Siapa Yang Masuk Syurga Tanpa Hisab?

Berikut ini sedikit catitan ringkas  kuliah Subuh pagi tadi oleh Ustaz Ya Ali Dahaman Imam Masjid As Syakirin. Ustaz mengupas 2 hadis yang dipetik dari Muktasar Tazkirah al Qurtubi mmengenai orang-orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Hadis  pertama adalah hadis riwayat Imam Muslim, kitab Imam hadis no 128:

Rasullulah bersabda, “ Ada tujuh puluh ribu dari umatku yang akan masuk syurga tanpa hisab”. Lalu orang-orang  pun bertanya:

Siapakah mereka wahai Rasullullah?

Rasulullah s.a. w pun menjawab:  “ Mereka adalah orang yang tidak mencuri dengar, tidak meramalkan nasib buruk, tidak mempunyai dendam dan bertawakal kepada Tuhan mereka”

Ustaz menghuraikan tidak mencuri dengar maksudnya tidak belajar mengenai ugama lain. Tidak meramalkan nasib buruk maksudnya menilik nasib. Tidak mempunyai dendam maksudnya melupakan dan memaafkan kesalahan orang lain. Bertawakal pula bermaksud berusaha dahulu kemudian diikuti doa dan menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

Hadis yang kedua di riwayat oleh Tirmizi  kitab Sifat Hari Kiamat  no hadis 1437 dan Ibnu Majah no hadis 4286 :

“Aku pernah mendengar Rasulullah s.aa.w bersabda: Tuhanku telah menjanjikan kepada ku bahawa akan masuk syurga tujuh puluh ribu orang dari umatku tanpa hisab dan setiap setiap seribu orang dari mereka akan menyebakan tujuh puluh ribu lainnya tidak di azab dan mendapat tiga kurnia Allah ‘Azza wa Jalla.”

[Setelah mendengar hadis tersebut saya membuat pengiraan berikut:

=(70,000 bahagi 10,000) X 70,000 = 7 X 70,000 = 490,000 orang  akan masuk syurga taanpa hisab]

Menghurai dua hadis di atas Ustaz Ya Ali membawa kata-kata Ibnu Mas’ud bahawa sesiapa yang mengali perigi di padang pasir kerana imam dan mengharapkan balasan dari Allah s.w.t. maka ia akan masuk syurga tanpa hisab.

Contoh kedua ialah kata-kata Ali bin al Hussain r.a [ Saya memahaminya sebagai cicit kepada Nabi s.a.w ia itu Imam ke 4 bagi orang Syiah] , ia bercerita:

Pada hari kiamat akan di serukan : “Yang manakah di antara kamu ahl fadhl ( orang yang mempunyai keutamaan), bangkitlah.”

Maka bangkitlah  tetapi hanya sedikit sahaja, lalu di seru “ Pergilah ke syurga” Mereka pun pergi sehingga bertemu pula dengan  Malaikat. Malaikat bertanya,” kamu hendak kemana?”. Lalu mereka menjawab,”Kami hendak ke syurga.”  Malaikat bertanya lagi ,” Sebelum kamu di hisab?”  Mereka pun menjawab, “Benar” . Malaikat bertanya lagi, “ Siapakah kamu ini?”

Mereka menjawab, “ Kami adalah orang-orang yang apabila dating orang bodoh kepada kami, kami berlemah lembut kepadanya. Apabila ada orang yang menyakiti kami, kami bersabar, apabila ada orang menzalimi kami, kami memaafkanya.”

Lalu Malaikat berkata,” Pergilah ke Syurga, itulah balasan paling layak bagi orang-orang yang berbuat soleh.”

Untuk kali kedua Allah menyeru lagi : “ Siapakah diantara kamu termasuk orang-orang yang penyabar?” Maka mereka pun diperintahkan  untuk memasuki syurga. Seperti golongan pertama, mereka ini juga bertemu dengan Malaikat.

Malaikat bertanya, “ Siapakah kamu ini?”

Mereka menjawab, “ Kami adalah  orang-orang  yang bersabar untuk tetap taat kepada Allah s.w.t  dan sabar untuk tetap tidak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.”  Lalu Malaikat berkata, “ Masuklah ke dalam syurga, itulah senikmat-nikmat  balasan bagi orang yang soleh.”

Untuk kali ke tiga Allah menyeru: “ Hendaklah bangkit orang-orang yang berziarah kerana Allah s.w.t.  dengan menghadiri pengajian kerana Allah dan  (menyembelih)berkorban kerana Allah.” Mereka pun diperintah masuk ke syurga. Seperti golongan terdahulu mereka bertemu dan bersoal jawab dengan Malaikat, lalu Malaikat juga berkata,” “ Masuklah ke dalam syurga, itulah senikmat-nikmat  balasan bagi orang yang soleh.”

Lafazkan Ketika Meletak Mayat Di dalam Kubur

Kuliah Subuh, Masjid al-Syakirin, Oran,  Mata Ayer, Perlis, Pada 22 Jan 2012

Oleh

Ustaz Ya ali bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin

 

Bab: Ucapan   diLafazkan  Ketika Meletak Mayat Didalam Kubur

Ibnu Majah dan Termizi meriwayatkan   hadith dengan sanad yang hasan;

“قال رسول الله صلى الله عتيه وسلم : اللحد لنا والشق لأعدائنا”.

Ertinya;Sabda Baginda s.a.w. Liang lahad untuk kita dan syaq (lubang kubur yang dikedua tepinya dibangunkan sesutu, mayat diletakkan ditengah-tengahnya dan diatasnya dibina atap) untuk musuh-musuh kita”.

 

Sufian bin al-Thauri pernah berkata; “Apabila mayat ditanya; Siapakah Tuhanmu? Lalu syaitan akan muncul dalam bentu yang asal sambil berkata kepada  dirinya; “Sesungguhnya akulah Tuhanmu”. Sebab itulah ulamak telah berkata ketika sesaorang yang akan mengukur dan menandakan tempat untuk digalikan kubur   sesaorang hendaklah berdoa sebagaimana Nabi s.a.w. berdoa;

“اللهم أجرها من الشيطان ومن عذاب القبر ، وثبت عند المسألة منطقها وافتح أبواب لروحه”.

Ertinya;Ya Allah, jauhkanlah ia dari syaitan  dan dari azab kubur, tetapkanlah lidahnya ketika ditanya dan bukakanlah pintu untuk rohnya”.

Difahamkan bahawa jika sekiranya tidak ada syaitan disana masakan Rasul Allah s.a.w. berdoa terhadap mayat agar dijauhkan syaitan darinya, oleh itu sama-samalah kita memohon agar Allah menjauhkan kita dan semua mukminin dari godaan syaitan.

 

Bab: Berhenti Seketika Di Kubur Selepas Pengkebumiaannya dan Berdoa Tasbit Untuk Mayat.

Muslim dan selainnya telah meriwayatkan hadith, bahawa Amru bin Ash r.a. ketika menjelang kematiaannya telah berkata; “Apabila kamu mengkebumikan aku, tebarkan debu diatas jasadku, kemudian berkumpullah diatas kuburku selama sembelihan unta(selama persediaan makan masih cukup yakni satu unta yang disembelih) dan bahagi-bahagikan dagingnya, sampai aku memperdengarkan kepada kamu dan kamu melihat bagaimana aku menjawab utusan Tuhanku”.

Dalam riwayat yang lain dengan sanad yang berlainan; “Taburkanlah debu diatas jasadku disebelah kanan yang lebih berhak dari sisiku sebelah kiri”. (bersambung)

 

Bahan Bacaan;

Abdul Wahab al-Sya`rani, Ringkasan Tazkira al-Qurtubi, Jasmin, t 2008M, hal.86.

Himpitan Kubur

Kuliah Subuh, Masjid al-Syakirin, Oran Mata Ayer, Perlis pada 15 jan 2012

Oleh

Ustaz Ya ali bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin

                     Bab: Memilih Kubur Bersama Orang Soleh

Diceritakan seorang wanita dikebumikan  bersebelahan orang yang fasiq, sedangkan wanita itu seorang yang solehah. Satu hari keluarganya  bertemu dengannya dalam mimpi lalu  berkata kepada mereka: “Apakah kamu tidak mendapat tempat untuk mengkebumikan aku selain dari tempat ini (iaitu tempat pembakaran kapur)?, lalu keluarganya menyiasat dan bertanya tentang jirannya didalam kubur, katanya; “Mungkin maksud tempat pembakaran kapur tersebut ialah kubur orang yang fasiq, “Mereka pun mengeluarkan jenazah perempuan itu dari kuburnya dan memindahkan ketempat lain  jauh dari kubur orang yang fasiq itu. Tidak ada ulamak yang melarang mereka berbuat demikian.   Dalam cerita yang lain, seorang Arab telah meninggal dunia, kemudian anaknya bermimpi bertemu dengan ayahnya dan bertanya; “Apakah yang dilakukan oleh Allah Ta`ala kepada ayah?” Jawab ayahnya;  “Baik, kecuali setelah kamu mengkebumikan aku berjiran dengan orang yang fasiq, aku sering mendengar teriakannya ketika diazab oleh Allah Ta`ala”.

