Kecintaan Ali kwh dan AB terhadap Abu Bakar ra, Umar ra dan Usman ra.

Kecintaan Ali kwh dan AB terhadap Abu Bakar ra, Umar  ra dan Usman ra.

Kita semua mengetahui bahawa sesuatu yang paling menonjol, paling penting, sekaligus paling jelas menyangkut buah cinta adalah keteladanan kepada siapa yang dicintai. “Sesungguhnya yang mencintai patuh kepada siapa yang dicintainya”.

Saya selalu melihat kepada hakikat yang pasti ini, saya menuntun diri saya dan setiap muslim untuk melakukannya, apapun mazhab atau ragam keterikatannya. Saya tidak menemui seorang muslim yang bersikap jujur kepada Allah kecuali dia meneladani Ahl al-Bait dalam tingkah-laku dan perasaannya.

Demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, seandainya ‘Ali karramahullahu wajhu mengambil satu sikap yang jelas berbeza pada hari Saqifah, atau mengambil sikap demikian pada  waktu penunjukkan ‘Umar sebagai khalifah oleh Abu Bakar, atau pada majlis syura yang atasnya ‘Utsman dibai‘ah, seandainya yang demikian itu terjadi, maka pastilah kita meninggalkan semua cara dan jalan, lalu kita mengikuti jalan yang ditempuh oleh ‘Ali.

Akan tetapi kami telah mengamati dan kami mendapati bahawa imam yang mulia itu (‘Ali) bersama-sama dalam fikiran dan tingkah-laku di atas kalimat yang menyatu-padukan umat, bersama-sama di atas jalan yang ditempuh oleh masyarakat umum. Oleh kerana itu mestilah cinta (yang sejati akan) menghantar kita kepada meneladani beliau dan menempuh jalan yang beliau telusuri.

Dalam analisa ini, saya tidak memiliki sikap yang lain daripada perkataan saya di atas. Cukuplah bagi saya menemui ‘Ali yang telah berada pada jalur itu dan saya mengikutinya.

Saya adalah seorang muslim. Tidak perlu saya melakukan analisa atau tertanya-tanya.

Saya tidak memiliki kepentingan untuk melemahkan Hadis al-Ghadir (yang bermaksud “Sesiapa yang aku adalah mawlanya, maka Ali adalah mawlanya”), tidak juga mentakwilkannya atau menjauh dari lafaznya. Saya tidak memerlukan semua itu kerana saya telah menjadikan ‘Ali panutan saya dalam memahami hadis tersebut, bahkan dalam menafsirkan semua persoalan.

Bukti dari apa yang saya katakan ini, bukti keteladanan yang saya rasakan kewajipannya itu, adalah saya merasakan iman saya berkurang – bahkan terumbang-ambing lagi bergoncang – bila keteladanan kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak dipenuhi.

Majoriti kaum muslimin berpendapat bahawa Hadis al-Ghadir dan apa yang difahami dan dikesan olehnya hanya berkaitan dengan peribadi ‘Ali, tidak selain beliau. Kaum muslimin dipersilakan untuk bersepakat memilih siapa yang mereka kehendaki (untuk menjadi khalifah).

Adapun saudara-saudara kami dari Syi‘ah, mereka memahami Hadis al-Ghadir sebagai menunjuk kepada jawatan imam bagi ‘Ali dan berlanjutan – masih menurut hadis itu – kepada keluarga beliau sehingga ghaibnya imam ke-12.

Masa kini, betapapun pentingnya perbezaan pendapat itu, namun persoalannya telah berlalu, telah tertutup. Ia telah menjadi sebahagian dari sejarah masa lampau. Masa kini, di mana kita berada dalam zaman ghaibnya imam ke-12 yang dinanti-nantikan oleh saudara-saudara kita dari kalangan Syi‘ah, saya menyatakan dengan sesungguhnya, saya menyatakan atas nama diri saya sendiri dan nama setiap muslim, bahawa:

Jika tiba masanya kehadiran imam yang ghaib itu, ketika beliau benar-benar datang – tidak ada keraguan menyangkut kehadirannya, tidak ada kabut atau kerancuan menyangkut keperibadiannya – jika tiba masa itu, maka saudara-saudara semua akan mendapati kaum muslimin menganut satu mazhab sahaja. Mereka semua akan mempersembahkan kesetiaan kepada imam itu dan berbai‘ah kepadanya.

