Hijrah Nabi S.A.W Ke Madinah

Hijrah Nabi S.A.W Ke Madinah


Selepas para sahabat berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w masih tetap berada di Mekah, menunggu keizinian Allah untuk turut sama berhijrah. Sahabat yang belum berhijrah menurut Ibnu Hisham[i] bersumber dari Ibnu Ishaq[ii] hanya Abu Bakar r.a dan keluarganya, Ali r.a dan orang-orang yang di tahan dan diseksa.

Mengenai Hijrah Nabi s.a.w Imam Bukhari[iii] melaporkan,  Dari Aisyah r.a katanya[iv]:

“Sungguh sedikit waktu bagi Nabi s.a.w pada hari-hari itu, namun beliau memerlukan datang ke rumah Abu Bakar pagi atau petang. Maka ketika telah diizinkan bagi beliau untuk pergi (hijrah) ke Madinsh, kami tidak pernah terkejut melainkan ketika beliau datang ke rumah kami waktu zuhur, lalu kedatangan beliau itu  diberitahu kepada Abu Bakar.

Kata Abu Bakar, “ Nabi s.a.w. tidak akan datang saat ini melainkan  ada urusan yang sangat penting.”

Ketika Nabi s.a.w masuk ke tempat Abu Bakar, beliau bersabda kepadanya, “Suruh keluarlah orang yang ada di dekatmu”

Kata Abu Bakar, “Ya Rasulullah , hanya ada dua orang anakku, Aisyah dan Asma’”

Sabda Nabi s.a.w , “ Tahukah engkau bahawa sesungguhnya aku telah diberi izin untuk keluar (hijrah)?

Kata Abu Bakar, “Anda perlu teman , ya Rasulullah!”

Sabda beliau, “ Ya, kawan”

Kata Abu Bakar, Ya Rasulullah, aku punya dua ekor unta, yang sengaja ku sediakan untuk keluar hijrah, ambillah seekor untuk Anda.”

Sabda Nabi, “ Ku ambil seekor dengan harganya.”

Ibnu Hisham didalam Sirah Nabawiyah[v] bersumber dari Ibnu Ishak juga ada menceritakan seperti hadis Bukhari seperti di atas dan menambah bahawa Rasulullah keluar dari rumahnya pada waktu malam, melalui para pemuda Quraisy yang mengepung rumahnya yang tertidur, lalu  Baginda s.a.w menaburkan tanah ke kepala mereka. Apabila hari siang baharu mereka sedar Rasulullah telah pergi.

Tidak pula diceritakan selepas Baginda s.aw. keluar dari rumanya, baginda menuju ke mana, adakah terus ke rumah Abu Bakar r.a  atau pun tidak. Bagaimanapun Baginda tiba dirumah Abu Bakar r.a pada waktu tengah hari, waktu kebanyakan masyarakat Arab berehat atau tidur siang. Sesungguhnya Allah dan Rasulnya yang tahu betapa hebat halangan Quraisy terhadap Muhammad s.a.w. sehingga Baginda s.a.w perlu berhati-hati dalam mengatur pergerakannya.

Dr. Ali Muhamad As-Salabi dalam bukunya Biografi Rasulullah s.a.w[vi] menyambung cerita daripada Aisyah r.a[vii]:

Aisyah meneruskan ceritanya, “Kami pun menyediakan persiapan secepat mungkin, dan kami menyiapkan bekalan untuk mereka yang dimasukkan ke dalam uncang, lalu Asma’ binti Abu Bakar mengoyak kainnya untuk mengikat mulut uncang itu. Akhirnya dia digelar dengan “Dzat an-nitaqain,” (pemilik dua tali pinggang). Kemudian menyusuli Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar di Gua Tsur, lalu kedua-duanya bersembunyi di Gua itu selama tiga malam. Abu Bakar telah menyuruh anaknya Abdullah mengintip apakah yang diperkatakan Quraisy tentang mereka berdua di siang hari dan melaporkan segala-galanya kepada beliau di waktu senja. Begitu juga beliau menyuruh orang suruhannya Amir bin Fuhairah untuk membawa kambing ternakannya ke tempat ternakan, dan bila petang dibawa berhampiran ke pintu gua untuk diperah susunya. Rasulullah dan Abu Bakar juga mengupah seorang lelaki daripada Bani Ad-Dil iaitu daripada Bani ‘Abd bin ‘Adiy (sebagai penunjuk jalan) yang telah diberi jaminan untuk menjaga keamanannya oleh keluarga Al-’Ash bin Wail As- Sahami. Dia di atas agama orang-orang kafir Quraisy, lalu kedua- duanya menjamin keamanannya. Мака diserahkan kepadanya untuk memelihara tunggangannya dan berjanji akan bertemu di Gua Tsur selepas tiga malam pada pagi hari ketiga. Kemudian Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar serta Amir bin Fuhairah, hambanya yang setia dan penunjuk jalan bertolak daripada Gua Tsur dan kemudian mereka menuju ke arah pantai.”

Ibnu Hisham menyebut bersumber dari Ibnu Ishaq  Rasulullah s.a.w kelar bersama Abu Bakar r.a dari rumah Abu Bakar melalui pintu rahsia di depan rumah Abu Bakar r.a. Dr. Ali pula menambah mereka keluar melalui pintu kecil  dibahagian atas rumah Abu Bakar[viii] , supaya tidak dapat dikesan oleh Quraisy. Ibnu Hisham berkata mereka menuju ke Gua Tsur dan tiba disana waktu malam. Mereka berada di gua Tsur selama 3 malam. Pada pagi berikutnya mereka berjanji dengan penunjuk jalan, bernama Abdullah bin Ariqat (Uraiqit), untuk membawa 2 ekor unta tunggangan yang disediakan oleh Abu Bakar r.a, untuk mula berhijrah.

Sebelum Baginda Rasulullah meninggalkan Mekah beliau s.a.w berkata[ix]:

“Demi Allah  s.w.t. sesungguhnya kamu sebaik-baik bumi Allah s.w.t.  dan bumi Allah s.w.t yang lebih di kasihi Allah s.w.t. dan sekiranya  aku tidak diusir daripada kamu nescaya aku tidak meninggalkan kamu”


[i] Ibnu Hisham atau Abu Muhammad ‘Abd al-Malik bin Hisham  wafat 213 H

[ii] Ibnu Ishaq atau Muhammad bin Ishaq bin Yasar , wafat  151 H. Beliau adalah tokoh sejarah yang dipertikai riwayatnya, baca di sini http://aburedza.wordpress.com/2009/07/22/455/ Baca juga pelbagai pandangan pada ruangan Komentar. Sebagai tambahan, pandangan Maulana  Muhamad Asri Yusof didalam bukunya Ibnu Ishak, mengenai  Perjalanan Hijrah Nabi Berlaku Pada Siang Hari di http://www.scribd.com/doc/27100813/Peristiwa-Hijrah-Nabi-s-a-w-Ke-Madinah-Berlaku-Pada-Siang-Hari

[iii] Imam Bukhari , wafat  256 H

[iv] Terjemahan Hadis Sahih  Bukhari, Penerbit Klang Book Center, cetakan 2005, Mukasurat 227-228

[v] Sirah Nabwiyah, Ibnu Hisham Jilid 2 , Penerbit Dini Sdn. Bhd. Cetakan 2006

[vi] Edesi terjemahan oleh Arifin Ladari, Penerbit Berlian Publication cetakan 2008

[vii] Pada nota kaki Dr. Ali Muhamad As-Salabi menyebut dipetik dari Bukhari, Manaqib al-Ansar Bab Hijrah Nabi(3905)

[viii] Pada nota kaki dicatit bersumber dari Al-Hijrah fi Al-Quran (334)

[ix] Dr. Ali Muhamad As-Salabi memetik daripada At Tirmizi , kitab al-Manaqib bab kelebihan Mekah dan di sahkan oleh al Bani.