Bab: Himpitan Kubur Walaupun Terhadap Orang  Saleh

Hadith riwayat al-Nasaai;

ان النبي صلى الله عليه وسلم قال في سعد بن معاذ : لقد تحرك له العرش وفتحت له أبواب السماء وشهده سبعون الفا من الملأئكة ولقد ضمه ضمة ثم فرج عنه .

Ertinya: Bahawa Nabi s.a.w. bersabda tentang Sa`ad bin Mu`az: “Arasy bergerak kerananya, pintu langit terbuka untuknya, disaksikan tujuh puluh malaikat, meskipun begitu ia telah dihimpit oleh tanah kemudian dikeluarkan kembali”.  Dalam riwayat yang lain dari Aisyah r.a bahawasanya beliau berkata:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: للقبر ضغطة لو نجا منها أحد لنجا منها سعد بن معاذ”.

Ertinya:Telah bersabda Rasul Allah s,a,w, : Kubur itu mempunyai himpitan, maka kalau ada orang yang selamat darinya maka Sa`ad pun akan selamat darinya”.Menururt pendapat ulamak bahawa seorang mayat tidak akan diazab kerana tangisan dan ratapan keluarganya kecuali ia telah mewasiatkanya atau redha terhadapnya. Sebahagian ulamak yang lain pula berkata; Bahawa mayat akan diazab kerana  ratapan dan tangisan keluarganya meskipun mereka tidak diberi wasiat agar tidak menangis dan meratap. Pendapat ini berdasarkan kepada hasith;

“ان الميت ليعذب ببكاء الحي عليه ، اذا قالت النائحة: واعضداه ، وانا صراه ،وأكايسة حبذا الميت وقيل له : أنت عضدها؟ أنت ناصرها؟ أنت كايسها” .

Ertinya; Sesungguhnya seorang mayat akan diazab kerana tangisan orang yang hidup atasnya, ketika orang yang terisak meratap berkata: Siapa yang akan menolongku? Siapa yang akan membantuku? Siapa yang akan melindungiku?. Maka akan dikatakan kepada simayat: Kamulah penolongnya, kamulah pembantunya dan kamulah pelindungnya”.  Imran bin Hisham berkata:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ان الميت ليعذب ببكاء الحى عليه

Ertinya; Telah bersabda Rasul Allah s.a.w.Seorang mayat akan diazab kerana tangisan orang yang hidup atasnya”.   Ada orang yang berkata: “Ada orang yang mati di Khurasan, lalu ditangisi disini, bagaimana ia boleh diazab? Lalu Imram berkata kepadanya: “Rasul Allah s.a.w. berkata benar dan engkau berdusta”.

Bahan Bacaan; Abdul Wahab al-Sya`rani, Mukhtasar Tazkirah al-Qurtubi, terjemahan, Jasmin, t. 2008M, hal. 85

Cara Berlaku Kematian dan Perbedaan Sesama Manusia

Kuliah Subuh Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis pad 20 Nov 2011

Oleh

Ustaz Yaali bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin

Bab:  Cara Berlaku Kematian dan Perbedaan  Sesama  Manusia

Allah Ta`ala telah menyatakan dalam kitab al-Quran secara ringkas dan terperinci, Firman Allah:

32. (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”. Al Nahl:32.

Dalam Surah al-Sajdah ayat 11 Firman Allah:

11. Katakanlah (Wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”. Al-Sajdah: 11.

Dalam surah al-An`am ayat 61 firman Allah;

61. dan Dia lah Yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya). Al-An`am:61.

Dalam surah al-Nahl ayat 28 Firman Allah:

28. (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya).” lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): “Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan”. (malaikat menjawab): “Bahkan (kamu ada melakukannya); Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan”. Al-Nahl:28.

Ayat-ayat di atas dikatakan ayat mujmal (ringkas) bererti ianya secara ringkas, ayat-ayat ini akan  dijelaskan secara terperinci oleh Rasul Allah s.a.w.

Dan ada ayat-ayat lain yang dinyatakan oleh Allah Ta`ala secara khusus, antaranya Frman Allah:

50. dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (Wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka Yang membakar”. Al-Anfal:50.

Dan Firman Allah lagi dalam surat Muhammad ayat 27,;

27. (Kalaulah mereka terlepas sekarang dari bencana kejahatan mereka) maka bagaimanakah (Mereka dapat menolak azab seksa) apabila malaikat mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan punggung mereka.  -Muhammad:27.

Ayat-ayat ini menceritakan bagaimana orang kafir ketika kematian mereka dalam peperangan badar.  mereka dipukul depan dan belakang,  demikian juga keadaannya orang-orang kafir pada hari ini ketika mereka diambil nyawa  dipukul depan dan belakang, mereka mati dengan penuh kehinaan.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud;

Telah berkata Ibnu Abas; Ketika orang Islam berada dalam keadaan terdesak dihadapan orang Musyrikin dalam peperangan badar, iba-tiba mereka mendengar bunyi pukulan sesuatu dan juga mereka mendengar suara jeritan  kuda, lalu mereka diminta supaya cepat bergerak, ketika itu mereka ternampak orang musyrikin yang jatuh terlentang sedangkan hidung mereka dijerat dengan tali, muka pecah dengan sebab pukulan tersebut, banyak antara  mereka yang terjatuh, seorang ansar telah menceritakan kepada Rasul Allah s.a.w. berita tersebut lalu Baginda menjawab; “Memang benar katamu, itu bantuan Allah dari langit kedua, yang membunuh sebanyak tujuh puluh orang dan menawan sebanyak tujuh puluh orang”.

Pasal

Jika diperkatakan; bagaimakah dapat dipahami ayat-ayat dengan makna yang sama, dan bagaimana caranya malikil maut dapat mengambil roh-roh yang begitu banyak dalam waktu yang sama ditimur dan barat?.

Ketahuilah,  bahawa kadang-kadang kematian itu dinisbahkan kepada malikil maut, kerana dialah yang langsung mengerjakannya, kadang-kadang dinisbahkan kepada kawan-kawanya (pembantu malikil maut), dan kadang-kadang dinisbahkan kepada Allah s.w.t. seperti firman Allah  dalam surah al-Zumar ayat 42,

42. Allah (yang Menguasai segala-galanya), ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: Dalam masa tidurnya; kemudian ia menahan jiwa orang yang ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum Yang berfikir (untuk memahaminya). – Al-Zumar:42.

Dan Firman Allah lagi dalam surah al-Haj ayat 66;

66. dan Dia lah yang menghidupkan kamu, kemudian ia mematikan kamu, kemudian ia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.     -al-Haj:66.

Dan dalan ayat 2 Surah al-Mulk;

2. Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); al-Mulk:2.

Al-Kalbi pernah berkata: Malikil Maut  yang mencabut  roh dari jasad, lalu memberikannya kepada malaikat rahmat apabila roh itu adalah dari kalangan orang yang beriman, atau kepada malaikat azab jika sekiranya roh itu dari kalangan orang kafir.

Dari  khabar yang lain; Semua catatan ajal yang telah dituliskan dimalam Nisfu Sya`ban berada disisi malaikil maut, itulah malam yang diperintahkan segala urusan Allah kepada para malaikat sama ada rezeki, ajal dan lain-ain. Ini adalah pandangan dari Ikrimah dan dan lain-lain.

Yang sebenarnya, Allah telah menentukan segala urusan ini dimalam Ramadzan iaitu dimalam lailatul Qadar, menurut pandangan Qatadah,  hasan Mujahid dan lain-lain berdasarkan firman Allah dalam surah  al-Dukhan ayat  1 hingga ayat 3.

1. Haa, Miim.

2. Demi Al-Quran Kitab Yang menerangkan kebenaran.

3. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana Sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). Al-Dukhan:1-3.

Yang dimaksudkan lailatul Mubarakah iaitu malam Lailatul Qadar. Menurut pandangan Ibnu Abbas; sesungguhnya Allah menentukan segala urusan dimalam Nisfu Sya`ban kemudian menyerahkan kepada petugas-petugasnNya dimalam Lailatul Qadar. Sekian wallahu `Alam.

Bahan bacaan:

al-Qurtubi, al-Tazkirah, Dal-Assalam, cetakan kedua 2008, Kahirah, hal.65.

Ke Mana Perginya Roh Setelah Keluar Dari Badannya.

