Masalah “Talfiq” dalam amalan fiqh

Assalamualaikum,

Masalah mencampurkan amalan fiqh antara mazhab-mazhab adalah menjadi amalan sebahagian umat Islam atau “talfiq”. Sebagai contoh menyentuh antara lelaki dan perempuan, pada mazhab syafi’e batal, sedangkan pada hanafi tidak batal wuduk. Bagaimana sekiranya kita berpegang kepada pandangan mazhab hanafi dengan tidak batal wuduk apabila bersetuhan dengan isteri?

Sekian, wasalam.

Jawapan:

Secara ringkasnya talfiq ialah melakukan sesuatu perbuatan yang tidak diperakui oleh mana-mana imam mazhab. Seperti seseorang berpegang dengan mazhab Shafie ketika menyapu kepala semasa berwuduk yang hanya mengatakan memadai melakukan sedikit sapuan sahaja, manakala pada perkara yang membatalkan wuduk dia berpegang dengan mazhab Hanafi atau Maliki yang mengatakan tidak batal wuduk dengan sebab bersentuh dengan perempuan, kemudian dia terus menunaikan solat dengan wuduk tersebut. Mazhab Shafie menganggap wuduk tersebut batal kerana berlaku persentuhan dengan perempuan, manakala mazhab Hanafi dan Maliki juga tidak mengiktiraf wuduk tersebut kerana tidak menyapu satu perempat kepala (menurut mazhab Hanafi) atau keseluruhan kepala (menurut mazhab Maliki).
Hukum talfiq secara umumnya adalah dibolehkan, terutamanya apabila ia dilakukan berdasarkan kajian terhadap dalil-dalil yang digunakan oleh setiap mazhab dalam setiap permasalahan. Mungkin dalam sesuatu permasalahan, seseorang berpendapat -selepas kajian yang dilakukan- bahawa pandangan mazhab A lebih kuat berbanding pandangan mazhab B lalu dia beramal dengan pandangan mazhab A. Tetapi dalam masalah yang lain, dia berpendapat -juga selepas melakukan kajian- pandangan mazhab B pula lebih kuat berbanding pandangan mazhab A, lalu dia beramal dengan pandangan mazhab B pula. Maka tidak ada apa-apa masalah dalam perkara ini. Bahkan jika dia seorang yang muqallid sekalipun, dia boleh mengikut mana-mana pandangan mazhab atau mana-mana pandangan orang alim yang dia percaya keilmuan dan ketaqwaannya. Talfiq lebih-lebih lagi dibenarkan jika dalam keadaan terpaksa, atau akan menyebabkan kesulitan jika hanya berpegang dengan pandangan satu-satu mazhab sahaja, kerana Islam adalah agama yang mudah dan senang.
Namun bertalfiq ini bukanlah dibolehkan secara mutlak begitu sahaja, kerana para ulama telah meletakkan beberapa syarat. Ada di antara talfiq tidak boleh diterima kerana dirinya sendiri (lizatihi) seperti talfiq yang membawa kepada menghalalkan sesuatu yang haram, seperti arak, zina dan seumpamanya. Ada di antara talfiq tidak boleh diterima kerana sesuatu sebab yang lain, yang terbahagi kepada tiga bahagian:
Pertama: Memilih rukhsah dengan sengaja. Iaitu seseorang mengambil hukum yang paling ringan daripada setiap mazhab tanpa keperluan dan keuzuran. Ini adalah dilarang sebagai langkah menutup pintu yang boleh membawa kepada larangan (سد الذرائع) iaitu helah untuk melepaskan diri daripada sebarang taklif syarak.
Kedua: Talfiq yang menyebabkan terbatalnya hukuman yang diputuskan oleh pemerintah, kerana sesuatu yang diputuskan oleh pemerintah hendaklah diterima dan diamalkan, kerana pilihannya menyebabkan perselisihan tidak lagi berlaku.
Ketiga: Talfiq yang menyebabkan seseorang menarik balik apa yang telah diamalkan sebelum ini secara taqlid atau menarik balik sesuatu yang menjadi ijmak bagi perkara yang diikuti secara taqlid sebelum ini.
Contoh keadaan pertama: Disebutkan di dalam kitab al-Fatawa al-Hindiyyah: “Jika seorang faqih berkata kepada isterinya “engkau tertalak selama-lamanya” dan pada ketika itu dia berpendapat lafaz tersebut bermaksud talaq tiga, lalu dia bertindak berdasarkan pendapatnya itu, iaitu isterinya adalah diharamkan kepadanya buat selama-lamanya. Kemudian dia berpendapat bahawa lafaz tersebut hanya bermaksud talak satu sahaja, iaitu talak raj’ie, maka dia tetap mesti berpegang dengan pendapat pertamanya dahulu. Jadi dia tidak boleh mengembalikan semula isterinya hanya berdasarkan kerana pendapatnya sudah berubah.
Contoh keadaan kedua: Jika seseorang bertaqlid kepada mazhab Hanafi ketika berkahwin tanpa wali, maka perkahwinannya adalah sah berdasarkan mazhab Hanafi. Jadi talak yang dijatuhkan selepas itu juga adalah sah. Jika dia menjatuhkan talak tiga selepas itu, kemudian barulah dia mahu bertaqlid kepada mazhab Shafie bagi mengatakan talak itu tidak berlaku kerana perkahwinan itu sendiri tidak sah kerana dilakukan tanpa wali, maka tidak boleh berbuat demikian.
Kesimpulannya, boleh bertalfiq secara umumnya dengan syarat-syarat yang dinyatakan, terutamanya apabila berdasarkan pengkajian dan penyelidikan terhadap dalil-dalil yang digunakan oleh para ulama, atau dengan mengikut pendapat orang alim tertentu yang dipercayai keilmuan dan kesolehannya, dan ketika berada dalam keadaan darurat atau hajat yang jika tidak bertalfiq akan menyebabkan kesulitan dan kesukaran dalam mengamalkan ajaran Islam.
Wallahu a’lam.
Disediakan oleh:
Anwar Fakhri bin Omar
Sekretariat Majlis Ulama ISMA
Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili. 1986. Usul al-Fiqh al-Islami. Damsyik: Dar al-Fikr.
Anda boleh juga membaca hal talfiq di SINI