Dialog Kaab Bin Malik Dengan Anaknya: Solat Jumaat Pertama Di Madinah

Dialog Kaab Bin Malik Dengan Anaknya: Solat Jumaat Pertama Di Madinah

Dialog Kaab Bin Malik Dengan Anaknya: Solat Jumaat Pertama Di Madinah

Abdul Rahman bin Kaab bin Malik menceritakan :

Aku adalah penuntun ayahku iaitu Kaab bin Malik setelah pengelihatannya hilang (buta) . Bilamana aku keluar bersamanya untuk solat Jumaat, kemudian terdengar suara azan di Madinah  beliau akan berdoa untuk Abu Umamah ( Abu Umamah ialah As’ad Bin Zurarah iaitu sahabat yang menumpangkan di rumahnya Mush’ab bin Umair, utusan Nabi s.a.w ke Madinah selepas Iqrar Aqabah Pertama[1]). Ayahku iaitu Kaab bin Malik sering berbuat  demikian dalam beberapa waktu. Setiapkali beliau mendengar azan untuk solat Jumaat, beliau pasti berdoa untuk Abu Umamah dan memohon keampunan untuknya.

Aku bertanya kepada diriku, “Demi Allah ayahku telah lemah, mengapakah aku tidak bertanyanya mengapa setiap kali mendengar azan untuk solat Jumaat beliau berdoa untuk Abu Umamah?”

Maka pada suatu hari Jumaat , aku keluar bersama ayah dan ketika  ayah mendengar azan Jumaat, beliau lantas berdoa untuk Abu Umamah.

Aku pun bertanya kepadanya:

“Wahai ayahku kenapakah setiap kali mendengar azan Jumaat, engakau berdoa untuk Abu Umamah?”

Ayah berkata:

“Wahai anakku, Abu Umamah As’ad bin Zurarah adalah orang pertama sekali mengadakan solat Jumaat untuk kami di Madinah di Hazm an-Nabit di kawsan tanah berbatu Bani Bayadhah yang bernama Naqi’ al-Khadhamat”.

Aku bertanya lagi:

“Berapakah kalian ketika itu”

Ayah menjawab:

“Empat puluh orang”

Semoga rahmat Allah senantiasa menyertai semua sahabat Rasulullah s.a.w dan semoga Allah memberi mereka  tempat yang layak di sisi-Nya. Amin.


Rujukan:  Sirah Nabawiyah Oleh Ibnu Hisyam


[1] Dr Ali Muhamad As-Salabi dalam bukunya Biografi Rasulullah s.a.w,  bagaimanapun Ibnu Hisham didalam Sirah Nabawiyah menyebut selepas hijrah para sahabat Mushab bin Umair di tempatkan di rumah Saad bin Mu’az bin an Mu’man.

Persediaan Hijrah : Turunnya Perintah Berperang

Persediaan Hijrah : Turunnya Perintah Berperang

Persediaan Hijrah : Turunnya Perintah Berperang

Ibnu Hisham didalam Sirah Nabawiah bersumber daripada Muhammad bin Ishak mengatakan sebelum Iqrar Aqabah Rasulullah s.a.w tidak diizinkan berperang.  Baginda s.a.w hanya diperintahkan berdakwah kepada jalan Allah, bersabar terhadap semua gangguan dan memaafkan orang yang jahil. Ketika itu kaum Quraisy menyeksa pengikut Nabi s.a.w, sehingga ada yang berhijrah ke Habsyah dan ke tempat-tempat lain.

Bersumber dari Urwah bin az Zubair Ibnu Hisham mengatakan ayat pertama turun bagi keizinan berperang di jalan Allah ialah Al Haj  39-41, bermaksud:

39. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

40. Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “tuhan kami ialah Allah”. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); sesungguhnya Allah maha kuat, lagi maha kuasa; –

41. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Kemudian turun pula  Al Baqarah ayat 193 maksudnya;

193. dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah….