Kuliah Subuh Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis pada 13 Mov 2011

Oleh

Ustaz Ya`ali Bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin

Tajuk:  Ke Mana Perginya Roh Setelah Keluar Dari Badannya.

Diriwayatkan oleh al-Hafiz Abu Na`im bahawa apabila malaikat mengambil roh sesaorang dia akan membawa hingga bertemu dengan Allah Azzawajalla. Jika roh itu termasuk daripada orang yang baik dan beriman ia mendapat kebahgiaan,  Allah akan berfirman kepada Malaikat. “Bawalah dia dan perlihatkan   tempatnya di dalam syurga”.  Malaikat akan membawanya ke dalam syurga. Aapabila jasadnya dimandi dan dikapankan akan diletak bersama dengan jasadnya,   ketika  jasadnya diusung  ia boleh mendengar suara  orang yang berbicara tentang dirinya sama ada baik atau buruk.

Apabila  disembahyang   dan dikuburkan, pada masa itu roh akan dikembalikan ke jasadnya untuk disoalkan oleh dua orang malaikat yang ditugaskan untuk menyoal orang mati, dan seterusnya akan memberitahu tempatnya selepas itu berdasarkan baik buruk amalannya.

 

Amru bin Dinar pernah berkata; “Setiap roh orang yang mati berada ditangan malaikat, ia boleh melihat jasadnya ketika dimandikan, dikapankan, bagaimana jasadnya diusung  dan dimasukkan ke dalam kubur. Dalam riwayat lain ditambah;  dan dikatakan kepadanya  Ketika berada diatas katilnya, “dengarlah percakapan orang-orang yang berbicara tentang dirimu sama ada baik atau buruk”.

Dalam satu riwayat lain dikatakan;  Seorang bermimpi bertemu dengan  Muhammad bin Nabatah setelah dia meningal dunia dan bertanya; “Apakah yang dilakukan oleh Allah keatas kamu”, ia menjawab ; “Allah menempatkan aku didepanNya dan bertanya kepadaku;  “Kamu adalah orang yang membenarkan kata-kata mu semasa hidup didunia,  sehingga orang memujimu”, lalu aku  berkata; “maha suci Engkau Ya Allah dan seterusnya aku    mengajar mereka    tentang sifat-sifat Mu Yang Mulia dan mengajar mereka tentang ilmu tauhid”.

 

Lalu Allah berkata kepadaku; “Katakanlah seperti yang kamu katakan semasa di dunia”,  aku pun berkata; “Dia,  Allah s.w.t. akan menghancurkan manusia  sebagaimanaDia menciptakannya, Dia  akan  menjadikan manusia tidak bercakap  sebagaiman Dia membuat manusia   bercakap, Dia menciptakan manusia sepertimana sebelum ini manusia tidak ada, Dia akan mengumpulkan manusia sebagaimana Dia memisahkannya”, lalu Allah s.w.t. berkata; “Kamu benar, pergilah! Aku telah mengampunimu”.

 

Begitu juga dengan kata Mansur bin Imar, seorang    bermimpi bertemu dengannya setelah meninggal dunia lalu dia pun bertanya; “Apakah yang Allah lakukan kepadamu?”, ia menjawab: “Allah s.w.t. telah menempatkan aku didepanNya, lalu berkata; “ Dengan apa yang kamu datang  kepadaKu wahai Mansur?”, aku pun menjawab: “Dengan tigapuluh enam hujjah (alasan). Jawab Allah; “Aku tidak terima walau pun satu hujjah”. Kemudian Allah bertanya lagi; “Dengan apa yang kamu datang bertemu dengan Aku wahai Mansur?”. Dengan tiga ratus enam puluh kali khatam al-Quran al-Karim”.  Allah berkata lagi;  “Aku tidak menerima satu pun dari khatammu itu”,  lalu Dia bertanya  lagi; “Dengan apa kamu datang  bertemuKu  wahai Mansur?”, aku menjawab, “   “Aku datang  kepadaMu dengan Mu Ya Allah”.  Maka Allah s.w.t. pun menjawab” Mahasuci Allah, sekarang baru kau  datang disisiKu,   pergilah,  Aku telah mengampunimu”.  Sekian wallah `alam.

 

Bahan bacaan, Abd Wahab al-Sya`rani, Ringkasan Tazkiran al-Qurtubi, Jasmin, cetakan pertama 2008,  Hal. 50

Setiap Amal Yang Berfaedah Ialah Amalan Akhir Hidupnya

Kuliah Subuh Masid al-Syakirin Oran  Mata Ayer Perlis pada 18 Sept 2011

Oleh

Ustaz Ya ali bin Dahaman Imam Masjid al-syakirin

 

Bab

Akhir Hidup Yang Buruk dan Setiap Amal Yang Berfaedah   Ialah Amalan Akhir Hidupnya

 

Diriwayatkan oleh Imam Muslim Dari Abu Hurairah r.a. sabda Nabi s.a.w.

 

“ان الرجل ليعمل الزمان الطويل بعمل أهل الجنة ثم يختم له عمله بعمل اهل النار ، وان الرجل ليعمل الزملن الطويل بعمل اهل النار ثم يختم له بعمل اهل الجنة “.

Etinya: “Sesungguhnya ada orang yang beramal dengan amalan ahli syurga pada waktu yang lama, kemudian ia megakhiri amalnya itu dengan amal ahli neraka, dan sesungguhnya ada orang  yang beramal amal ahli neraka pada waktu yang lama, kemudan ia menutup amalnya itu dengan amal ahli syurga”.

 

Dalam kitab Saheh Bukhari ada hadith lain yang berbunyi:

 

“ان العبد ليعمل عمل اهل النار وانه من أهل الجنة ، ويعمل عمل اهل الجنة وانه من اهل النار وان الأعمال بالخواتم” .

Ertinya; “Sesungguhnya ada hamba yang mengerjakan amal ahli neraka tetapi ternyata ia salah seorang dari ahli syurga, dan ada yang mengerjakan amal ahli syurga tetapi ternyata ia termasuk dari ahli neraka. Kerana sesungguhnya seluruh amal itu bergantung pada akhir hidupnya”.

 

Ulamak berpendapat bahawasanya su`ul khatimah (akhir hidup yang buruk) terjadi pada orang yang sering dan terus menerus mengerjakan maksiat secara sembunyi, dan ia sering mengerjakan dosa-dosa besar dan cuba menipu Allah s.w.t. Adapun orang yang istiqamah secara zahir dan terus menerus mengerjakan maksiat secara batin (tersembunyi), belum ada terdengar cerita bahawa orang yang seperti itu mengakhiri hidupnya dengan buruk. Segala puji hanya bagi Allah s.w.t atas kelapagan ini.

 

Sebaliknya orang yang kebanyakan waktunya digunakan untuk mencintai dunia dan  melakukannya tanpa   niat untuk bertaubat, lalu   datang ajalnya sebelum bertaubat, hingga syaitan boleh menggodanya pada saat itu dan langsung membawanya  kejalan yang sesat pada ketika itu juga, kita berlindung dengan Allah s.w.t. dari keadaan demikian, maka pada saat ia meninggal dunia mungkin  kelihatan mudah dimata orang ramai .Selain dari itu ada juga hamba Allah yang hidupnya berada dijalan yang lurus,  akan tetapi ketika menjelang ajalnya ia berubah dan keluar dari jalan yang lurus tersebut, yang kemudian hal itulah yang menyebabkan dia mengakhiri hidupnya dalam keadaan yang buruk, dan mendapat celaan yang hina seperti yang dialami oleh iblis. Bagaimana yang tertulis dan diceritakan bahawa di peringkat iblis menyembah Allah s.w.t. bersama-sama dengan para malaikat selama lapan puluh ribu tahun lamanya kemudan dia durhaka kepada Allah..

 

Ini pernah berlaku kapada Lu`am bin Ba`ur yang telah diperlihatkan kepadanya ayat-ayat kebesaran Allah, tetapi kemudiannya ia menjauhkan dari hidayat Allah dan menukar hidupnya mengikut hawa nafsunya.

 

Begitu juga dengan Bersisa yang alim dan merupakan ahli ibadat, seperti yang dirakamkan dalam al-Quran Firman Alllah Ta`ala yang berbunyi:

 

“كمثل الشيطان اذ قال للاءنسان اكفر”

Maksudnya; “Seperti syaitan ketika ia erkata kepada manusia “Kufurlah kamu”.

