SYARAT PENERIMAAN DOA, HALANGAN DAN ADAB-ADAB BERDOA.

Kuliah Maghrib Masjid Baroh Perlis pada 1  Dis 2011

Oleh

Ustaz Yaali bin Dahaman@Abddul  Rahman Imam Masjid al-Syakirin

SYARAT PENERIMAAN DOA, HALANGAN DAN ADAB-ADAB BERDOA.

Punca doa sesaorang diterima Allah mestilah menepati syaratnya tanpa sebarang halangan;

1)        Hadir Hatinya Ketika Berdoa Serta Penuh Harapan

Antara syarat yang paling  utama  ialah hadir hatinya ketika berdoa disamping  mengharapkan perkenan  Allah Ta`la.

Hadith yang dikeluarkan oleh al-Termizi dari Abu  Hurairah r.a. daripada  Nabi s.a.w. baginda bersabda;

“ادعوا الله وأنتم موقنون بالاجابة ، وان الله تعالى لايقبل دعاء من قلب غافل لاه”

Ertinya; “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin mendapat perkenan dari Allah, sesungguhnya Allah Ta`la  tidak akan menerima doa dari  hati yang lalai dan tidak bersungguh-sungguh”.

Dalam kitab Musnad dari Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda;

“أن هذه القلوب أوعية ، فبعضها أوعى من بعض ، فاذا سألتم الله فاسألوه وأنتم موقنون بالاجابة ، فان الله لايستجيب لعبد دعاء من مظهر قلب غافل”

Ertinya; “Hati adalah ibarat bekas, sebahagiannya adalah lebih sesuai untuk digunakan sebagai tempat menyimpan daripada sebahagian yang lain. Wahai manusia, apabila kamu berdoa kepada Allah Azzawajalla, maka pohonlah dalam keadaan kamu yakin  Allah akan menerimanya. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menerima doa seorang hamba yang hatinya lalai”.

Antara tanda seorang itu mengaharapkan kepada Allah ialah apabila memperelokkan keraja taatnya kepada Allah, firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang  mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.  Al-Baqarah:218.

2) Bersungguh-Sungguh Ketika Meminta Dan Berdoa.

Sesaorang  itu  hendaklah berdoa dengan penuh kesungguhan dan keyakinan, tidak ragu-ragu dalam hatinya dan dalam doanya, Nabi melarang seorang yang berdoa atau meminta ampun dengan kata-kata;

Ya Allah ampunkanlah dosaku jika engkau kehendaki, Ya Allah kasihanilah aku jika Engkau kehendaki, tetapi hendaklah dia  bersungguh-sunguh dan penuh yakin,  kerana Allah bebas apa sahaja yang dikkehendaki tidak ada kuasa yang dapat menghalangnya”. Muslim.

Dalam kitab al-Sahih daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda;

“اذا دعا أحدكم فلا يقل : اللهم ان شئت اغفرلي ، ولكن ليعزم وليعظم الرغبة ، فان الله سبحانه لا يتعاظم شئ أعطاه “. الترمذي .

Ertinya; “Apabila seorang daripada kamu bedoa, maka janganlah dia berkata: Ya Allah ampunlah aku jika Engkau mahu”. Tetapi dia hendaklah bedoa bersungguh-sungguh dan melahirkan kesungguhan dan  keinginannya. Sesungguhnya Allah sedikit pun tidak merasa besar terhadap apa yang dikurniakanNya”. Riwayat al-Termizi.

3)  Merayu-rayu  ketika Berdoa;

Sesungguhnya Allah suka jika hamba-hambaNya mezahirkan ubudiyah dan mengemukakan hajat kepadaNya sehingga Dia menerima dan memenuhi hajatnya. Sebagaimana seorang  itu sentiasa berdoa dan mengharapkan penerimaannya tanpa merasa putus asa, maka doanya adalah dekat untuk dimakbulkan. Siapa yang mengetuk pintu penerimaan, kemunkinan besar pintu tersebut akan dibuka untuknya. Allah s.w.t. berfirman:

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya”. Al-`Araf: 56.