Ibnu Ishak berkata ketika Allah mengizinkan berperang dan orang-orang Ansar beriqrar  baerjanji setia dengan Rasulullah s.a.w, beginda pula menyuruh para sahabat berhijrah ke Yathrib bersatu dengan saudara Ansar. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza Jalla telah menjadikan untuk kalian  saudar dan negeri yang akan kalian merasa aman di sana”

Setelah itu para sahabat mula berpindah ke Yathrib, sementara Rasulullah tetap berada di Makah.

Rujukan:

Sirah Nabwiyah – Ibnu Hisham

Persedian Hijrah: Siapa Mus’ab ibn Umair ‎r.a?

Persedian Hijrah: Siapa Mus’ab ibn Umair ‎r.a?


Siapa Mus’ab ibn Umair ‎r.a

Selepas Iqrar Aqabah pertama Rasul  s.a.w melantik Mus’ab ibn Umair r.a sebagai wakil baginda s.a.w kepada penduduk Yathrib untuk mengajar al Quran dan Islam.

Mus’ab ibn Umair r.a merupakan seorang pemuda yang berasal dari golongan bangsawan Makkah dan terhormat. Berwajah kacak dan segak, Mus’ab r.a menjadi tumpuan kaum wanita ketika itu. Ibunya bernama Khunnas binti Malik.

Nama lengkap beliau ialah Mush’ab bin Umair bin Hasyim bin Abdu Manaf bin Abduddaar.

Sebelum memeluk Islam, Mus’ab r.a merupakan golongan cendikiawan Makkah dan sering dijemput ke mesyuarat para pemimpin Makkah yang ketika itu dihadiri oleh Abu Jahal, Abu Sufyan ibn Harb dan para bangsawan yang lain. Selepas memeluk Islam di tangan Arqam ibn Abi Al-Arqam r.a , Mus’ab r.a  kemudiannya bertukar watak menjadi zuhud dan warak.

Antara dugaan beliau adalah mendapat tentangan hebat daripada ibunya sendiri sehinggakan beliau dikurung di dalam rumah dan dijaga oleh pengawal. Bagi mengelakkan seksaan, Mus’ab berhijrah menuju ke Habsyah sebanyak dua kali.

Dr. Ali Muhamad As Salabi dalam kitabnyaBiografi Rasulullah s.a.w menyebut tentang mengapa Rasul s.a.w memilih Mus’ab:

… beliau r.a dari sudut hafalannya ketika turun al Quran memiliki kecerdasan dan ketenangan, kebaikan akhlak dan hikmah dengan kadar yang besar, ditambahkan kekuatan imannya dan semangatnya yang kuat terhadap agama.

Mus’ab r.a  semasa di Yathrib tinggal di rumah As’ad bin Zurah. Mereka giat menjalankan dakwah menyeru kepada Islam. Mus’ab r.a  berdakwah dengan berpegang kepada manhaj al Quran yang di ajar oleh Rasul s.a.w :

Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. – an-Nahl 125

Hasil ushanya beliau berjaya mengislamkan  Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz. Keduanya adalah antara ketua puak di Yathrib, yang membawa pengikut-pengikutnya kepada Islam. Oleh itu dalam beberapa bulan dia mampu menyebarkan Islam di seluruh  Yathrib.

Pada musim haji ke 13 selepas kerasulan, Mus’ab r.a kembali ke Makah memaklumkan perkembangan Islam di Yathrib kepada Muhammad s.a.w.  bahawa Islam telah tersebar ke seluruh kawsan Aus dan Khazraj . Malah mereka juga bersedia untuk membuat Iqrar baru (Iqrar Aqabah ke 2) serta mampu memberi perlindungan kepada Rasul s.a.w.