 

Ringkasan cerita Bersisa; Seorang ahli ibadat dan mustajab doa` sehingga dapat mendoa`kan untuk menyembuh penyakit orang gila. Seorang puteri raja   telah mengidap penyakit gila, lalu raja pun menyerahkan anaknya untuk bersama dengan Bersisa untuk diubati, dengan rasokan iblis lalu Bersisa telah melakukan zina dengan perempaun tersebut dengan alasan perempuan itu tidak sedar dan tidak mengetahui, bila berlaku perbuatan tersebut lalu iblis pun meninggalkan, setelah berlaku perbuatan itu lalu terasa takut dan bimbang kalau-kalau diketahui oleh raja,  lalu dibunuh perempuan itu kemudina dikebumikan ditempat kediamannya. Ini semua berlaku atas pandangan iblis, lalu katanya kepada Bersisa jika raja datang untuk mengambilnya katakan kepadanya puterinya telah sembuh dan telah pulang. Apabila rombongan raja datang berilah jawab bahawa puterinya telah sembuh dan telah pulang pasti dia akan percaya. Bersisa telah melakukan setiap pandangan oleh iblis.

 

Kemudian iblis dengan bentuk seorang hamba lalu bertemu dengan raja  dan menceritakan kepadanya; Bersisa telah menodai puteri tuanku oleh takut kalau puteri akan memberitahu kepada raja  maka dia telah membunuh puteri tuan dan meguburkannya berhampiran dengan pondoknya, dia akan memberi alasan bila tuanku bertanya nanti bahawa puteri tuan telah sembuh dan pulang, maka janganlah percaya akan   perkataan itu.

 

Kemudian raja telah mengantar rombongan untuk menemui Bersisa, dan ternyata semuanya benar, lalu Raja memerintahkan supaya Bersisa disalib, semasa Bersisa disalib datang semula Iblis dan berkata kepada Bersisa; “Aku boleh menolongmu jika kamu sujud kepadaku sebagaimana aku menggenakan kecelakaan kepadamu, Bersia akhirnya sujud kepada Iblis dengan syarat sujud menunduk  kepalanya, lepas itu iblis pun pergi tanpa menolongnya dan akhirnya Bersisa mati dalam kekufuran.

 

Dalam cerita yang lain, bahawa ada seorang alim yang  menjadi tukang azan (muazzin) disalah sebuah masjid di Mesir, berdekatan dengan masjid itu ada seorang wanita anak kepada seorang Nasrani (keristian), disuatu hari dalam perjalananya lalu lelaki berkeanaan tertarik dengan rupa paras wanita berkenaan lalu jatuh cinta kepadanya, dan ingin bertemu dengan wanita berkenaan dirumahnya, bila beertemu lalu menyatakan hasratnya untuk  berkahwin dengan wanita tersebut, wanita itu menjawab bahawa ; ayahku tidak membenarkan kita berkahwin melainkan setelah engkau memeluk agama Nasrani,  lelaki itu pun masuk agama Nasani, kemudian lelaki berkenaan masuk kedalam rumah wanita itu  kemudian naik keatas bangunan untuk melihat  pandangan kota. Kemudian dia terjatuh dan meninggal dunia dalam keadaan Nazrani.

Bahan Bacaan;

Ringkasan Tazkirah al-Qurtubi(terjemahan), oleh Syeikh Imam Abdul Wahab al-Sya`rani, Berlian Publications. Sdn. Bhd. Cetakan pertama, 2008 m, hal. 37.

Mengingati mati dan akhirat akan zahid hidup didunia – Bahagian 2

Kuliah Subuh Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis pada 22 Mei 2011

Oleh

Ustaz Ya ali bin Dahaman Imam Masjid Oran

Sambungan (Tajuk Meingingati  Mati Dan Akhirat Menjadi Zahid Hidup di Dunia)

 

Hadith yang menceritakan bahawa bapa dan ibu Nabi s.a.w. dihidupkan oleh Allah Ta`ala dihadapan Baginda dan beriman dengannya bukan sesuatu yang mustahil dan tidak boleh  diterima oleh akal dan syara`, dalam al-Quran pernah diceritakan oleh Allah Ta`ala; suatu ketika Allah hidupkan seorang dari kalangan Bani Israil  untuk  memberitahu  orang yang membunuhnya[i],  Nabi  Isa a.s. telah menghidupkan orang mati setelah baginda berdoa` kepada Allah[ii].  Begitu juga berlaku dizaman Nabi kita Muhammad s.a.w. dimana Allah menghidupkan beberapa orang yang mati.

 

Jika sabit berlakunya peristiwa sebelum ini, maka  tiada alasan untuk menolak tentang imannya mereka berdua setelah dihidupkan oleh Allah Ta`ala, apatah lagi dengan  karamah (kemuliaan) yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda, lebih-lebih lagi peristiwa ini disebut sendiri oleh Baginda s.a.w., peristiwa ini telah berlaku terhadap orang yang mati dalam kekufuran terhadap Allah, menurut khabar dari Nabi s.a.w. “Bahawa Allah Ta`ala pernah menerbit semula matahari setelah terbenam dizaman kerasulannya”.[iii]

 

Kata Abu Ja`afar al-Tahaawi;   Hadith yang menceritakan  bahawa  Allah Ta`ala telah  menerbitkan semula  matahari setelah  ghurub(terbenam) adalah jelas, demikian juga berita dimana Allah menghidupkan kedua ibu bapanya adalah memberi  manfaat untuk mereka berdua beriman  dengan Baginda dan membenarkan kerasulannya,   begitu juga Allah telah menerima keimanan kaum Yunus setelah mereka bertaubat  ketika ditimpa azab sebagaimana yang telah diceritakan oleh Allah Ta`ala dalam al-Quran.

 

Adapun khabar tentang mereka berdua telah menerima azab adalah sebelum  beriman dengan Allah, ini adalah sesuatu yang berlaku dibawah ilmu Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

 

 Bacaan Ketika Mengziarahi Kubur Dan Harus Menangis Diatasnya

Abu Daud meriwayatkan hadith dari Buraidah bin Khusaib katanya; sabda Nabi s.a.w.:

“نهتيكم عن زيارة القبور فزوروها ، فان في زيارتها تذكرة “.

Ertinya;Aku pernah melarang kamu mengziarahi kubur. Sekarang hendaklah kamu mengziarahinya kerana dengan berbuat demikian akan mengingati  mati”.

 

al-Nasaai`meriwayatkan hadith dari Buraidah dari Nabi s.a.w. sabda Baginda;

“من اراد أن يزور قبرا فليزره ، ولا تقولوا هجرا ” .

Ertinya; Siapa yang ingin mengziarahi kubur maka ziarahilah, dan janganlah kamu ber cakap dengan perkataan yang  keji”.

 

Abu Umar menyatakan hadith dari  Ibnu Abas Sabda Nabi s.a.w.;

“ما من رجل يمر بقبر أخيه المؤمن كان يعرفه فسلم عليه ، الا رد عليه السلام”

Ertinya; Siapa yang mengziarahi kubur saudaranya yang beriman yang dia mengenalinya hendaklah memberi salam kerana dia akan menjawab salamnya”.

 

Hadith lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., sabda Nabi s.a.w. ;

“فان لم يعرفه فسلم ، رد عليه السلام “.

Ertinya; Jika   tidak   mengetahui penghuni kubur yang diziarahi hendaklah memberi salam dia akan menjawab salam”.

 

Imam Muslim meriwayatkan hadith dari `Aishah, beliau   bertanya  Nabi s.a.w. dengan katanya; “Wahai Rasul Allah, apa  yang  perlu saya   bacakan  ketika mengziarahi kubur? Jawab Baginda ucaplah “

“السلام على اهل الديار من المؤمنين والمسلمين ، ويرحم الله المستقدمين منا والمستأخرين ، وانا ان شاء الله بكم لاحقون”

Ertinya, Selamat sejahtera keatas penghuni rumah   mukminin dan muslimin(Penghuni kubur),   Allah telah merahmati   orang yang telah mati dahulu dan   yang kemudian,  sesungguhnya kami akan mengikuti kamu nanti”.

 

Dalam hadith lain riwayat Muslim dari hadith Buraidah, menambah hadith yang lalu;

“أسأل  الله لنا ولكم العافية”

Ertinya,Saya mohon untuk kami dan kamu sehat wal `afiat”.

 

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadith dimana Baginda telah melalui suatu kubur dan melihat seorang wanita sedang menangis, lalu baginda  bersabda;

“اتقي الله واصبري”.

Ertinya, Bertaqwalah kepada Allah dan bersabar”.