Hal ini jika kita memandang ke masa depan. Jika kita memandang ke masa lampau, ke belakang, maka saya memandang kepada ‘Ali di mana setiap orang dari ketiga-tiga khalifah sebelumnya menjadikan beliau sebagai penasihat, bahkan sebagai amir yang tidak bermahkota.

Saya menemui Abu Bakar radhiallahu ‘anh yang bermaksud untuk berangkat memerangi  kaum yang murtad. Lalu ‘Ali datang kepada beliau sambil memegang tali pacuan kudanya, dan berkata:

“Aku sampaikan kepadamu wahai khalifah Rasulullah apa yang disampaikan pada hari peperangan Uhud – Jangan hunus pedang kamu (pergi berperang) dan bahagiakanlah kami dengan (kehadiranmu bersama-sama kami) kerana Demi Allah, seandainya kaum muslimin mendapat cubaan melalui dirimu (yakni gugurnya Abu Bakar di medan perang), maka kaum muslimin tidak akan tegak lagi sesudah pemergianmu itu.”

Mendengar nasihat ‘Ali itu, Abu Bakar membatalkan niatnya untuk berangkat dan melantik orang lain bagi memimpin pasukan (memerangi kaum murtad).

Saya memandang ‘Ali dan saya memandang Abu Bakar, ketika beliau meminta pandangan ‘Ali berkenaan ekspedisi ketenteraan ke Rom, lalu ‘Ali menjawab:

“Saya merasakan anda (wahai Abu Bakar) adalah seorang yang diberkati, ditinggikan dan dimenangkan urusannya insya-Allah.”

Maka Abu Bakar merasa tenang, lalu mengikuti saranan ‘Ali dengan mempersiapkan pasukan ekspedisi itu.

Lihatlah juga pada masa pemerintahan ‘Umar radhiallahu ‘anh. Bagaimana beliau meminta nasihat ‘Ali berkenaan dirinya memimpin pasukan ke Parsi.

‘Ali menasihatkan agar ‘Umar jangan meninggalkan pusat pemerintahan (Kota Madinah), bimbang jangan sampai musuh dalam negeri membuat kekacauan.

Saya juga menemui nasihat-nasihat ‘Ali kepada ‘Utsman radhiallahu ‘anh, ketika para pemberontak mengepung beliau, nasihat yang mustahil lahir kecuali dari hati yang ikhlas dan cinta. Saya juga menemui beliau menyuruh kedua-dua buah matanya – Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhuma – untuk menjaga ‘Utsman dari ancaman apapun yang mungkin menimpanya.

Ketika saya menemui semua sikap di atas pada ‘Ali, maka bagaimana saya hendak menyatakan cinta saya kepada beliau? Saya tidak dapat menyatakan cinta itu kecuali dengan mengikuti langkah-langkah beliau, kecuali dengan berjalan pada jalan yang beliau telusuri.

Demi Allah! Sekali lagi saya ucapkan, seandainya ‘Ali karramallahu wajhu mengambil satu sikap yang jelas dan mandiri pada satu masa dari masa-masa kehidupannya, maka pastilah kita meninggalkan semua sikap dan bergabung sikap beliau itu.

– Demikian Petikan Ucapan Syaikh Sa’id Ramadhan al-Buthi Ghazali rahimahullah  dari Ucapan beliau dalam majlis Mahjaran al-Imam ‘Ali di London pada Ogos 1991

Dalam  ucapan tersebut kita dapati  Ali kwh tidak mengambil sikap yang sepertimana yang diambil oleh Syi‘ah . Inti ucapan ini ialah kecintaan Ali kwh dan AB terhadap Abu Bakar ra, Umar  ra, dan Usman ra.