Mus’ab r.a kemudiannya  terlibat dalam Perang Badar dan Perang Uhud. Dalam Perang Uhud, Mus’ab r.a dipertanggungjawabkan untuk memegang panji Islam. Dalam peperangan tersebut beliau gugur syahid.

Rhamdani Kurniawan Dalam Artikalnya : Strategi Pemasaran Mush’ab Bin Umair  Dalam Mengislamkan Penduduk Madinah  menulis:

Pada perang Uhud, Mush’ab bin Umair merupakan salah satu syuhada yang gugur dalam membela agama Allah SWT. Ketika Rasulullah SAW mendapati Mush’ab bin Umair sebagai salah satu syuhada, beliau membacakan sebuah ayat yang berbunyi:

Di antara orang-orang Mukmin terdapat pahlawan-pahlawan yang telah menepati
janjinya dengan Allah.(Q.S. 33 al-Ahzab: 23)

Kemudian ketika mengetahui bahwa kain kafan yang dipakai untuk menutupi jasad Mush’ab bin Umair tidak mencukupi, sehingga mengharuskan menggunakan kain burdah untuk menutupi bagian tubuh lainnya, beliau bersabda:

Ketika di Mekah dulu, tak seorang pun aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya daripadamu. Tetapi sekarang ini, dengan rambutmu yang kusut masai, hanya dibalut sehelai burdah.

Itulah salah satu bukti kasih sayang Rasululah SAW kepada sahabat yang dikasihinya. Seorang brilian muda yang mampu mencetak ‘laba’ yang sangat besar sehingga dakwah Islam dapat berkembang pesat di Madinah.

Rujukan:

1.Dr. Ali Muhamad As Salabi : Biografi Rasulullah s.a.w

2.Wikipidia

3. http://www.scribd.com/doc/16622658/Sharia-Marketing-Mushab-Bin-Umair

Persediaan Hijrah: Fajar Islam di Yathrib

Persediaan Hijrah: Fajar Islam di Yathrib

Sebelum  Hijrah, Madinah lebih dikenali sebagai Yathrib. Yathrib ketika itu dihuni oleh golongan Aus,Khazraj dan Yahudi. Aus dan Khazraj adalah dua puak Arab penyembah berhala yang selalu bermusuhan. Yahudi pula golongan ahli kitab yang menunggu peluang untuk menguasai Yathrib. Kepercayaan Yahudi mengatakan seorang nabi akan muncul pada masa yang terdekat, juga diketahui oleh kedua-dua puak Arab tersebut.

Pada musim ziarah ke Mekah beberapa orang puak Khazraj berziarah ke Mekah. Kesempatan ini diambil oleh Muhammad s.a.w untuk mengajak kepada Islam. Terus mereka terfikir, inikah Nabi yang di katakana oleh Yahudi Ahli Kitab?  Lalu dua orang daripadanya telah memeluk Islam dan kembali ke Yathrib. Kedua mereka adalah dari Banu Najjar. Keislaman mereka berdua menjadi buah mulut penduduk Yathrib.

Pada musim ziarah berikutnya, duabelas orang pendudk Yathrib bertemu nabi s.a.w. Mereka ini bertemu dengan Nabi di ‘Aqaba. Di tempat inilah mereka menyatakan ikrar atau berjanji kepada Nabi s.a.w  yang kemudian dikenal dengan nama Ikrar ‘Aqaba pertama. Mereka berikrar kepada baginda s.a.w  untuk tidak menyekutukan Tuhan, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak, tidak mengumpat dan memfitnah, baik di depannya atau di belakang. Jangan menolak berbuat kebaikan. Barangsiapa mematuhi semua itu ia mendapat pahala surga, dan kalau ada yang mengecoh, maka soalnya kembali kepada Tuhan. Tuhan berkuasa menyiksa, juga berkuasa mengampuni segala dosa. Mereka kemudian pulang membawa Islam kepada Yathrib.  Kepada mereka Nabi s.a.w mengutus Mushab bin Umair untuk mengajar Al Quran dan Islam. Sejak itu Islam mula berkembang di Yathrib.