 

Pasal

Hadith-hadith yang telah dipaparkan diatas mempunyai banyak ilmu bagi kita, iaitu harus mengziarahi kubur bagi lelaki dan wanita dan memberi salam kepada ahli kubur, mayat akan menjawab salam yang telah diucapkan kepada mereka,   menangis diharuskan  ketika berada diatas kubur, walau pun sebelum ini baginda telah melarang  wanita menziarahi kubur dan menangis diatasnya. Nabi   melarang   mereka yang mengziarahi kubur melakukan perkara-perkara yang  keji.  Ada pandangan mengatakan larangan wanita mengziarahi kubur adalah tidak benar, apa yang dinyatakan disini adalah diharuskan,  namun begitu wanita dilarang melakukan sesuatu yang ditegah oleh Islam ketika mengziarahi kubur seperti berpakaian  yang dilarang oleh Islam dan juga percakapan yang  keji. Hukum mengenainya telah diterangkan sebelum ini.  Harus menangis terhadap mayat   sekadar dukacita atas kematiannya atau kasihahinya ketika berada disis Allah, juga diharuskan menagis ketika kematiannya. Tangisan yang dikenali oleh orang arab ialah ratapan  adalah dilarang, sehingga berlaku dikalang mereka yang meraung  memukul-mukul  kedua belah pipinya dan mengoyakkan pakaian, perbuatan yang serupa ini jelas haramnya menurut pandanagan ulamak, inilah yang diberi amaran oleh baginda s.a.w. supaya jangan menangis dan mengoyak-ngoyakkan pakaian.

Adapun tangisan yang tidak disertai dengan ratapan adalah harus diatas kubur atau ketika kematian, ini adalah tangisan rasa kasihan belas yang tidak dapat dielakkan oleh sesaorang insan. Baginda Nabi s.a.w. sendiri pun menangis ketika kematian anak lelakinya Ibrahim bin Muhammad.

Umar pernah berkata; biarlah mereka menangis ketika kematian Abu Salman selagi mereka tidak mengangkat suara dan tidak melumurkan pasir keatas kepala mereka”.

 

Bahan bacaan kitab al-Tazkirah oleh Imam al-Qurubi hal; 21.


[i] Surah al-Baqarah : 72

[ii] Lihat ayat 49 Surah Ali Imran

[iii] Lihat al-Huffaz oleh imam Sayuti 1/442.

 

 

 

 

Mengingati mati dan akhirat akan zahid hidup didunia

Kuliah Subuh Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis pada  8 dan 15 Mei 2011

Oleh Ustaz Yaali bin Dahaman,  Imam Masjid Oran

Sambungan Kuliah (Mengingati mati dan akhirat akan zahid hidup didunia)

Ziarah kubur akan memberi kesan segera dan faedahnya benar-benar dapat menyedarkan bagi hati yang keras dan degil, oleh itu bagi sesiapa yang akan mengziarahi kubur mestilah menjaga adab-adabnya, hadir penuh perasaan dalam hatinya, janganlah sekadar mengelilingi tanah perkuburan semata-mata, kerana perbuatan demikian tidak lebih hanya semacam haiwan yang ditambat diatas kubur, kita minta lindung dengan Allah daripada amalan demikain. Malah yang perlu ada dalam hatinya ialah ziarah kubur dengan niat kerana Allah untuk mengubati hati yang degil atau pun memberi manfaat kepada mayat apa yang dibacanya dari ayat-ayat al-Quran. Elakkan diri dengan berjalan-jalan atas kubur atau duduk diatasnya sebaik sahaja masuk kekawasan tanah perkuburan, tanggalkan kasut sebagaimana tersebut didalam hadith, memberi salam dan rasakan semacan sedang bercakap dengan orang yang hidup dengan   memberi salam;

السلام عليكم دار قوم مؤمنين

Ertinya Selamat sejahtera penghuni rumah orang beriman”.

Apabila menziarahi kubur yang dikenalinya maka hendaklah memberi salam secara khusus;

عليك السلام

Ertinya; “ keatas kamu salam sejahtera”.

Menurut hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Termizi; “Seorang sahabat mengziarahai Nabi s.a.w. lalu memberi salam dengan katanya `alaika al-salam, lalu Nabi s.a.w. menegurnya dengan sabda Baginda;

“لاتقل عليك السلام ، فان عليك السلام تحية الميت “

Ertinya; “Jangan kamu kata `alaika al-salam, kerana kalimah ini adalah salam kepada  mayat”.

Bagi  sesiapa yang mengziarahi kubur hendaklah berdiri sebelah mukanya sepertimana sedang bercakap dengan orang yang hidup, kemudian ingatlah bahawa dia sedang bercakap dengan orang yang berada dalam kubur atau tanah, di mana telah terputus denganya ahli keluarga dan sahabat karib,   munkin sebelun ini dia pernah mengetuai segerombolan tentera, dia pernah mendahului rakan dan keluarga   kedudukannya di dunia, telah banyak menghimpunkan harta dan kekayaan, kemudian telah tiba saat kematian di waktu yang tidak dijangka olehnya, kedahsyatan mati yang belum pernah dilihat dan dirasainya. Oleh itu bagi sesiapa yang mengziarahi kubur hendaklah memikirkan peristiwa-peristiwa yang telah dilalui oleh saudaranya yang telah mengumpul  harta dunia dan cita-cita dalam hidpnya yang amat tinggi. Bagaimana rasanya ketika terputus dari segala cita-citanya, tidak memberi sebarang faedah dari harta yang telah dikumpulnya, ketika mukanya yang cantik  telah dilumuri dengan debu dan tanah kubur, badannya telah berkecai dalam kubur, isteri-isteri telah menjadi janda, anak-anak mereka telah menjadi   yatim dan telah diagihkan kuasa dan harta mereka yang  ditinggalkan.

Oleh itu bagi sesiapa yang mengziarahi kubur hendaklah memikir apa yang telah berlaku kepada saudaranya yang sedang disemadi didalam kubur agar melembutkan hati supaya mengingati Allah   dan mematuhi ajaranNya, semoga   hidupnya   zahid didunia dan banyak beramal untuk persiapan matinya.

Pasal

Dalam bab ini akan dibahaskan beberapa hadith  zahirnya wujud percanggahan antara satu sama lain, antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Ali al-Khatib dalam kitab “al-sabiq wa al-lahiq”, Abu Hafs bin Umar bin Shahen dalam kitab “al-Nasikh wa al-mansukh”, dalam kedua kitab ini menyatakan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh `Aishah r.a. katanya; “Semasa saya bersama baginda Nabi s.a.w menunaikan haji wida`  lalu kami  menerusi al-Hujun  tiba-tiba baginda menangis dengan  keadaan dukacita, lalu saya turut menangis kerana tangisan Baginda, kemudian Baginda mundur kebelakang dan berkata kepada saya; (Wahai Humairak (`Aishah) berdiri dan pegang sesuatu, maka saya pun berdiri bersebelahan dengan unta saya, setelah beberapa saat kemudian Baginda datang kepada saya dengan wajah yang sukacita gembira dan tersenyum,   saya bertanya kepada Baginda;    wahai Rasul Allah, sebelum ini engkau menangis dukacita, lalu  saya juga menangis dengan sebab tangisan mu wahai Rasul Allah, kemudian lepas itu engkau datang  padaku dengan senyuman gembira, apa yang berlaku wahai Rasul Allah? Lalu baginda bersabda;

“مررت بقبرأمي امنة فسألت ربي أن ييحها , فأحياها فأمنت بي – أو قال – وردها الله”.

Ertinya; Aku telah melalui kubur ibuku Aminah maka aku minta agar Allah menghidupkannya, maka Allah menghidupkannya dan dia telah beriman denganku – atau – dan Allah telah menolak”.[1]

Al-Suhaili telah menyatakan dalam kitabnya al-Raudz suatu hadith yang tidak diketahui sanadnya; “Sesungguhnya Allah Ta`ala telah menghidupkan  dihadapan  Nabi bapa  dan ibunya dan   bapa sauduaranya dan mereka beriman kepadanya.[2]

Menurut pandangan pengarang kitab ini (al-Qurtubi), hadith ini tidak ada percanggahan dan segala puji bagi Allah; kerana Allah menghidupkan mereka berdua adalah selepas dilarang memohon ampun kepada mereka berdua, berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh `Aishah r.a.,   peristiwa ini berlaku ketika Baginda mengerjakan haji wida`, manakala ibnu Shahen pula mengatakan hadith ini memansukhkan  hadith yang lalu.

Kata pengarang kitab; ketika menerangkan hadith riwayat Muslim dari Anas, katanya bahawa seorang lelaki telah bertanya Nabi s.a.w. dengan katanya; “Wahai Rasul Allah; dimanakan ayah saya sekarang ini? Jawab baginda; “Finnar” (dalam neraka) setelah beliau berundur lalu Baginda memanggil semula dan menyatakan “ Baahawsa bapaku  dan bapa engkau berada didalam neraka”.

Mengenai hadith yang menceritakan Ibu dan bapa Nabi s.a.w. beriman dengannya adalah hadith maudzu` (rekaan) yang telah ditolak oleh al-Quran dan Ijma` Ulamak, firman Allah Ta`ala;

“ولا الذين يموتون وهم كفار”

Maksudnya;Dan tidak diterima taubat mereka yang mati dalam kufur”. Al-Nisak: 18.