Didalam Kitab Sahih al-Hakim dari Anas baginda bersabda;

“لا تعجزوا عن الدعاء ، فانه لا يهلك مع الدعاء احد” وقال صلى الله عليه وسلم “من لم يسأل الله يغضب عليه”. ابن ماجه.

Ertinya; “Janganlah kamu berputus asa  untuk  berdoa, kerana tidak ada seorang pun yang binasa dengan doanya”.dan sabda Baginda lagi,  ”Siapa yang tidak memohon kepada Allah, maka Dia(Allah) murka kepadanya”.

Antara kata-kata sahabat; “ Apabila seorang hamba yang dicintai Allah berdoa, maka Dia berkata; “Hai Jibril , kamu janganlah tergesa-gesa memenuhi kehendaknya, sesungguhnya Aku suka mendengar suaranya”.

4)  Berpurtus Asa Dan Meninggalkan Doa

Rasul Allah s.a.w. melarang seorang hamba yang  yang berputus asa dan meninggalkan doa kerana doanya lambat dimakbulkan, Bahkan Baginda menjadikan perasaan tersebut sebagai salah satu faktor   doa tidak dimakbulkan, agar hamba tersebut tidak berpustus asa daripada berdoa sekalipun doanya itu memakan masa  yang  lama untuk dimakbulkan.  Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang  sentiasa merayu-rayukan kepada  Allah dengan doa, sabda Nabi s.a.w.

“يستجاب لاحدكم مالم يعجل فيقول : قد دعوت ربي فلم يستجب لي ” متفق عليه.

Ertinya; “Doa kamu akan dimakbulkan selagi kamu tidak berputus asa dengan mengatakan: Aku telah berdoa kepadaTtuhanku, tetapi Dia tidak menerimanya”.

5)  Rezeki Yang Halal

Antara sebab terpenting doa akan dimakbulkan oleh Allah ialah rezeki yang halal dan cara mendapatnya menurut hukum syarak, Antara halangan Allah tidak akan menerim doa sesaorang itu ialah dia tidak memperdulikan tentang rezekinya sama ada halal atau haram. Dalam hal ini Baginda Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

Seorang lelaki menadah kedua tangannya kelangit lalu berkata; Wahai  Tuhan, wahai  Tuhan, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakainnya juga dari bahan yang haram, dia diberi makan dari  makanan yang haram, bagaimankah  doanya akan dimakbulkan”.  Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sabda Baginda; “

“يا سعد ، أطب مطعمك تكن مستجاب الدعوة”.

Ertinya; “Wahai  Saad, makanlah yang baik-baik, nescaya doamu dimakbulkan”.

Adab-Adab Berdoa;

Antara adab berdoa ialah memilih masa yang afdzal, didahlu dengan wuduk dan sembahyang,  bertaubat kepada Allah, mengadap Kiblat dan mengangkat kedua tangannya. Memulakan doa dengan pujian bagi Allah dan syukur kepadaNya serta  berselawat  keatas  Nabi s.a.w., berselawat dipertengahan doa dan diakhirknya  kemudian  diakhirri dengan doa  “Amin”. Tidak mengkhususkan doa untuk dirinya sahaja malah hendaklah berdoa untuk orang  ramai, mempunyai sangkaan yang baik terhadap Allah dan mengharapkan doanya dimakbulkan, mengaku atas dosa-dosa yang dilakukan dan berdoa dengan suara yang rendah.

 

Bacaan bacaaan;

Dr Mustafffa al-Bugha, Muhyiddin Misto,  al-Wafi, Dar Ibnu Kathir, 1997M, hal. 360.

Mohd Asri Hj Hashim, Syahruzzaman Bistamin, Kharuddin Ghazali, alWafi (terjemahan) , Pustaka Salam, 1998M,Hal. 537.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s