Pada tahun 622M sekali lagi rombongan haji dari Yathrib menuju Makah. Rombongan ini terdiri dari tujuhpuluh lima orang, tujuhpuluh tiga lelaki dan dua wanita. Kesempatan ini juga diambil oleh Nabi s.a.w untuk mengajak kepada Islam. Pertemuan itu  diadakan di ‘Aqaba pada tengah malam pada hari-hari Tasyriq. Di sinilah berlakunya Iqrar Aqabah ke dua. Dalam ikrar kedua ini mereka berkata:
“Kami berikrar mendengar dan setia di waktu suka dan duka, di waktu bahagia dan sengsara, kami hanya akan berkata yang benar di mana saja kami berada, dan kami tidak takut kritik siapapun atas jalan Allah ini.”

Kedua-dua  Iqrar Aqabah tersebut telah terjadi secara rahsia daripada pengetahuan kaum musyrik Mekah. Lanjutan dari kedua-dua Iqrar tersebut Islam berkembang pesat di Yathrib. Ini menjadi tapak sokongan kuat kepada perjuangan dakwah Nabi s.a.w. Sementara itu di Makah sendiri tekanan terhadap Nabi s.a.w dan pengikutnya  semakin meningkat.

Lanjutan dari tekanan yang bertambah Nabi s.a.w mengarahkan para sahabat berhijrah ke Yathrib secara rahsia, sementara baginda s.a.w sendiri masih berada di Makah.

Rujukan:

Kisah Para Nabi – Ibn Katsir

Sejarah Hidup Muhammad – Haekal

Hijrah : Bilakah 1 Muharam Tahun 1 Hijri

Baharrudin Bin Zainal [1] menulis :

Setelah kedatangan Islam, ketiadaan asas tahun yang tetap dalam empayar Islam yang berkembang luas  merumitkan urusan pentadbiran dan kerajaan. Oleh itu peristiwa hijrah Rasullah s.a.w telah ditetapkan  sebagai asas tahun dalam takwin Islam yang kemudiannya dikenali sebagai takwim Hijri. Penetapan ini  telah dibuat semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab selepas 17 tahun berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w .

Terdapat perselisihan pendapat di kalangan ahli-ahli falak dan para sejarawan tentang tarikh sebenar 1 Muharam 001 Hijrah. Sebahagian ahli falak yang menggunakan kaedah  hisab hakiki  menyatakan tarikh awal Muharam 001 Hijrah jatuh pada hari Khamis 15 Julai 622 Masihi, kerana ijtimak bulan baru Muharam telah berlaku sebelum terbenam terbenam matahari pada hari Rabu 14 Julai 622M. Walau bagaimanapun terdapat sebahagian  daripada mereka yang menyatakan bahawa awal Muharam  001 Hijrah bermula pada hari Jumaat 16 Julai 622 M berdasarkan peristiwa anak bulan Muharam yang hanya dapat dilihat pada malam Jumaat.

Berdasarkan fakta sains,  takwin dan sejarah , maka lebih pasti bahawa 1 Muharam 001 Hijrah jatuh pada hari Jumaat 16 Julai 622 Masihi.

Pada nota kaki Baharrudin Bin Zainal  mencatitkan bahawa  Kerajaan Negeri Terangganu telah bersetuju menggunakan tarikh  1 Muharam 001 Hijrah pada hari Jumaat berdasarkan  kitab  Ruh al-Maani di mana Ibn Syatir mengatakan bahawa anak bulan dapat dilihat pada malam Jumaat.


[1] Baharrudin Bin Zainal, Unit Falak KUZA dalam bukunya Pengenalan Ilmu Falah , terbitan DBP cetakan 2002

SUMBER : http://aburedza.wordpress.com/2009/12/23/hijrah-bilakah-1-muharam-tahun-1-hijri/