Siapa yang mati dalam keadaan kafir tidak berfaedah lagi imannya selepas dibangunkan nanti, tidak berfaedah sesaorang yang beriman ketika hampir mati tentulah tidak berfaedah imannya ketika dibangunkan kelak, sebagaiman al-Quran menjelaskan;

“ولا تسئل عن أصحاب الجحيم”.

Maksudnya; “ Dan kamu tidak dipertanggungjawab terhadap penghuni neraka jahim. Al-Baqarah: 119.

Pengarang menyatakan, Telah  berkata Abu Al-Khattab Umar bin Dahiyah, ini adalah antara kelebihan dan keistimewaan kepada Nabi s.a.w. dan ini juga adalah pemberian dari Allah dan kemuliaan yang dikurnaikan kepada baginda. Wallah `aalam.

Bahan bacaan; kita al-Tazkirah karangan al-Qurtubi; hal: 19.


[1] Hadith ini adalah maudzu` (rekaan), telah dinukilkan oleh ibnu al-Jauzi dalam kitab al-Maudzu`at(2/12) dan Ajlawi dalam kitab kasyfulkhfa`(1/63) katanya hadith ini adalah dzaif dengan persetujuan seluruh pengahafal hadith, malah ada yang mengatakan hadith ini adalah maudzu`, dan yang sebenarnya hadith ini ialah hadith dzaif, Ibnu Hajar dalam kita Lisan al-Mizan (4/305).

[2] Sanad hadith ini adalah lemah, dikeluarkan oleh Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya (1/163), kataku; hadith yang menceritakan tentang dihidupkan kedua ibu bapa Nabi s.a.w. tidak disebut dalam kitab al-sittah (enam) dan selainnya, dan sanadnya lemah. Dan dikeluarkan oleh al-`ajluni dalam kiabnya Kasyfulkhafa` (1/62)

Mengingati Mati, Kelebihan dan Persiapan Untuknya – Bahagian 2

Kuliah Subuh Di Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis Pada 10 Apr 2011

Oleh

Ustaz Yaali bin Dahaman,  Imam Masjid al-Syakirin

Sambungan kitab al-Tazkirah( Bab Mengingati  Mati Kelebihan Dan Persiapan Untuknya)

Nabi s..w. telah bersabda dengan maksudnya, Memadai dengan megingati mati sebagai nasihat dan memadai dengan mengingati mati untuk memisahkan antara hak dan batil”.

Kemudian shabat banginda telah   bertanya; wahai Rasul Allah, Adakah ada antara kami akan dibangunkan dan ditempatkan bersama dengan orang yang mati shahid?; jawab Baginda; “Ya”; lalu Baginda menyambung;sesiapa yang mengingati mati setiap hari dan malamnya sebanyak dua puluh kali”.

Al-Sudi telah menghuraikan ayat  firman Allah Ta`ala’

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

2. Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);

al-Mulk: 2.

Katanya, orang yang akan dibangunkan bersama para syuhadak ialah orang yang paling banyak mengingati mati ,   melakukan sebaik-baik  persiapan untuknya dan dia amat takut  serta  amat berhati-hati untuknya.

Pasal

Telah berkata ulamak kita berdasarkan  kepada Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud;   “Perbanyakkan ingatan terhadap  perkara   yang boleh menghapuskan kelazatan hidup iaitu mati. Perkataan ini adalah amat ringkas terhimpun padanya seluruh nasihat dan sampai kekemuncaknya, maka siapa yang mengingati mati dengan sebenar-benar ingatan akan terasa berat berhadapan dengan mati kerana dia tahu selepas mati akan berlaku perhitungan Allah, dia tidak lagi akan bercita-cita untuk merebut kemewahan dunia dan setersunya dia hidup zahid didunia (mengambil sekadar keperluan dunia semata-mata) kerana mengharapkan kebahgiaan hidup akhirat, tetapi bagi jiwa yang berkarad dan hati yang lalai memerlukan   nasihat yang lebih lama lagi dengan kata-kata yang berkesan, Ingatlah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud; “Perbanyakkan ingatan kepada perkara yang menghapuskan kelazatan hidup”. Dan juga perbanyakkan ingatan  terhadap  firman Allah Ta`ala;

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ

185. Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya. Ali-Imram: 185.

Ayat ini   boleh memberi kesedaran kepada pendengarnya yang igin mengambil pehatian.

Pasal

Jika jelas terhadap apa yang  diperkatakan diatas, maka ketahuilah bahawa dengan mengingati mati akan meninggalkan perasaan gelisah semasa hidupnya diatas muka bumi yang pana ini, dia akan menumpukan setiap saat hidupnya kearah bekalan kehidupan akhirat yang kekal,  seorang manusia itu tidak akan terlepas hidupnya dalam dua keadaan sempit atau senang, ni`mat atau susah atau mihnah, jika sekiranya manusia itu berada dalam keadaan sempit atau susah, maka dengan mengingai mati akan meringankan beban jiwanya kerana perkara yang sebigini tidak akan berterusan dalam jiwanya, sebenarnya mati itu adalah berat dan susah baginya, sebaliknya kalau  seorang insan berada dalam kesenangan dan penuh ni`mat dengan mengiangti mati pula akan mengawal dirinya daripada terpengaruh dengan kesenangan yang sementara ini, dan juga dia tidak terpengaruh dengan ketenangan hidup didalam dunia yang pana dan sementara ini.

Seluruh umat memberi pandangan yang sama menyatakan bahawa, mati tidak diketahui bilalkah umur sesaorang itu akan berlaku, tidak diketahui masa yang tertentu dan juga tidak diketahui dengan sebab apakah  yang akan belaku kematian, hikmatnya manusia tidak diberitahu ialah, untuk mereka membuat persiapan sebagai persediaan untuk mati.

Yazid al-Raqashi berkata kepada dirinya sendiri; celakalah  engkau wahai Yazid, siapakah  yang akan menunaikan solah untukmu  sesudah engkau mati? Siapakah yang akan berpuasa untukmu setelah kamu mati? Siapakah yang akan memohon keredaan Tuhanmu setelah engkau mati? Kemudian dia berkata kepada orang ramai: Wahai manusia apakah kamu tidak menangis dan meratapi terhadap diri kamu yang masih baki lagi dari sisa hidup ini? Mati mencarimu, kubur bakal rumahmu, tanah sebagi  hamparan tempat tidurmu, ulat menjadi temanmu, kubur tempat duduk sementara menunggu kiamat yang tiada siapa yang tahu  bagaimana keadaanya. Kemudian dia menangis hingga pengsan dan jatuh tersungkur kebumi.

Sekian   والله أعلم

Bahan bacaan Kitab al-Tazkirah, karangan Imam al-Qurtubi, hal: 13.

Mengingati Mati, Kelebihan dan Persiapan Untuknya

Kuliah Subuh Pada  3 April 2011 Di Masjid al-Syakirin Oran Mata Ayer Perlis

Oleh Ustaz Ya ali bin Dahaman Iman Masjid al-Syakirin

Sambungan (Harus Bercita-cita dan Berdo’a Untuk Mati Jika Bimbang Hilang Pegangan Agamanya)

Adapun hadith yang menceritakan   tetang keberatan yang berlaku ketika menerima musibah,  kerana dibimbangkan   terganggu  amalan agamanya, dan dia lemah dan bimbang sekiranya hilang daya upaya dirinya ketika beramal dengan Islam, bukanlah   kebimbingan dengan sakitnya dari sudut pizikal jasadnya dan  seumpamanya,   seperti bimbang akan hilang harta miliknya. Dalam kontek ini Rasul Allah s.a.w. pernah membimbing kita ketika berhadapan dengan musibah mati seperti do’a Baginda:

“اللهم انى أسالك فعل الخيرات ، وترك المنكرات ، وحب المساكبن ، واذا أردت – ويروى أدرت – فى الناس فتنة فاقبضنى اليك غير مفتون”.

 Ertinya: “ Ya Allah, Ya Tuhan ku aku pohon kepadam Mu amalan yang baik,   meninggal yang munkar,   kasih terhadap orang   miskin,   jika sekirannya aku ditakdirkan berlaku fitnah dikalangan manusia ambillah nyawaku  tanpa sebarang ujian yang berat”.

Riwayat Imam Malik.

Saidina Umar r.a pernah berdo’a;   “Ya Allah sesungguhnya telah lemah kekuatanku, amat berat perjalanan hidupku, dan telah berlaku suasana yang buruk dilaklangan rakyatku, ambillah diriku kesisi Mu tanpa menghilangkan kebaikann dan tidak mengurankannya”.  Lepas itu   tidak  sampai  sebulan masanya. Baginda telah wafat. Khabar ini diriwayatkan oleh Imam Malik.

