Bila Ditimpa Musibah Jangan Bercita-cita Untuk Mati

مسجد الشاكرين

Oran Mata Ayer Perlis

Kuliah Magrib Pada 2 Feb 2014 

Oleh

                     Ustaz Yaali bin Dahaman Imam 1 Masjid al-Syakirin

Pegajian Hadith;

وعن أبي هريرة رضى الله عنه : ” من يرد الله به خيرا يصب منه”. رواه البخاري

وعن أنس رضي الله عنه : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ” لايتمنين أحدكم الموت لضر أصابه ، فان كان لا بد فاعلا فليقل : أللهم أحيني ما كانت الحياة خيرا لي وتوفني اذا كانت الوفاة خيرا لي” متفق عليه.

Maknanya:

Dari Abu Hurairah r.a. katanya; “ Rasul Allah s.a.w. bersabda;  “‘ Siapa yang dikehendaki Allah supaya jadi baik maka Allah akan menguji dengan musibah keatasnya.” Riwayat Bukhari.

Dari Anas r.a. katanya; “Rasul  Allah s.a.w. bersabda; “ Jangan sesaorang dari kamu bercita-cita untuk mati kerana suatu kesusahan yang menimpanya, tetapi jika terpaksa ia berbuat demikian maka hendaklah berdo`a; “Ya Allah panjangkan umurku jika dengan panjangnya umurku akan mendatangkan kebaikan   dan matilah aku jika dengan kematian itu  suatu kebaikan untukku”. Muttafaqun `alaih.

Hurain hadith:

Pengarang kitab ini memberitahu apa yang disebut oleh Abu Hurairah dan Anas  tentang pahala  bagi mereka yang sabar dan mengharap ganjaran  dari Allah ketika ditimpa   musibah, oleh itu setiap manusia wajib sabar dan menanggung sebarang musibah.

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyatakan tentang  sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud; “Siapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan dia akan diuji dengan musibah”. Dengan syarat  ia  sabar atas ujian tersebut. Jika  tidak sabar Allah akan kenakan bala yang lebih besar dan tidak ada kebaikan untuknya.

Orang bukan Islam   bila  ditimpa dengan ujian oleh Allah,  tetapi mereka masih kekal dalam kekufurannya hingga mati, dengan jelas bahawa Allah tidak ingin memberi kebaikan kepada mereka.

Bagi orang yang sabar setelah mendapat ujian Allah akan mendapat kebaikan iaitu   mereka akan dibersihkan dari dosa dan  Allah   akan maafkan kesalahan mereka didunia, ini adalah suatu kebaikan yang  diberi Allah kepada mereka, musibah yang menimpa manusia semasa hidup didunia  akan hilang dari masa kesemasa  sedangkan  azab Allah diakhirat  akan berkekalan.

Menurut  hadith  kedua yang diriwayatkan oleh Anas r.a., Nabi s.a.w. telah melarang agar siapa yang ditimpa kesusahan dan kemudaratan tidak bercita-cita untuk mati, biasanya seorang manusia yang ditimpa dengan kemudaratan rasa lemah untuk  memikulnya,  maka dengan sebab itu mereka akan meminta supaya diakhirkan hayat dengan kematian. Sepertimana kata mereka; “Ya Allah matilah aku, “  kadang-kadang  mereka menyebut dengan lidah dan kadang-kadang dalam hatinya, namun begitu Nabi s.a.w. melarang berbuat demikian, boleh jadi disebalik musibah  itu mendatangkan kebaikan.

Sebaik-baiknya apabila ditimpa dengan kesusahan dan kemudaratan  terus  berdo`a;  “Ya Allah bantulah aku supaya bersabar dengannya”, agar dengan itu Allah membantunya supaya bersabar dan mendapat kebaikan disebalik kesabaran tersebut.

Bagi sesiapa yang bercita untuk mati, sebenarnya dia tidak tahu boleh jadi dengan kematian itu akan mendatangkan keburukan baginya dengan tidak mendapat kerehatan selepas mati, kerana bukanlah setiap kematian itu   mendatangkan  kerihatan samada dalam kubur atau dihari akhirat kelak. Mungkin selepas kematian itu dia dizab dalam kubur,  sebaliknya jika dilanjutkan usianya dia sempat bertaubat dan kembali mengerjakan amal saleh menurut  kehendak Islam,  ini adalah sesuatu yang baik baginya.

Yang  penting  janganlah bercita-cita untuk mati bila ditimpa dengan kemudaratan, inilah yang ditegah oleh Nabi sa.w.,  lebih-lebih lagi  dilarang keras untuk membunuh diri.  Terdapat sebahagian orang yang kurang cerdik apabila ditimpa dengan kemudaratan akan membunuh diri dengan berbagai cara, sebenarnya mereka menempah azab yang lebih dahsyat, kerana siapa yang membunuh diri didunia ini akan diazab oleh Allah diakhirat kelak dalam neraka Jahannam sebagaimana cara mereka membunuh diri didunia ini dan kekal didalamnya.

Jika sesaorang itu membunuh diri dengan pisau atau  sesuatu yang  tajam,  pada hari kiamat kelak dia dimasukkan kedalam neraka Jahannam akan menikam dirinya dengan senjata tersebut dan kekal didalamnya, jika seorang itu membunuh diri  dengan meminum racun maka dia akan berbuat demikin dalam neraka jahannam kelak, demkian  juga siapa yang membunuh diri dengan terjun dari tempat yang tinggi dia akan terjun berkali-kali sebagai siksaan keatasnya dalam neraka nanti.

Apabila sesaorang diuji dengan musibah yang berat sehingga tidak sanggup memikul dan melepasi  had kesabaranya, Baginda menyarankan agar berdo`a;

اللهم أحيني ما كانت الحياة خير لي وتوفني اذا علمت الوفاة خيرا لي.

“Ya Allah, panjangkan umurku jika kehidupanku memberi  kebaikan dan matikan aku jika dengan pengetahuanmu  memberi  kebaikan kepadaku”.

Ini adalah cara yang selamat antara hubungannya dengan Allah Ta`ala, kerana bercita-cita untuk mati itu menandakan  putus asa  dalam hidupnya dan tidak sabar    menerima ketentuan Allah, dengan do`a tersebut dia telah menyerahkan urusan hidupnya kepada Allah kerana manusia tidak tahu soal  ghaib hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Sekian wassalam.

Bahan bacaan;

Sheikh Muhammad Saleh al-`Uthaimin, Syarah Riyadz al-Salihin, juz 1, Dar al-Basirah, Mesir, Hal. 140.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s