengan persetujuan seluruh pengahafal hadith, malah ada yang mengatakan hadith ini adalah maudzu`, dan yang sebenarnya hadith ini ialah hadith dzaif, Ibnu Hajar dalam kita Lisan al-Mizan (4/305).

[2] Sanad hadith ini adalah lemah, dikeluarkan oleh Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya (1/163), kataku; hadith yang menceritakan tentang dihidupkan kedua ibu bapa Nabi s.a.w. tidak disebut dalam kitab al-sittah (enam) dan selainnya, dan sanadnya lemah. Dan dikeluarkan oleh al-`ajluni dalam kiabnya Kasyfulkhafa` (1/62)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s