Umar bin Abdul Bar telah menulis dalam kitabnya “al-Tamhid wa-al-Istizkar” hadith dari Zaadan bin Umar, dari al-Kindi, katanya,” Ketika aku duduk bersama ‘Abis al-Ghifari diatas bumbung rumah tiba-tiba dia melihat orang ramai sedang mengurus jenazah yang mati disebabkan oleh ta’un lalu dia berkata; “ Hai ta’un amillah nyawaku, dia berkata sebanyak tiga kali, lalu Alim al-Kindi berkata kapadanya; kenapa kamu kata demikian? Apakah kamu tidak pernah mendengar  Rasul Allah s.a.w. telah bersabda;

“لا يتمنين أحدكم الموت فانه عند ذلك انقطاع عمله ولا يرد فيستعتب”

Ertinya:janganlah seorang daripada kamu bercita-cita untuk mati, maka sesungguhnya ketika itu (mati) terputus amalannya dan tidak ditolak sesuatu daripadanya maka semuga  dia sempat untuk bertaubat”.

 

Ibnu Abas telah berkata; Aku pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda;

“بادروا بالموت ستا: امرة السفهاء ، وكثرة الشرط وبيع الحكم ، واستخفافا بالدم ، وقطيع الرحم ، ونشئا يتخذون القران مزامير ، يقدمون الرجل ليغنيهم بالقران وان كان أقلهم فقها”.

Ertinya; Segeralah   (lebih baik) kamu   mati   sebab enam perkara; ketika pemimpin dari orang yang bodoh, banyak syarat untuk beragama hingga menjual hukum-hakam, senanag berlaku pertumpahan darah, memutuskan silaturahim, al-Quran dibaca  umpama seruling, al-Quran digunakan untuk mencari kekayaan  walaupun mereka kurang kefahaman hukum-hakam”.

Bab Mengingati Mati, Kelebihan dan Persiapan Untuknya

Al-Nisaii meriwayatkan hadith dari Abu Hurairah katanya; Sabda Rasul Allah s.a.w.

 ”اكثروا ذكر هادم اللذات”

Ertinya, “Perbanyakkan ingat  terhadap perkara yang menghilangkan kelazatan hidup(mati)”.

Dalam hadith yang lain diriwayatkan oleh Umar bin Al-Khattab, sabda Nabi s.a.w. yang bererti; “Perbanyakkan ingatan terhadap perkara yang menghilangkan kelazatan hidup (mati)”. Kami bertanya Nabi; wahai Rasul Allah apakah yang dimaksudkan dengan (هادم اللذات) Jawab Baaginda; iaitu mati.

Ibnu Majah telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibnu Umar katanya; “Ketika aku duduk bersama dengan Rasul Allah s.a.w. lalu datang seorang leleki dari kalangan al-ansar memberi salam kepada Nabi s.a.w., dan terus bertanya baginda: Siapakah orang mukmin yang afdzal? Jawab baginda: Orang yang lebih baik akhlaknya”. Lelaki tersebut terus mengemukakan soalan; siapakah orang mukmin yang  sempurna akalnya? Jawab Baginda:

“اكثروا للموت ذكرا وأحسنهم لما بعده استعدادا أولئك الأكياس”

Erinya: Mereka yang paling banyak mengingati mati dan paling baik amalannya untuk persiapan selepas mati, itulah mereka yang paling  sempurna akalnya”.

 Iman al-Termizi telah mengeluarkan hadith riwayat Shidad bin Aus katanya; sabda Nabi s.a.w.

“الكيس من دان نفسه ، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من اتبع نفسه هواها ، وتمنى على الله “.

Ertinya; “Orang yang sempurna akalnya ialah orang yang sentiasa memeriksa dirinya, dan beramal untuk bekal sesudah mati, sedangkan orang yang lemah akalnya ialah orang yang mengikut hawa nafsunya, dan  bercita-cita untuk mendapat  keredaan  Allah tanpa beramal”.

Anas bin Malik meriwayatkan dengan katanya, sabda Nabi s.a.w.

“اكثروا ذكر الموت ، فانه يمحص الذنوب ، ويزهد فى الد نيا”.

Ertinya: Banyakkan ingatan mati, kerana ia boleh menghapuskan dosa dan menjadi zahid (ambil dunia sekadar keperluan) didunia”.

Dalam hadith yang lain Nabi s.a.w.pernah bersabda:

“كفى بالموت واعظا وكفى بالموت مفرقا”.

Ertinya; “Cukup dengan mati menjadi pengajaran dan cukup dengan mati juga menjadi pemisah antara hak dan batil”.

Bahan bacaan Kitab al-Tazkirah, karangan al-Qurtubi, halaman 12.

Larangan Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Ketika Ditimpa Musibah – Bahagian 2

Kuliah Subuh di-Masjid al-Syakirin Oran, Mata Ayer, Perlis pada 27  Mac 2011

Oleh

Ustaz Ya ali bin Dahaman Imam Masjid al-Syakirin

Sambungan ( Larangan Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Ketika Ditimpa Musibah)

 

Diriwayatkan bahawa Sahal bin Abdullah al-Tastari telah berkata;

Janganlah seorang dari kamu bercita-cita untuk mati melainkan tiga sebab; lelaki yang jahil apa yang akan berlaku selepas mati,  seorang lelaki yang lari dariapda qada kadar Allah, dan  lelaki yang  cinta bertemu dengan Allah”.

Dalam riwayat yang lain diberitakan bahawa Malikil Maut telah berjumpa  dengan Nabi Ibrahin a.s (Khalil al-Rahman) untuk mencabut nyawanya, Ibrahim berkata; Adakah engkau pernah melihat seorang  kekasih  mencabut nyawa  kekasihnya? Lalu Malikil Maut   tidak mencabut nyawanya dan terus  bertemu dengan Allah Ta’al dan menceritakan dialog tersebut, lalu Allah  perintahkan supaya pergi semula kepada Nabi Ibrahim dan kemukakan soalan kepadannya; “Adakah kamu pernah melihat seorang  kekasih  benci untuk  bertemu dengan  kekasihnya? Malikilmaut kembali kepada Ibrahim dan menceritakan demikian, lalu Nabi Ibrahim a.s. berkata; kalau begitu ambillah nyawa aku sekarang juga”.

Menurut Abu al-Dardak; bagi seorang yang beriman mati adalah lebih baik baginya, untuk meguatkan hujahnya beliau telah membaca ayat al-Quran firman Allah;

“وما عند الله خير  للأبرار”

Maksudnya; Dan apa disisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang  yang berbakti. Ali-Imran; 198.

Dan firman Allah dalam ayat yang lain;

” ولا يحسبن الذين كفروا أنما نملى لهم خير  لأنفسهم ، انما نملى لهم ليزدادوا اثما”

Maksudnya:Dan janganlah sekali-kali orang kafir menyangka, pemberian tangguh Kami kepada mereka, adalah lebih baik bagi mereka. Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka itu hanya supaya bertambah dosa mereka. Ali –Imran: 178.

Kata Haiyan bin al-Aswad; “Mati adalah jambatan untuk menyambung seorang dengan kekaksihnya”.

Bab 

 

Harus Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Kerana Takut Hilang Agamanya.

Firman Allah Ta’ala menceritakan Nabi Yusuf a.s.  FirmanNya;

“توفنى مسلما والحقنى بالصالحين” يوسف:10

Maksudnya: Wafatkan aku dalam keadaan Islam dan masukkan aku bersama orang yang saleh”.

Dalam surah Maryam Allah berfirman menceritakan rintihannya.  Firman Allah:

“يا ليتنى مت قبل هذا وكنت نسيا منسيا “مريم 23

Maksudnya:Aduhai, Alangkah baiknya aku dimatikan sebelum ini,  dan aku menjadi barang yang tidak bererti dan dilupakan”.

Dari Imam Malik dari Abi Zanad dari A’araj dari Abu Hurairah bahawa Rasul Allah s.a.w. bersabda:

“لا تقوم الساعة حتى يمر الرجل بقبر الرجل  فيقول: يا ليتني مكانه”

Ertinya:Tidak akan berlaku kiamat sehingga seorang lelaki melalui kubur simati lalu berkata: aduhai, alangkah baiknya jika  aku  berada di tempatnya”.

 

Pasal

Dalam hadith-hadith yang lalu sebenarnya tidaklah ada percanggahan maknanya sebagaimana yang diterangkan, mengenai dengan Nabi Yusuf a.s., menurut pendapat Qatadah; tidak seorang pun yang bercita-cita untuk mati, sama ada nabi atau  orang- orang yang beriman melainkan Yusuf ketika sudah sempurna ni’nat yang Allah  kurniakan kepadanya dan telah menghimpunkan semua keluarga disisinya, lalu Baginda ingin bertemu pula dengan Tuhannya  dengan sebab itu dia berkata; Firman Allah;

“رب قد ءاتيتنى من الملك وعلمتنى” يوسف: 101.

Maksudnya: Ya, Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku…”.

 

Selepas itu Baginda  bercita-cita ingin bertemu dengan Tuhannya.

Sebenarnya Nabi Yusuf bukanlah bercita-cita untuk  mati malah baginda bercita-cita supaya mati dalam Islam, maksudnya Ya Allah jika sampai ajalku matilah aku dalam Islam. Ini pandangan yang terpilih menurut   ahli tafsir.

Mengenai dengan Maryam pula, sesungguhnya beliau ingin  diwafatkan  kerana dua perkara:

Pertama: Beliau takut agar dia dituduh dengan berkelakuan buruk dalam pegangan agamanya dan akhirnya memalukan, kesudahannya beliau akan difitnahkan.

Kedua: Agar tidak tersebar dikalangan umatnya  pandangan buruk dan dusta, dengan tuduhan zina, kerana perbuatan ini boleh membinasakan umat.

Dalam al-Quran Allah telah menyatakan tentang tuduhan buruk umat terhadap Ai’shah r.a., firman Allah:

“والذى تولى كبره منهم له عذاب عظيم”  النور :11

Maksudnya:Dan siapa diantara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyibaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Al-Nur.11

Firman Allah lagi;

“وتحسبونه هينا وهو عند الله عظيم” النور: 15

Maksudnya: Dan kamu menganggapnya suatu yang  ringan sahaja. Pada hal dia disisi Allah adalah besar”.

Ulamak berbeza pendapat mengenai dengan status Maryam: Adakah dia termasuk orang yang dipanggil siddiqah (yang  benar) berdasarkan kepada Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 75 bermaksud: “Dan ibunya seorang yang sangat benar..”. Atau adakah seorang nabi berdasarkan firman Allah dalam surah Maryam ayat 17 yang bermaksud: :

Lalu Kami mengutuskan Ruh (Jibril) kami kepadanya”.

Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 42;

“واذ قالت الملائكة يا مريم ان الله اصطفاك” ال عمران :42

Maksudnya:Dan ingatlah ketika Malaikat Jibril berkata; Hai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilih kamu..”.

 

Dari ayat-ayat di atas, maka berlakulah rekaaan dan tuduhan terhadap Maryam yang boleh membawa kepada kebinasaan di kalangan umat, maka dengan itu ulamak tafsir membuat keputusan bahawa bagi maryam bercita-cita untuk mati adalah diharuskan demi keselamatan umat..

Bahan rujukan, Kitab al-Tazkirah, al-Qurtubi, hal. 11.

Larangan Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Kerana Ditimpa Musibah

Kuliah Subuh   Masjid al-Syakirin Oran  Mata Ayer Perlis pada 20 Mac 2011

Oleh

Usytaz Yaali bin Dahaman Iman Masjid al-Syakirin.

Tajuk

Larangan Bercita-Cita Dan Berdo’a Untuk Mati Kerana Ditimpa Musibah

Hadith riwayat Muslim dari Anas katanya, sabda Nabi s.a.w.

“لا يتمنى أحدكم الموت لضر نزل به، فاذا كان لابد متمنيا فليقل: اللهم احينى ما كانت الحياة خيرا لي، وتوفني اذا كانت الوفاة خيرا لي”.  اخرجه البخاري.

Ertinya:

Janganlah seorang dari kamu bercita-cita untuk mati kerana terkena musibah, jika sekiranya tak dapat dielakkan hendaklah berdo’a; “ Ya Allah panjangkan umurku jika dengan hidup itu memberi kebaikan kepadaku, dan  matilah aku jika sekiranya mati itu lebih baik bagiku”. Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari.

Hadith   lain diriwayatkan oleh Muslim Juga sabda Nabi s. a.w..

لا يتمنى أحدكم الموت، ولا يدع به من قبل ان يأتيه : انه اذا مات أحدكم انقطع عمله ، وانه لا يزيد المؤمن عمره الا خيرا” .

Ertinya:

Janganlah seorang dari kamu bercita-cita untuk mati, dan janganlah berdo’a untuknya sebelum sampai masanya, jika mati salah seorang daripada kamu akan putuslah amalannya,  dan sesungguhnya  tidak akan bertambah umur sesaorang itu melainkan yang baik:.

Imam Bukahri pula meriwayatkan sabda Nabi s.a.w.:

لا يتمنين أحدكم الموت: اما محسنا فلعله أن يزداد خيرا ، واما مسيئا فلعله يستعتب”.

Ertinya:

Janganlah seorang daripada kami bercita-cita untuk mati,  jika ia seorang yang baik semuga Allah tambahkan kebaikannya,  jika ia seorang yang jahat semuga Allah beri peluang ia bertaubat:”

Al-Bazzar pula meriwayatkan sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah, katanya; sabda Nabi s.a.w.:

لا تمنوا الموت فان هول المطلع شديد ، وان من السعادة ان يطول عمر العبد حتى يرزقه الله الانابة”.

Ertinya:

Janganlah kamu bercita-cita untuk mati,   sesungguhnya kehebatan mati amat sakit, dan sesungguhnya antara kebahgiaan seorang itu ialah bila dipanjangkan umurnya sehingga diberi Allah peluang ia bertaubat”.

Pasal;

Meunrut pandangan ulamak; mati itu bukanlah semata-mata rosak binasa badannya   dan   tanpa sebarang urusan lain di alam arwah, mati merupakan terputus hubungan roh dengan jasad dan berlaku perpisahan antara keduanya dan seterusnya berubah keadaanya, berpindahan dari satu tempak ketempat yang lain, mati merupakan sebesar-besar musibbah, dengan itu Allah menamakan mati adalah suatu musibah, firman Allah dalam surat al-Maidah ayat 106:

فأصابتكم مصيبة الموت”.

Maksdunya;

“Maka ditimpakan keatas mereka musibat al-maut”

Jelaslah mati adalah suatu musibab yang besar, telah berkata alim ulamak: antara musibat juga ialah lalai terhadap mati, menjauhkan diri daripada mengingatinya, kurang memikir tentang mati, meninggalkan amalan sebagai persiapan mati, sebenarnya mati adalah merupakan iktibar bagi orang yang ingin memikir  mengenainya.

Berita lain dari Nabi s.a.w. bererti; “Jika binatang mengetahui mengenai musibah mati sebagaimana kamu tahu, pasti kamu tidak akan memakan dagingnya  ketika dia gemuk”.

Diceritakan mengenai seorang Arab kampung yang sedang menunggang unta dalam satu perjalanan, tiba-tiba untanya rebah dan terus mati,   lalu dia keliling untanya sambil memikir apa yang terjadi kepada untanya lalu berkata; Apa kena kepada engkau tidak bangun?  sedangkan anggota engkau sempurna dan kakitangan engkau juga sehat, apa kena padamu? Siapa yang menyebabkan kamu berlaku begini? Siapa yang menjatuhkan kamu? Siapa yang mencegah kamu bergerak? , kemudian ditinggalkan unta dan dia terus berfikir dan hairan dengan   apa yang berlaku.

Imam Termizi meriwayatkan dari Abdullah ketika menulis dalam kitab :”Nadir al-Usul”; katanya; telah menceritakan kepada kami Qutaibah Ibnu Said dan al-Khatib bn Sulaim daripada Abdul Aziz al-Maajisyun. Dari Muhammad bin al-Munkadir, katanya: Apabila mati anak Nabi Adam a. s. Lalu berkata kepada isterinya Hawa; Wahai Hawa anak engkau telah mati. Jawab Hawa; Apakah mati itu? Jawab Adam; dia tidak makan dan tidak minum, tidak bangun dan tidak duduk, lalu hawa  merayu-rayu kerana sedih atas kematian anaknya. Lalu Adam berkata; Engkau bersedih atas kematian anak engkau, saya dan anak-anak saya bersih dan tidak berbuat demikian.

Bahan rujukan;

Kitab al-Tazkirah biahwal al-maut wa umur al-akhirah[i], karanagan al-Qurtubi, hal.9.


[i] Kitab ini adalah karangan  al Qurtubi atau nama penuhnya ialah Imam Abu Abdullah Muhammad Ibnu Ahmad Ibn Abu Bakar Al-Ansari Al-Qurtubi  lahir di Cordoba, Spanyol. Dia adalah seorang ulama Maliki yang terkemuka. Karya beliau yang besar dan terkenal ialah Tasfir al Quttubi. Al Qurtubi meninggal pada 671H / 1273M.

Ini adalah kuliah Subuh pertama Ustaz Ya Ali Bin Dahaman menggunakan kitab ini.